Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) was established with the rebranding of Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) under Section 8 of the Universities and University Colleges Act 1971 (Act 30) by the Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Incorporation) Order 2007, which was gazetted as P.U. (A) 45/2007 on 1 February 2007.
Program Explore Race LISTAC 2026 telah berlangsung dengan meriah pada 10 September 2026 bertempat di sekitar Bangunan Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Kehadiran para peserta turut menyerlah dengan penampilan mereka yang segak mengenakan T-Shirt rasmi LISTAC terbaharu, sekali gus menyemarakkan lagi suasana program. Semangat dan keterujaan peserta jelas kelihatan ketika mereka memulakan perjalanan menyelesaikan tugasan serta cabaran yang disediakan di sekitar kawasan perpustakaan.
Berlatarkan konsep pertandingan dan pengembaraan yang diinspirasikan daripada rancangan realiti seperti The Amazing Race, Explore Race LISTAC 2026 membawa para peserta melalui satu siri cabaran yang menguji kepantasan, ketangkasan, daya fikir dan kerjasama berpasukan.
Sebanyak lima checkpoint disediakan di sekitar kawasan Bangunan Laman Hikmah, dengan setiap kumpulan perlu bergerak dari satu checkpoint ke checkpoint yang seterusnya bagi menyelesaikan tugasan dan cabaran yang diberikan. Setiap cabaran memerlukan peserta menggunakan strategi, berkomunikasi secara berkesan serta membuat keputusan dalam masa yang terhad. Elemen masa menjadi antara cabaran utama apabila setiap kumpulan perlu melengkapkan keseluruhan perjalanan dalam tempoh terpantas. Situasi ini menjadikan setiap checkpoint lebih mendebarkan apabila peserta perlu mengimbangi kepantasan dengan ketepatan dalam menyelesaikan tugasan. Kesilapan kecil atau kelewatan di sesuatu checkpoint boleh mempengaruhi kedudukan kumpulan dalam persaingan keseluruhan.
Sepanjang perlumbaan, para peserta turut berdepan dengan pelbagai bentuk tugasan dan teka-teki yang menguji keupayaan menyelesaikan masalah. Dalam keadaan masa yang terus berjalan, setiap ahli kumpulan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan cabaran dapat diselesaikan dan perjalanan diteruskan ke checkpoint berikutnya. Lebih daripada sekadar pertandingan, konsep Explore Race ini turut memberi pengalaman pengembaraan yang menggalakkan peserta berinteraksi, berkomunikasi dan bekerjasama dalam situasi yang berbeza daripada aktiviti kelab secara konvensional. Semangat kesukanan dan kebersamaan turut menjadi sebahagian daripada pengalaman sepanjang perlumbaan.
Pada penghujung perlumbaan, kumpulan yang berjaya melengkapkan kesemua lima checkpoint dengan catatan masa terbaik dinobatkan sebagai pemenang. Johan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM80 dan RM50.
Dengan gabungan elemen “Cari • Teroka • Menang!”, Explore Race LISTAC 2026 bukan sahaja mencipta suasana pertandingan yang mencabar dan menyeronokkan, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli Kelab LISTAC.
Selain pengisian utama Explore Race LISTAC 2026, kesempatan menghimpunkan warga Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) turut dimanfaatkan dengan mengadakan majlis sambutan hari jadi bagi staf yang dilahirkan pada bulan Julai hingga Disember. Sambutan seumpama ini turut mencerminkan budaya kerja yang menitikberatkan hubungan kekeluargaan serta kebersamaan dalam kalangan warga PLH.
Program Literasi Maklumat merupakan salah satu inisiatif Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dalam membimbing dan meningkatkan kemahiran pelajar serta staf UTeM dalam mendapatkan, mengakses dan menggunakan maklumat secara berkesan. Program ini dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun dengan tiga (3) sesi sebulan.
Modul Program Literasi Maklumat
Program ini merangkumi tiga (3) modul utama, iaitu:
Introduction to Library – memberikan pendedahan berkaitan perkhidmatan, kemudahan, sumber serta kemudahan digital yang disediakan oleh perpustakaan.
Information Searching Skills – membimbing peserta dalam teknik pencarian maklumat yang berkesan melalui sumber dan platform maklumat yang bersesuaian.
Literature Search – memberikan pengetahuan dan kemahiran dalam membuat carian literatur secara sistematik bagi menyokong keperluan akademik dan penyelidikan.
Pelaksanaan Program
Program dilaksanakan secara dalam talian dan peserta turut boleh membuat permohonan untuk mengadakan sesi secara bersemuka, tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan. Program ini terbuka kepada semua pelajar dan staf UTeM.
Program Literasi Maklumat Khas Pelajar Baharu
Selain sesi yang telah dijadualkan sepanjang tahun, PLH turut melaksanakan Program Literasi Maklumat khas untuk pelajar baharu yang mendaftar di UTeM. Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai perpustakaan, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan serta membantu mereka memahami cara mendapatkan dan memanfaatkan sumber maklumat perpustakaan bagi menyokong pembelajaran sepanjang pengajian.
Pelaksanaan program dimulakan dengan sesi taklimat dan kelas Literasi Maklumat yang memberikan penerangan berkaitan perpustakaan, perkhidmatan, kemudahan serta kaedah mendapatkan dan menggunakan sumber maklumat yang disediakan. Selepas sesi pembelajaran, pelajar kemudiannya dibawa mengikuti lawatan sekitar Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) bagi melihat dan mengenali kemudahan serta ruang yang telah diterangkan dengan lebih dekat.
Pendekatan melalui pembelajaran di dalam kelas yang disusuli dengan lawatan secara fizikal ini dapat membantu pelajar memahami dengan lebih jelas fungsi, perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan. Kaedah ini juga memberikan pengalaman secara langsung kepada pelajar dan memudahkan mereka mengenal pasti lokasi serta menggunakan kemudahan perpustakaan dengan lebih yakin sepanjang tempoh pengajian.
Manfaat Program
Meningkatkan kemahiran pencarian maklumat dalam kalangan pelajar dan staf secara lebih tepat dan berkesan.
Meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan dan kemudahan PLH serta menggalakkan penggunaannya secara optimum.
Menyokong pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan melalui penggunaan sumber maklumat yang relevan dan berkualiti.
Memberikan pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai perpustakaan, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.
Meningkatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan kemudahan dan sumber perpustakaan sepanjang tempoh pengajian atau perkhidmatan.
Seiring dengan usaha Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) untuk terus memperkaya pengalaman pengguna, kemudahan permainan elektronik di perpustakaan kini telah dinaik taraf daripada PlayStation 4 (PS4) kepada PlayStation 5 (PS5). Penaiktarafan ini mencerminkan komitmen PLH dalam menyediakan kemudahan rekreasi digital yang lebih moden dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa. Dengan prestasi yang lebih pantas, kualiti grafik yang lebih mengagumkan serta ciri-ciri permainan yang lebih canggih, PS5 menawarkan pengalaman permainan yang lebih menarik dan imersif kepada pengguna.
Sejak tahun 2018, PLH telah menyediakan kemudahan permainan elektronik menerusi lima (5) set PlayStation 4 (PS4) untuk kegunaan pengguna. Kemudahan ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan warga universiti sebagai salah satu aktiviti rekreasi digital di perpustakaan. Selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan gaya hidup pelajar masa kini, PLH telah menambah dua (2) set PlayStation 5 (PS5) pada tahun 2025 bagi memperkasakan peranan perpustakaan sebagai ruang kolaboratif (collaborative space) dan titik pertemuan (meeting point) yang menyokong interaksi, kreativiti serta pengalaman pengguna yang lebih dinamik. Inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha universiti dalam membina ekosistem kampus yang lebih rancak, inklusif dan mampan.
Kelebihan PlayStation 5 (PS5)
PlayStation 5 (PS5) memberikan pengalaman permainan yang lebih menarik dan menyeronokkan kepada pengguna. Berbanding PS4, PS5 menawarkan paparan visual yang lebih jelas, permainan yang lebih lancar serta masa menunggu yang lebih singkat sebelum permainan bermula. Selain itu, reka bentuk dan ciri baharu pada alat kawalan PS5 turut memberikan pengalaman bermain yang lebih selesa dan interaktif. PS5 juga menyokong pelbagai pilihan permainan terkini yang dapat memenuhi minat pengguna daripada pelbagai peringkat.
Oleh itu, bermula 21 Julai 2026, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Kampus Induk memperkenalkan perkhidmatan sewaan PlayStation 5 (PS5). Melalui perkhidmatan ini, warga UTeM berpeluang menikmati pengalaman permainan video menggunakan konsol PS5 pada kadar sewaan yang berpatutan, iaitu RM4.00 sejam bagi pelajar dan staf UTeM, manakala RM10.00 sejam bagi pengguna luar. Setiap sesi sewaan turut disertakan dengan satu (1) unit pengawal (controller) PS5.
Penyediaan kemudahan permainan elektronik tambahan ini bertujuan menyediakan ruang rekreasi yang dapat menyokong keseimbangan gaya hidup warga kampus. Selain menjadi aktiviti santai selepas sesi pembelajaran dan tugasan akademik, kemudahan ini juga memberi peluang kepada pengguna untuk mengurangkan tekanan serta mengeratkan hubungan bersama rakan-rakan dalam suasana perpustakaan yang kondusif. Pengguna luar berpeluang merasai pengalaman permainan generasi baharu dengan PlayStation 5 (PS5) yang kini tersedia di Perpustakaan Laman Hikmah mulai bulan ini.
Perpustakaan Laman Hikmah sentiasa komited untuk menyediakan kemudahan yang inovatif, relevan dan berorientasikan keperluan pengguna. Selaras dengan aspirasi universiti dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan holistik, perpustakaan akan terus memperkenalkan perkhidmatan serta kemudahan yang bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, malah turut memperkaya pengalaman warga kampus sepanjang berada di perpustakaan.
Pada 8 Mei 2026, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Program Telaah Bersama YBhg. Datuk Naib Canselor UTeM yang mengetengahkan sesi kupasan ilmiah terhadap buku Legacy: What the All Blacks Can Teach Us About the Business of Life karya James Kerr. Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif memperkukuh budaya ilmu, menyemarakkan amalan membaca, serta menggalakkan wacana intelektual dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat.
Telaah merupakan sebuah inisiatif intelektual yang menggabungkan keghairahan membaca dengan keperluan membedah serta menilai pemikiran secara kritis. Inisiatif ini hadir sebagai respons terhadap keperluan membina masyarakat berilmu dan negara bangsa yang celik intelektual, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan nilai, budaya ilmu dan pemerkasaan pemikiran. Digerakkan oleh tokoh akademik, pengulas buku dan pemikir dasar, Telaah mengetengahkan karya-karya yang signifikan kepada pembangunan masyarakat progresif dan berdaya fikir, di samping membuka ruang kepada perbincangan rentas disiplin serta generasi.
Karya Legacy mengupas rahsia kecemerlangan berterusan pasukan ragbi terkenal dunia, All Blacks dari New Zealand, melalui penerapan nilai kepimpinan, disiplin, integriti dan budaya kerja berprestasi tinggi. Perbincangan yang diketengahkan dalam program ini memberi penekanan terhadap pembentukan budaya organisasi yang kukuh, kepimpinan melalui teladan, serta kepentingan semangat berpasukan dalam mencapai kejayaan secara konsisten.
Dalam sesi perkongsian tersebut, YBhg. Datuk Naib Canselor UTeM menghuraikan bagaimana nilai-nilai yang diketengahkan dalam buku ini mampu diterjemahkan dalam konteks pengurusan organisasi, pembangunan sahsiah dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi. Kupasan yang disampaikan turut menekankan kepentingan membina legasi kepimpinan yang berteraskan nilai, visi dan tanggungjawab, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan warga yang progresif dan berdaya saing.
Program ini turut diperkayakan dengan pengendalian moderator profesional luar, Tuan Sayed Munawar bin Sayed Mustar, yang berjaya mewujudkan suasana diskusi yang dinamik, santai dan interaktif. Pendekatan moderasi yang berkesan telah membantu audiens memahami kandungan buku secara lebih mendalam di samping membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan percambahan idea yang konstruktif.
Penganjuran Program Telaah ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium perkongsian ilmu, malah menjadi platform strategik dalam membudayakan pemikiran kritis, memperkasa nilai kepimpinan dan menggalakkan penghayatan bahan bacaan berkualiti dalam kalangan warga universiti. Program seumpama ini juga memperlihatkan komitmen UTeM dalam memperkukuh ekosistem akademik yang menyokong pembangunan komuniti berpengetahuan dan berbudaya ilmu.
Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan peranan signifikan perpustakaan universiti sebagai pusat rujukan ilmu dan hab intelektual yang menyokong agenda pembangunan modal insan serta program sebegini perlu diperkasakan sebagai platform yang mampu melahirkan warga universiti yang berinspirasi, berfikiran strategik dan memiliki nilai kepimpinan yang mampan.
Sekali lagi, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menerima kunjungan lawatan akademik daripada Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat pada 5 Mei 2026 (Selasa) jam 10.30 pagi. Lawatan ini melibatkan seramai 40 orang pelajar bersama guru pengiring yang hadir bagi menambah pengetahuan serta mendapatkan pendedahan berkaitan pengurusan perpustakaan akademik dan kemudahan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan berkaitan Perpustakaan Laman Hikmah yang disampaikan oleh staf Unit Promosi dan Informasi (UPI). Dalam sesi tersebut, para peserta diberikan penerangan mengenai fungsi dan peranan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan akademik warga universiti. Peserta turut diperkenalkan dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan bagi memenuhi keperluan pengguna perpustakaan.
Selain itu, para pelajar bersama guru pengiring turut dibawa melawat ke pelbagai kemudahan, ruang santai serta ruang bacaan yang terdapat di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), termasuk ketiga-tiga galeri utama iaitu Galeri Canselor, Galeri Memori Korporat dan Galeri Cheng Ho. Lawatan ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah penubuhan, pencapaian serta perkembangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Para peserta juga diberikan penerangan berkaitan koleksi, artifak dan bahan pameran yang dipamerkan di setiap galeri sepanjang sesi lawatan berlangsung, sekali gus menambah pengalaman dan pengetahuan mereka tentang warisan serta identiti universiti.
Program lawatan akademik seperti ini bukan sahaja dapat memperluaskan pengetahuan para pelajar, malah turut menjadi medium yang mampu meningkatkan motivasi dan semangat mereka untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan serta akademik. Pendedahan yang diberikan sepanjang lawatan ini juga diharap dapat membuka peluang kepada para peserta untuk memahami dengan lebih jelas peranan perpustakaan moden sebagai pusat rujukan ilmu, pembelajaran dan sokongan akademik yang selari dengan perkembangan era digital masa kini.
Perpustakaan Laman Hikmah UTeM sentiasa mengalu-alukan kehadiran institusi pendidikan seumpama ini untuk terus memperkukuhkan jaringan kolaborasi antara institusi bagi memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan celik maklumat selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar daripada Sekolah Kebangsaan Kampong Awah, Temerloh, Pahang pada 29 April 2026 (Rabu) jam 10.30 pagi. Lawatan ini melibatkan seramai 74 orang pelajar bersama 10 orang guru pengiring yang hadir dengan penuh keterujaan untuk mengenali persekitaran perpustakaan universiti.
Para pelajar telah diberikan penerangan mengenai kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna perpustakaan, khususnya dalam menyokong proses pembelajaran dan pencarian maklumat. Sepanjang lawatan berlangsung, para pelajar turut berpeluang meninjau pelbagai ruang di dalam perpustakaan termasuk ruang bacaan, koleksi bahan rujukan serta kemudahan pembelajaran yang moden dan kondusif. Selain itu, para staf perpustakaan turut mengadakan sesi demonstrasi penggunaan mesin pinjaman buku serta kaedah pencarian bahan bermula daripada penggunaan sistem OPAC sehingga proses menemukan bahan di rak koleksi. Pendedahan seperti ini secara tidak langsung dapat membuka minda para pelajar tentang suasana pembelajaran di peringkat universiti di samping meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan mengakses sumber maklumat secara efektif dan sistematik.
Selain itu, sesi interaktif dua hala turut diadakan bersama para pelajar Tahun 4 dan 5. Sesi ini melibatkan aktiviti soal jawab berkaitan tabiat membaca, di samping penerangan tentang kepentingan membaca bukan sahaja untuk masa depan, malah juga manfaatnya terhadap kesihatan. Tujuan utama sesi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran serta memupuk minat dan tabiat membaca dalam kalangan pelajar sejak usia muda.Sesi ini diadakan khas atas permintaan pihak sekolah bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar serta menggalakkan mereka untuk lebih menghargai dan mengunjungi perpustakaan.
Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah mengenai dunia perpustakaan universiti, malah turut menyemai semangat untuk terus menimba ilmu dan menetapkan aspirasi pendidikan yang lebih tinggi. Para guru pengiring turut merakamkan penghargaan atas layanan mesra serta pengisian program yang bermanfaat kepada para pelajar.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah berjalan dengan lancar dan memberikan pengalaman serta pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan di samping memupuk budaya membaca dan minat terhadap ilmu dalam kalangan generasi muda.
Program Talk Show @ PLH: Dari Makmal ke Media Sosial yang berlangsung pada 23 April 2026 di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menarik perhatian para peserta melalui pengisian yang padat dan bermanfaat. Dianjurkan sempena inisiatif “Jom Baca Bersama 10 Minit”, program ini menampilkan perkongsian menarik daripada penceramah jemputan, Encik Muhammad Noor bin Zakaria, atau lebih dikenali sebagai Abang Md Nor, yang mengetengahkan pendekatan berilmu dalam penghasilan kandungan.
Bertempat di Ruang Santai, Aras 2 PLH, sesi yang bermula pada jam 11.00 pagi ini telah menghimpunkan warga kampus yang berminat untuk mendalami dunia media sosial secara lebih beretika dan berinformasi. Berbekalkan pengalaman sebagai pencipta kandungan dengan jumlah pengikut yang ramai, khususnya di platform TikTok, penceramah berkongsi perjalanan beliau daripada dunia akademik ke arena media sosial. Perkongsian tersebut sekali gus memberi inspirasi kepada para peserta untuk memanfaatkan ilmu dalam menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti dan bermakna.
Antara intipati utama yang diketengahkan ialah kepentingan membaca sebagai asas dalam pembinaan kandungan berkualiti. Influencer yang berilmu mampu menghasilkan kandungan yang lebih tepat dari segi fakta serta disokong dengan hujah yang lebih mendalam. Perkara ini membezakan antara influencer biasa dengan mereka yang benar-benar mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab. Pelbagai persoalan dikemukakan, merangkumi strategi penghasilan kandungan, cabaran sebagai seorang influencer, serta kaedah mengekalkan kredibiliti dalam dunia media sosial yang sentiasa berkembang. Suasana yang santai namun sarat dengan ilmu menjadikan sesi ini lebih bermakna dan mudah difahami oleh semua lapisan peserta.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta dalam memupuk budaya membaca serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu dalam dunia digital masa kini. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai pencipta kandungan yang berilmu, beretika dan berdaya saing, sekaligus memartabatkan peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu.
Perpustakaan Laman Hikmah dimeriahkan dengan kehadiran pelajar cilik dari Sekolah Kebangsaan Sega, Negeri Sembilan. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid tentang kepentingan membaca serta peranan perpustakaan sebagai pusat rujukan ilmu. Sepanjang program, para pelajar berpeluang meneroka pelbagai kemudahan yang disediakan, di samping berinteraksi dan beramah mesra bersama pelajar antarabangsa UTeM, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dalam suasana yang lebih menarik dan bermakna.
Selain itu, sesi lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya soalan dan berinteraksi secara langsung dengan staf perpustakaan. Pendekatan yang santai dan mesra ini membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, sekali gus memupuk keyakinan pelajar untuk meneroka ilmu pengetahuan secara kendiri.
Terdahulu, para pelajar telah terlibat dalam Bengkel Pengumpulan Data Siri 1 di bawah geran penyelidikan antarabangsa ON Semiconductor Foundation – STEAM ONSEMI anjuran Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK). Program ini merupakan satu inisiatif strategik yang memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam aspek literasi AI dan pengkomputeran fizikal, sekali gus menyokong pembangunan modal insan muda dalam bidang STEM dan TVET.
Sesi lawatan ini turut memberi peluang kepada murid untuk melihat secara dekat suasana pembelajaran di peringkat pengajian tinggi serta memahami kepelbagaian budaya dalam kalangan komuniti kampus. Pengalaman ini diharapkan dapat membuka minda mereka serta menyemai minat yang lebih mendalam terhadap dunia ilmu pengetahuan sejak di bangku sekolah lagi.
Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah dipilih sebagai destinasi lawatan ilmiah oleh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting, Negeri Sembilan. Lawatan yang berlangsung pada 6 April 2026 (Isnin) jam 2.30 petang ini disertai oleh dua orang guru pengiring bersama 50 orang pelajar.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 merasai sendiri suasana kampus serta mengenali persekitaran pembelajaran di universiti. Sepanjang lawatan, mereka berpeluang melihat dengan lebih dekat kemudahan yang disediakan di PLH, di samping didedahkan kepada suasana pembelajaran yang kondusif serta persekitaran perpustakaan yang menyokong budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pelajar turut dibawa meninjau koleksi bahan bacaan yang tersedia di rak-rak perpustakaan. Mereka berpeluang melihat pelbagai jenis bahan seperti buku rujukan, bahan akademik dan bacaan santai yang disusun mengikut kategori, sekali gus memberi pendedahan awal tentang cara pencarian dan penggunaan sumber maklumat di perpustakaan. Selain itu, pelajar juga ditunjukkan cara-cara membuat pinjaman bahan menggunakan mesin self-check bagi memudahkan urusan peminjaman secara kendiri.
Secara keseluruhannya, pihak PLH berharap lawatan ini dapat memberi impak positik kepada para pelajar dalam memahami suasana pembelajaran di universiti serta peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu. Seterusnya dapat menyuntik minat untuk terus menimba ilmu dan menjadi pemangkin kepada aspirasi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Maklum balas yang diterima juga amat positif apabila para pelajar dilihat aktif bertanya pelbagai soalan sepanjang lawatan, sekali gus menunjukkan minat dan keterujaan mereka terhadap pengalaman yang diperoleh melalui lawatan ini.
Pada 17 Mac 2026 (Isnin), Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menerima kunjungan istimewa sekumpulan pelajar Indonesia daripada Mukhoyyam Qur’ani Muslimah. Lawatan ini melibatkan seramai 99 orang pelajar berusia antara 17 hingga 25 tahun.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkenalkan para pelajar kepada sistem pendidikan tinggi di Malaysia, khususnya di UTeM sebagai sebuah universiti teknikal. Selain itu, lawatan ini turut memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri suasana pembelajaran dan persekitaran akademik di kampus, sekali gus membuka minda mereka terhadap peluang melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa.
Sepanjang lawatan berlangsung di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), para pelajar dibawa mengelilingi pelbagai ruang utama serta diperkenalkan dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Mereka turut diberi penerangan ringkas mengenai fungsi setiap ruang bagi menyokong keperluan pembelajaran dan penyelidikan.
Selain itu, para pelajar juga berpeluang melihat sendiri koleksi bahan yang terdapat di rak, termasuk buku rujukan, bahan ilmiah dan sumber maklumat lain yang boleh dimanfaatkan. Lawatan ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada suasana perpustakaan serta menggalakkan budaya membaca dan pencarian ilmu dalam kalangan pelajar.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi akademik, malah turut mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan Malaysia dan Indonesia. Para pelajar dilihat sangat teruja dan menunjukkan minat yang tinggi sepanjang sesi berlangsung. Diharapkan agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya serta menjadi pemangkin kepada semangat pembelajaran yang berterusan pada masa akan datang.