Dari Makmal ke Media Sosial: Perkongsian Inspirasi Influencer Berilmu di PLH

Program Talk Show @ PLH: Dari Makmal ke Media Sosial yang berlangsung pada 23 April 2026 di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menarik perhatian para peserta melalui pengisian yang padat dan bermanfaat. Dianjurkan sempena inisiatif “Jom Baca Bersama 10 Minit”, program ini menampilkan perkongsian menarik daripada penceramah jemputan, Encik Muhammad Noor bin Zakaria, atau lebih dikenali sebagai Abang Md Nor, yang mengetengahkan pendekatan berilmu dalam penghasilan kandungan.

Bertempat di Ruang Santai, Aras 2 PLH, sesi yang bermula pada jam 11.00 pagi ini telah menghimpunkan warga kampus yang berminat untuk mendalami dunia media sosial secara lebih beretika dan berinformasi. Berbekalkan pengalaman sebagai pencipta kandungan dengan jumlah pengikut yang ramai, khususnya di platform TikTok, penceramah berkongsi perjalanan beliau daripada dunia akademik ke arena media sosial. Perkongsian tersebut sekali gus memberi inspirasi kepada para peserta untuk memanfaatkan ilmu dalam menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti dan bermakna.

Antara intipati utama yang diketengahkan ialah kepentingan membaca sebagai asas dalam pembinaan kandungan berkualiti. Influencer yang berilmu mampu menghasilkan kandungan yang lebih tepat dari segi fakta serta disokong dengan hujah yang lebih mendalam. Perkara ini membezakan antara influencer biasa dengan mereka yang benar-benar mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab. Pelbagai persoalan dikemukakan, merangkumi strategi penghasilan kandungan, cabaran sebagai seorang influencer, serta kaedah mengekalkan kredibiliti dalam dunia media sosial yang sentiasa berkembang. Suasana yang santai namun sarat dengan ilmu menjadikan sesi ini lebih bermakna dan mudah difahami oleh semua lapisan peserta.

Secara keseluruhannya, program ini telah memberi pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta dalam memupuk budaya membaca serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu dalam dunia digital masa kini. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai pencipta kandungan yang berilmu, beretika dan berdaya saing, sekaligus memartabatkan peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu.

This entry was posted in April 2026. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *