LAWATAN AKADEMIK SMK PEREMPUAN METHODIST & SMK ACS MELAKA

13 November 2025 โ€“ Pada hari ini, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menerima kunjungan istimewa daripada dua buah sekolah iaitu SMK Perempuan Methodist Melaka dan SMK Methodist ACS Melaka. Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif akademik yang memberi peluang kepada para pelajar mengenali peranan perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Seramai 80 orang pelajar bersama 5 orang guru pengiring telah mengambil bahagian dalam lawatan akademik ini. Kehadiran mereka disantuni dengan taklimat ringkas berkaitan fungsi perpustakaan, kemudahan yang tersedia dan bagaimana PLH menjadi tunjang sokongan kepada komuniti kampus. Taklimat ini membantu peserta memahami dengan lebih jelas tentang operasi dan kepentingan perpustakaan dalam ekosistem pendidikan.

Lawatan diteruskan dengan sesi jelajah perpustakaan yang merangkumi pelbagai ruang pembelajaran dan ruang santai di PLH. Pelajar berpeluang melihat sendiri kemudahan fizikal perpustakaan, termasuk ruang bacaan, koleksi buku rujukan dan galeri memori korporat yang disediakan untuk pengguna. Penerangan lanjut turut diberikan mengenai koleksi fizikal dan digital yang boleh diakses oleh pelajar universiti dalam menyokong tugasan dan penyelidikan mereka.

Selain itu, pelajar turut diperkenalkan kepada perkhidmatan digital PLH termasuk sistem carian bahan perpustakaan, repositori institusi, platform e-book dan e-journal. Pendedahan ini memberi gambaran kepada mereka tentang perubahan peranan perpustakaan yang bukan sekadar menyimpan buku, tetapi juga menjadi pusat akses maklumat digital yang komprehensif dan mudah diakses.

Guru-guru pengiring juga berpeluang berbincang dan berkongsi pendapat dan pandangan bersama staf PLH mengenai peluang kolaborasi pendidikan dan pendedahan kerjaya berkaitan ilmu perpustakaan, pengurusan maklumat dan teknologi maklumat. Perbincangan ini membuka ruang kepada perkongsian idea yang boleh dimanfaatkan dalam sesi pembelajaran di sekolah.

Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini diharap dapat menyemai minat pelajar terhadap dunia ilmu dan penyelidikan. Semoga pengalaman di Perpustakaan Laman Hikmah menjadi inspirasi untuk mereka terus mencintai ilmu serta menghargai peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat. PLH sentiasa mengalu-alukan kunjungan pendidikan seperti ini demi memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.

Posted in November 2025 | Leave a comment

PROGRAM CERAMAH MOTIVASI: โ€œHEBAT DENGAN ADAB, UNGGUL DENGAN ILMUโ€

Program Ceramah Motivasi bertemakan โ€œHebat dengan Adab, Unggul dengan Ilmuโ€ telah melabuhkan tirainya dengan penuh kesyukuran dan keberkatan. Program yang berlangsung dalam suasana penuh ketenangan ini berjaya membuka ruang renungan baharu kepada para peserta untuk memahami makna adab dan ilmu dalam kehidupan. Ia bukan sekadar sesi perkongsian, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang menyentuh setiap hati yang hadir.

Kehadiran penceramah iaitu Saudara Fedtri Yahya yang terkenal dengan gelaran Ikon Bahasa dan Pengacara Profesional merupakan satu penghormatan besar. Beliau mengendalikan program dengan penyampaian yang sangat menarik dan sarat dengan pesanan penuh hikmah, menggunakan bahasa yang lembut namun memberi kesan. Setiap butir kata yang keluar daripada beliau seolah-olah menyalakan cahaya dalam diri, mengajak kita mengenal nilai diri, menjaga adab, dan menuntut ilmu dengan jiwa yang bening.

Perkongsian beliau turut mengingatkan para peserta bahawa adab adalah asas kepada segala pembelajaran di dalam hidup. Tanpa adab, ilmu kehilangan roh dan keberkatan. Beliau menekankan pentingnya membina akhlak sebelum mencapai keunggulan akademik, kerana generasi yang berjaya adalah generasi yang beradab sebelum berilmu. Pesanan ini bukan sahaja relevan, tetapi sangat diperlukan dalam suasana dunia masa kini yang semakin mencabar.

Para peserta juga tidak ekring gusi dengan sesi mencuit hati antara pemceramah dan peserta terpilih. Tidak hanya itu, ada yang termenung, dan ada juga yang jelas tersentuh dengan pengisian yang dibawakan. Momen-momen berharga ini bakal diabadikan melalui gambar-gambar yang akan dimuat naik bersama blog ini sebagai kenangan dan inspirasi bersama.

Program ini lebih bermakna kerana ini merupakan kerjasam pertama antara Perpustakaan Laman Hikmah dan Kelab Mahasiswa MADANI (KAMI) dan mendapat sokongan padu dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM. Kerjasama mereka amat dihargai kerana telah memastikan kelancaran penganjuran dari awal hingga akhir. Semangat kebersamaan staf dan pelajar inilah yang menjadikan program ini lebih bermakna.

Jutaan terima kasih ditujukan kepada semua hadirin yang hadir secara fizikal dan di dalam talian bagi memeriahkan program ini. Kehadiran ini bukan sahaja menyerikan majlis, tetapi membuktikan bahawa masyarakat kampus masih dahagakan majlis-majlis ilmu yang menyuburkan pemikiran dan memperelok akhlak.

Moga nilai-nilai yang dikongsi menjadi benteng diri dan kekuatan dalam mengharungi perjalanan kehidupan yang penuh cabaran dan membimbing setiap langkah agar sentiasa beradab, menuntut ilmu dengan hati yang ikhlas, dan berusaha menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari.

Posted in November 2025 | Leave a comment

๐๐‘๐Ž๐†๐‘๐€๐Œ ๐“๐„๐‹๐€๐€๐‡ ๐๐”๐Š๐” ๐๐„๐‘๐’๐€๐Œ๐€ ๐˜๐ ๐ƒ๐€๐“๐”๐Š ๐Œ๐Ž๐‡๐ƒ ๐๐Ž๐Ž๐‘ ๐‡๐„๐‹๐Œ๐˜ ๐’๐„๐Œ๐๐„๐๐€ ๐…๐„๐’๐“๐ˆ๐•๐€๐‹ ๐ˆ๐ƒ๐„๐€ ๐๐„๐‘๐ˆ๐๐†๐Š๐€๐“ ๐๐„๐†๐„๐‘๐ˆ ๐Œ๐„๐‹๐€๐Š๐€ ๐Ÿ๐ŸŽ๐Ÿ๐Ÿ“

Pada 23 Oktober 2025 yang lalu, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menganjurkan Program Telaah Buku bersama YB Datuk Mohd Noor Helmy sempena Festival Idea Peringkat Negeri Melaka 2025 bertempat di Ruang Santai, Aras 2, PLH, Kampus Induk UTeM. Program ini merupakan anjuran secara bersama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICR UTeM-Melaka.


Objektif utama penganjuran program adalah menyokong inisiatif KPT untuk menjadikan Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) sebagai acara tahunan yang memartabatkan ilmu, inovasi dan kreativiti selain bertujuan untuk mengukuhkan peranan perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, tetapi juga berperanan sebagai agen perubahan budaya membaca di peringkat nasional.

Sesi ini menampilkan YB Datuk Mohd Noor Helmy bin Abdul Halem, Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka sebagai panel jemputan, yang berkongsi tentang perjalanan kepimpinan beliau serta bagaimana buku โ€œThe Leader In Youโ€ karya Dale Carnegie menjadi sumber motivasi dan panduan dalam membentuk gaya kepimpinan berkesan.

Beliau turut menyentuh kepentingan nilai empati, komunikasi positif dan pembangunan potensi diri sebagai asas kepada kepimpinan yang berpengaruh, seiring dengan cabaran dunia digital masa kini. Perkongsian beliau bukan sahaja memberi inspirasi kepada peserta, malah membuka ruang refleksi tentang erti sebenar menjadi seorang pemimpin yang mampu memberi impak kepada masyarakat.

Sesi ini dikendalikan dengan penuh berkesan oleh YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, yang berjaya mencorakkan perbincangan secara santai namun sarat dengan ilmu dan motivasi.

Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus serta penonton dalam talian, dengan siaran langsung di media sosial PLH mencatat lebih 9.2K tontonan! ๐Ÿ‘

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya pengurusan tertinggi UTeM atas sokongan yang diberikan, serta kepada semua peserta yang hadir secara fizikal dan dalam talian.

Teruskan menyokong pelbagai program ilmu dan perkongsian menarik anjuran Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM. ๐Ÿ’ก

Posted in Oktober 2025 | Leave a comment

Sembang Ilmu: Arkib Digital โ€“ Mengurus Masa Silam, Mencipta Masa Depan

Dalam era digital, fungsi dan peranan arkib telah berkembang daripada sekadar menyimpan dokumen fizikal kepada mengurus serta memelihara bahan digital. Transformasi ini melibatkan penggunaan teknologi maklumat bagi memastikan rekod dan maklumat kekal boleh diakses, sahih, dan terjamin untuk jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, cabaran yang dihadapi dalam pengurusan arkib digital juga berbeza berbanding penyimpanan bahan fizikal, terutamanya dari segi keselamatan data, ketulenan maklumat, serta keperluan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.

Sehubungan dengan itu, satu program sembang ilmu telah berlangsung di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) pada 22 Oktober 2025 (Rabu) bagi membincangkan pengurusan rekod untuk tujuan pemeliharaan khazanah yang bernilai.

Sesi kali ini menampilkan Saudara Helmi Effendy, penulis buku dan pengasas bersama Patriots Publishing, yang berkongsi pandangan dan pengalaman beliau tentang peranan penting arkib digital dalam memelihara khazanah sejarah serta memastikan warisan ilmu dapat diwarisi oleh generasi masa depan.

Melalui perkongsian beliau, peserta dibawa menelusuri bagaimana teknologi digital mampu menjadi jambatan antara masa silam dan masa depan yang bukan sekadar menyimpan data, tetapi menghidupkan semula nilai dan identiti bangsa dalam bentuk moden dan mudah diakses.

PLH berharap program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak secara umum, khususnya kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan rekod. Pemeliharaan rekod dalam dunia teknologi amat penting bagi memastikan maklumat kekal boleh diakses, sahih, dan terlindung daripada risiko kehilangan atau kerosakan digital, sekali gus menyokong ketelusan, pemeliharaan warisan pengetahuan, serta keberkesanan pengurusan maklumat dalam jangka panjang.

Terima kasih ditujukan kepada semua peserta yang hadir dan turut menjayakan program ini, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Teruskan menyokong inisiatif perkongsian ilmu anjuran Perpustakaan Laman Hikmah, agar budaya membaca dan pembelajaran berterusan terus subur di UTeM!

Posted in Oktober 2025 | Leave a comment

Lawatan Akademik: SMK Senawang ke PLH

10 September 2025 โ€“ Perpustakaan Laman Hikmah dengan penuh sukacita menerima kunjungan seramai 40 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang dalam satu sesi lawatan akademik yang penuh bermakna. Lawatan ini membuka peluang untuk para pelajar mengenali dengan lebih dekat peranan perpustakaan universiti dan meneroka kepelbagaian sumber ilmu yang tersedia sesuai dengan cabaran pembelajaran di era digital hari ini.

Menjelajah Fasiliti & Ruang Pembelajaran

Lawatan dimulakan dengan penerokaan kemudahan dan fasiliti yang disediakan di perpustakaan seperti ruang bacaan yang kondusif, bilik perbincangan yang lengkap dengan teknologi, hinggalah ke sudut khas yang dicipta bagi memberi keselesaan kepada pengguna.  Keseluruhan pengalaman ini memberikan gambaran jelas bahawa PLH bukan sahaja tempat untuk membaca, tetapi juga pusat sokongan pembelajaran sepanjang hayat.

Pendedahan Dunia Digital

Selain meneroka ruang fizikal, para pelajar turut didedahkan dengan pelbagai koleksi sumber digital serta sistem maklumat yang menjadi tulang belakang kepada ekosistem pembelajaran berasaskan teknologi. Pendedahan ini amat penting bagi membentuk kesedaran bahawa perpustakaan masa kini bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku, tetapi berfungsi sebagai pusat sehenti ilmu pengetahuan yang menghubungkan maklumat fizikal dan digital.

Memori Galeri Korporat PLH

Antara detik yang paling mencuri perhatian ialah ketika pelajar dibawa melawat ke Memori Galeri Korporat PLH. Keterujaan jelas terpancar apabila mereka dapat melihat dengan lebih dekat koleksi barangan, dokumen bersejarah, serta memorabilia yang menggambarkan perjalanan dan pencapaian Perpustakaan Laman Hikmah sejak awal penubuhannya. Koleksi ini bukan sahaja memberikan nilai sentimental, malah turut menjadi bukti perkembangan institusi ilmu yang sentiasa bergerak seiring dengan peredaran zaman.

Memupuk Semangat Cintakan Ilmu

Lawatan ini juga menjadi medan untuk memberi kefahaman kepada para pelajar mengenai peranan perpustakaan dalam membina budaya ilmu, menyokong inovasi serta menggalakkan penerokaan idea baharu. Melalui perkongsian tersebut, diharapkan para pelajar akan lebih termotivasi untuk menerapkan semangat cintakan ilmu serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang tersedia dalam perjalanan akademik mereka. Perpustakaan Laman Hikmah amat menghargai kunjungan daripada warga SMK Senawang dan berharap pengalaman ini dapat menjadi suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus melangkah dengan yakin dalam dunia pendidikan. Semoga ikatan ilmu yang terjalin ini akan berterusan dan membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama pada masa hadapan.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Pertandingan Bintang Lagu Patriotik MADANI 2.0

๐ŸŽถ Semarak Jiwa Merdeka

3 September 2025 – Perpustakaan Laman Hikmah sekali lagi menjadi pusat tumpuan apabila Pertandingan Bintang Lagu Patriotik MADANI 2.0 dianjurkan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68. Ruang legar PLH bergema dengan alunan lagu-lagu patriotik, mencipta suasana meriah dan penuh semangat kebangsaan. Setiap persembahan berjaya membangkitkan rasa cinta akan tanah air, bukan sahaja dalam diri peserta, tetapi juga penonton yang hadir memberikan sokongan padu.

๐ŸŒŸ Senarai Pemenang

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang:

Johan โ€“ Muhammad Arif Hilman bin Mohamad Azham | FTKIP
Naib Johan โ€“ Noorhaizah binti Ibrahim | Pejabat Bendahari
Tempat Ketiga โ€“ Mohd Nur Syaitul Mustakim bin Mohd Najib | Pejabat Pendaftar

Persembahan Terbaik โ€“ Nurul Haina binti Abu Bakar | Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Pakaian Terbaik โ€“ Khairul Fahmi bin Taquddin | FTKM

Pertandingan ini bukan sekadar platform untuk menunjukkan bakat nyanyian, tetapi juga sebagai medan untuk menyemai nilai patriotisme serta menyalakan semangat cintakan negara. Dengan lagu-lagu patriotik yang dipersembahkan, setiap bait lirik membawa mesej mendalam tentang pengorbanan, perpaduan, dan kecintaan terhadap Malaysia tercinta. Kehadiran penonton yang memberi sorakan, tepukan, dan semangat telah menjadikan suasana lebih bermakna. Aura kebersamaan yang tercipta jelas menunjukkan bahawa semangat merdeka masih segar dan terus membara dalam jiwa warga UTeM.

Pihak PLH mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, penyokong, dan warga kerja yang menjayakan pertandingan ini. Semoga semangat kebangsaan yang terpancar pada hari tersebut menjadi inspirasi untuk terus memelihara perpaduan dan mengekalkan kecintaan terhadap Malaysia yang kita cintai.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Jalinan Ilmu Merentasi Sempadan: Lawatan Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Enam Enam ke PLH ๐Ÿ“šโœจ

2 September 2025 – Perpustakaan Laman Hikmah sekali lagi melakar kenangan apabila menerima kunjungan daripada 36 orang pelajar bersama 4 orang pegawai pengiring dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Enam Enam, Kendari, Makasar. Kehadiran tetamu dari Indonesia ini amat dialu-alukan kerana ia bukan sahaja memperkayakan hubungan silaturrahim, malah memberi peluang kepada PLH untuk berkongsi pengalaman dalam dunia perpustakaan dan akademik.

Perkongsian Ilmu & Inspirasi

Sepanjang lawatan, para peserta diberi penerangan mengenai pelbagai koleksi sumber rujukan yang terdapat di PLH dan cara mengakses. Antara yang mendapat perhatian utama ialah koleksi tesis dan artikel jurnal yang menjadi rujukan penting dalam penulisan, penyelidikan, serta pengembangan ilmu pengetahuan. Penerangan ini bukan sahaja membuka mata para pelawat tentang kepelbagaian sumber, malah memberi kefahaman mendalam tentang peranan perpustakaan sebagai nadi kecemerlangan akademik.

Mengukuh Jaringan Kolaborasi

Perpustakaan Laman Hikmah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan ini. Semoga pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada hubungan akademik yang lebih erat, sekaligus memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar.

Posted in September 2025 | Leave a comment

FORUM GEMA MERDEKA MADANI:

Menyemai Semangat Pejuang dalam Jiwa Pewaris

Syukur alhamdulillah, Forum Gema Merdeka MADANI yang bertemakan โ€œLegasi Pejuang, Aspirasi Pewaris: Mengakar Nilai MADANI dalam Diri Anak Bangsaโ€ telah Berjaya diadakan pada 27 Ogos 2025 (10.30 pagi) di Ruang Santai, Aras 2, Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk.

Barisan moderator dan panelis yang menjayakan sesi kali ini cukup hebat dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Sesi dikendalikan oleh Affi Syahfizal bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM, yang bertindak sebagai moderator. Beliau ditemani oleh dua panelis istimewa, iaitu Izzat bin Roslan, Presiden Kor SUKSIS, yang berkongsi pengalaman kepimpinan dan penglibatan aktif dalam pasukan beruniform, serta DSP Mohamad Hasnal bin Jamil dari Unit Anti Pengganas, Cawangan Khas E1, Bukit Aman, yang memberikan pandangan mendalam tentang isu keselamatan dan pencegahan ancaman.

Antara detik paling berkesan sepanjang program ialah perkongsian daripada DSP Mohamad Hasnal mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013. Beliau bukan sekadar menyampaikan fakta, malah berkongsi pengalaman peribadinya menempuh detik genting ketika pertempuran tersebut berlaku. Pengunjung kelihatan terpegun mendengar cerita beliau yang sarat dengan butiran terperinci seperti daripada suasana tegang di lapangan sehinggalah keberanian pasukan keselamatan yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Momen ini bukan sahaja menyentuh hati, malah membuka mata audiens tentang erti sebenar pengorbanan dan semangat patriotisme. Ia turut memberi kesedaran bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada pengorbanan wira-wira negara yang tidak mengenal penat lelah dalam mempertahankan tanah air.Selain memberi ruang untuk mengimbau perjuangan lalu, forum ini juga menyuburkan rasa cinta kepada negara dan menanam tekad dalam kalangan generasi muda untuk mengamalkan nilai Malaysia MADANI dalam kehidupan seharian.

Jelaslah, semangat pejuang bukan hanya milik masa silam. Ia perlu terus diwariskan agar kita, sebagai pewaris bangsa, dapat mengisi kemerdekaan dengan ilmu, keberanian dan jati diri yang kukuh.

Posted in August 2025 | Leave a comment

๐ŸŒฟ Sudut Bacaan Sejahtera MADANI di Kampung Angkat UTeM ๐ŸŒฟ

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah dalam membudayakan ilmu dan menyemarakkan agenda pembelajaran sepanjang hayat. Pada Julai dan Ogos 2025, satu inisiatif telah berjaya dilaksanakan dengan pembangunan Sudut Bacaan Sejahtera MADANI di Kampung Bukit Nibong, Ayer Molek, Melaka, yang merupakan kampung angkat UTeM.

Sudut bacaan ini dibangunkan sebagai ruang bacaan yang kondusif, inklusif dan mesra komuniti. Ia bukan sekadar tempat membaca, malah diharap menjadi pusat komuniti berteraskan ilmu seperti tempat penduduk berkumpul, berinteraksi serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bermanfaat yang berterusan.

Bagi menjayakan inisiatif ini, beberapa fasa aktiviti termasuk program peluncuran Sudut Bacaan Sejahtera MADANI telah dijalankan bermula pada 19 Julai 2025 hingga 15 Ogos 2025, melibatkan penglibatan aktif komuniti setempat bersama warga UTeM.

Bagi menyemarakkan pembangunan sudut bacaan, Program Pemberdayaan Komuniti & Pemindahan Ilmu Kampung Angkat MADANI UTeM telah dianjurkan dengan kerjasama JPKK Bukit Nibong, Pusat Alumni, Kerjaya & Kebolehpasaran (U-ACE), serta Kelab Artificial Intelligence, FTMK UTeM.

Antara aktiviti menarik yang mencuri perhatian penduduk ialah:
๐Ÿ”ง Aktiviti DIY Heavy Truck Alloy Car
๐Ÿค– Demonstrasi & pemasangan Robot EV3
๐Ÿง  Taklimat pengenalan kepada Artificial Intelligence (AI)

Sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti kampung telah menyemarakkan suasana, membuktikan semangat perpaduan dan perkongsian ilmu dapat dipupuk melalui program seumpama ini.

8 Ogos 2025 โ€“ Menyulam Ilmu, Menyemai Harapan

Majlis Penyerahan Sudut Bacaan Sejahtera MADANI telah dilaksanakan dan disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Zahriladha bin Zakaria, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTeM.

Seiring dengan semangat memartabatkan budaya ilmu, PLH telah menyiapkan Sudut Bacaan Sejahtera MADANI dengan sentuhan yang menarik dan selesa untuk kegunaan komuniti. Kerja-kerja menyiapkan sudut ini memerlukan masa serta komitmen yang tinggi, hasil daripada usaha berterusan PLH bersama rakan kolaborasi. Keindahan dan keselesaan yang diwujudkan diharap dapat memberi inspirasi serta mendorong masyarakat setempat, khususnya golongan muda, untuk menjadikan sudut bacaan ini sebagai ruang pembelajaran dan pertemuan yang bermanfaat. Majlis ini juga menandakan kejayaan kolaborasi pelbagai pihak yang telah sama-sama menyumbang dan menjayakan pembangunan sudut bacaan. Setinggi penghargaan diberikan kepada penaja, penyumbang dan rakan strategik termasuk JPKK Kampung Bukit Nibong, UTeM Holdings Sdn. Bhd., Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, serta pelbagai lagi organisasi yang telah berganding bahu demi menjayakan hasrat ini.

15 Ogos 2025 โ€“ Bicara Keusahawanan: Dari Impian ke Realiti

Kesinambungan program diteruskan dengan penganjuran Bicara Keusahawanan bersama penceramah jemputan, YBrs. Ts. Mohd Johari@Esa Bin Ibrahim, Alumni UTeM yang kini bergelar usahawan berjaya.

Bertempat di Balai Raya Kampung Bukit Nibong, sesi perkongsian bertajuk Berani Berniaga: Dari Impian ke Realiti! telah memberi inspirasi kepada para peserta yang terdiri daripada penduduk kampung yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Antara manfaat yang diperoleh masyarakat:
โœ… Pengetahuan & kemahiran keusahawanan
โœ… Penciptaan peluang pekerjaan & peningkatan ekonomi tempatan
โœ… Galakan menjana pendapatan sendiri
โœ… Pembinaan komuniti berdikari & kreatif
โœ… Rangkaian kerjasama antara usahawan

Semoga ilmu yang dikongsi menjadi pencetus semangat untuk lebih ramai usahawan kampung melangkah berani, seterusnya memacu kesejahteraan ekonomi komuniti.

โœจ PLH UTeM menaruh harapan agar Sudut Bacaan Sejahtera MADANI ini menjadi landasan untuk memupuk kecintaan terhadap ilmu, memperteguh semangat kebersamaan, serta membentuk komuniti yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan.

Posted in August 2025 | Leave a comment

Program Literasi Maklumat & Lawatan Perpustakaan: Meningkatkan Kemahiran Pelajar Baharu Diploma UTeM Sesi 2025/2026

Pada 4 hingga 8 Ogos 2025, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) UTeM telah menerima kunjungan seramai 384 orang pelajar baharu Diploma bagi sesi akademik 2025/202 menerusi Program Literasi Maklumat yang dijalankan oleh Seksyen Rujukan. Program ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan kemudahan, perkhidmatan, dan bahan bacaan yang tersedia di perpustakaan kepada pelajar, di samping membimbing mereka menguasai kemahiran literasi maklumat.

Pelajat baharu yang terlibat adalah terdiri daripada lima fakulti teknologi dan kejuruteraan, iaitu:

Fakulti Teknologi & Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP)

Fakulti Teknologi & Kejuruteraan Elektrik (FTKE)

Fakulti Teknologi & Kejuruteraan Elektronik & Komputer (FTKEK)

Fakulti Teknologi & Kejuruteraan Mekanikal (FTKM)

Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK)

Melalui program ini juga, pelajar akan diberi penerangan berkaitan teknik mencari maklumat menggunakan Online Public Access Catalog (OPAC), pengaksesan pangkalan data termasuk e-buku serta penggunaan sumber sahih bagi penulisan akademik. Kemudian, mereka dibawa melawat ke dalam bangunan PLH, Kampus Induk untuk melihat dengan lebih dekat setiap ruang, perkhidmatan dan kemudahan yang ada.

Program yang dijalankan pada setiap kali kemasukan pelajar baharu ini bukan sahaja membantu pelajar mengenal pasti sumber maklumat dengan lebih cepat dan tepat, malah membina keyakinan mereka untuk menggunakan perpustakaan sebagai pusat rujukan utama sepanjang pengajian mereka di UTeM. Pelajar juga berpeluang berinteraksi dengan staf perpustakaan, sekali gus mewujudkan hubungan mesra yang akan memudahkan urusan mereka di masa hadapan.

Posted in August 2025 | Leave a comment