
Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar daripada Sekolah Kebangsaan Kampong Awah, Temerloh, Pahang pada 29 April 2026 (Rabu) jam 10.30 pagi. Lawatan ini melibatkan seramai 74 orang pelajar bersama 10 orang guru pengiring yang hadir dengan penuh keterujaan untuk mengenali persekitaran perpustakaan universiti.



Para pelajar telah diberikan penerangan mengenai kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna perpustakaan, khususnya dalam menyokong proses pembelajaran dan pencarian maklumat. Sepanjang lawatan berlangsung, para pelajar turut berpeluang meninjau pelbagai ruang di dalam perpustakaan termasuk ruang bacaan, koleksi bahan rujukan serta kemudahan pembelajaran yang moden dan kondusif. Selain itu, para staf perpustakaan turut mengadakan sesi demonstrasi penggunaan mesin pinjaman buku serta kaedah pencarian bahan bermula daripada penggunaan sistem OPAC sehingga proses menemukan bahan di rak koleksi. Pendedahan seperti ini secara tidak langsung dapat membuka minda para pelajar tentang suasana pembelajaran di peringkat universiti di samping meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan mengakses sumber maklumat secara efektif dan sistematik.


Selain itu, sesi interaktif dua hala turut diadakan bersama para pelajar Tahun 4 dan 5. Sesi ini melibatkan aktiviti soal jawab berkaitan tabiat membaca, di samping penerangan tentang kepentingan membaca bukan sahaja untuk masa depan, malah juga manfaatnya terhadap kesihatan. Tujuan utama sesi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran serta memupuk minat dan tabiat membaca dalam kalangan pelajar sejak usia muda.Sesi ini diadakan khas atas permintaan pihak sekolah bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar serta menggalakkan mereka untuk lebih menghargai dan mengunjungi perpustakaan.
Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah mengenai dunia perpustakaan universiti, malah turut menyemai semangat untuk terus menimba ilmu dan menetapkan aspirasi pendidikan yang lebih tinggi. Para guru pengiring turut merakamkan penghargaan atas layanan mesra serta pengisian program yang bermanfaat kepada para pelajar.




Secara keseluruhannya, lawatan ini telah berjalan dengan lancar dan memberikan pengalaman serta pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan di samping memupuk budaya membaca dan minat terhadap ilmu dalam kalangan generasi muda.




