
Sekali lagi, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menerima kunjungan lawatan akademik daripada Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat pada 5 Mei 2026 (Selasa) jam 10.30 pagi. Lawatan ini melibatkan seramai 40 orang pelajar bersama guru pengiring yang hadir bagi menambah pengetahuan serta mendapatkan pendedahan berkaitan pengurusan perpustakaan akademik dan kemudahan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.



Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan berkaitan Perpustakaan Laman Hikmah yang disampaikan oleh staf Unit Promosi dan Informasi (UPI). Dalam sesi tersebut, para peserta diberikan penerangan mengenai fungsi dan peranan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan akademik warga universiti. Peserta turut diperkenalkan dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan bagi memenuhi keperluan pengguna perpustakaan.



Selain itu, para pelajar bersama guru pengiring turut dibawa melawat ke pelbagai kemudahan, ruang santai serta ruang bacaan yang terdapat di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), termasuk ketiga-tiga galeri utama iaitu Galeri Canselor, Galeri Memori Korporat dan Galeri Cheng Ho. Lawatan ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah penubuhan, pencapaian serta perkembangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Para peserta juga diberikan penerangan berkaitan koleksi, artifak dan bahan pameran yang dipamerkan di setiap galeri sepanjang sesi lawatan berlangsung, sekali gus menambah pengalaman dan pengetahuan mereka tentang warisan serta identiti universiti.









Program lawatan akademik seperti ini bukan sahaja dapat memperluaskan pengetahuan para pelajar, malah turut menjadi medium yang mampu meningkatkan motivasi dan semangat mereka untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan serta akademik. Pendedahan yang diberikan sepanjang lawatan ini juga diharap dapat membuka peluang kepada para peserta untuk memahami dengan lebih jelas peranan perpustakaan moden sebagai pusat rujukan ilmu, pembelajaran dan sokongan akademik yang selari dengan perkembangan era digital masa kini.




Perpustakaan Laman Hikmah UTeM sentiasa mengalu-alukan kehadiran institusi pendidikan seumpama ini untuk terus memperkukuhkan jaringan kolaborasi antara institusi bagi memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan celik maklumat selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.



