30 Mac 2022 (Rabu) – Bahagian Perkhidmatan Pengguna, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) mengadakan lawatan penanda aras ke ke Perpustakaan Tun Abdul Razak Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan perkongsian kepakaran serta maklumat dari pihak UiTM berkaitan pengurusan perpustakaan yang berkualiti bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan PLH dari segi kemudahan, susun atur dan penggunaan sistem terkini.
Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini mencapai objektif yang diharapkan, semoga segala perkongsian idea, pengetahuan tentang pengurusan perpustakaan ini menjadi garis panduan bagi kedua belah pihak dalam jaringan kerjasama dua hala antara PLH dan UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin.
29hb Mac 2022 (Rabu) – Kelab Staf Perpustakaan atau singkatannya LISTAC telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-14 yang diadakan di Bilik Tayangan, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH). Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa LISCTAC 2020/2022 serta ahli-ahli LISTAC seramai 52 orang. Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi LISTAC iaitu Cik Rasida binti Abu Bakar. Seterusnya mesyuarat ini telah dirasmikan oleh En. Azman bin Hj. Ayup, Ketua Pustakawan Perpustakaan Laman Hikmah.
Pengerusi memulakan mesyuarat dengan membuat pengesahan minit Mesyuarat Agung Tahunan LISTAC Ke-13 serta membentangkan usul-usul yang dicadangkan oleh ahli LISTAC dan mengesahkan Laporan Kewangan LISTAC sesi 2020/2022. Majlis ini juga diserikan dengan tayangan montaj aktiviti LISTAC serta disusuli dengan pembubaran ahli jawatankuasa LISTAC sesi 2020/2022.
Pemilihan ahli jawatankuasa LISTAC yang baru telah dijalankan secara e-voting, dimana ahli-ahli LISTAC perlu memilih 10 orang ahli jawatankuasa baharu secara atas talian. Empat jawatan tertinggi iaitu Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari dipilih dalam kalangan 10 orang ahli jawatankuasa yang terpilih secara pembuangan undi ketika sesi pendaftaran kehadiran Mesyuarat Agung tersebut.
En. Muhammed Rashid bin Mat Derus telah dipilih sebagai Pengerusi baharu LISTAC, menggantikan Cik Rasida binti Abu Bakar manakala En. Mahadir bin Che Ali sebagai Naib Pengerusi. Jawatan setiausaha pula disandang oleh Puan Hasliza binti Mohammed manakala jawatan bendahari mendapat undian seri sebanyak 18 undi yang diperoleh kepada Cik Norazizah binti Md Tahir dan Puan Norshahila binti Che Din. Undian seri ini akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa AJK baharu LISTAC.
LISTAC yang ditubuhkan pada Ogos 2002, berperanan menjaga kebajikan ahli dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti hari keluarga, aktiviti kerohanian dan sumbangan kepada ahli seperti perkahwinan, kelahiran, masuk wad, kematian, perpisahan dan kegiatan sukan.
Majlis diakhiri dengan acara cabutan bertuah serta majlis tamat pada jam 4.30 petang. Majlis ini sangat bagus dalam merapatkan ukhwah silaturrahim sesama ahli LISTAC. Semoga majlis seperti ini dapat dilaksanakan lagi di masa hadapan.
Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Talkshow@PLH: Kepentingan Imunisasi COVID Kepada Masyarakat pada 29 Mac 2022 bermula jam 10.30 pagi sercara dalam talian menggunakan platform Webex dan FB live Perpustakaan Laman Hikmah. Sesi talkshow ini bertujuan untuk berkongsi informasi dan mengupas isu-isu semasa selain merupakan salah satu langkah berterusan dalam memberi maklumat kepada warga kampus melalui pelbagai medium. Taklimat program telah disampaikan olehDr. Abdul Hafiz Alias, beliau merupakan seorang Pegawai Perubatan Gred UD52 di Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah. Secara menyeluruh, penganjuran program ini dilihat telah memberi pendedahan berkaitan kepentingan imunisasi terhadap masyarakat dan inisiatif yang dilaksanakan adalah sebagai usaha untuk memantapkan lagi pengisian aktiviti perkongsian maklumat, kepakaran dan khidmat nasihat untuk memperkayakan minda warga universiti dan masyarakat setempat.
Program ini berakhir pada jam 11.50 pagi dengan penyertaan seramai 157 orang meliputi pelajar, staf UTeM dan juga orang awam.