OPS HANTAR PULANG PELAJAR

Setelah pengumuman dibuat oleh Kerajaan untuk pelajar IPT dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dan ianya juga diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pengajian Tinggi. Oleh itu, pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah mengambil langkah-langkah yang ditetapkan bagi menghantar pelajar-pelajar pulang ke kediaman masing-masing. Pihak UTeM telah menyempurnakan 6 operasi penghantaran pulang penuntutnya setakat hari ini yang mana peringkat pertama bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1, peringkat ketiga penghantaran pulang ke Sabah dan Sarawak, peringkat keempat Zon Pantai Timur, peringkat kelima sebelum ini Zon Tengah 2 iaitu negeri Perak dan yang terkini peringkat keenam iaitu ke Zon Utara iaitu negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.  Kelihatan wajah-wajah ceria pelajar-pelajar kerana dapat pulang ke kampung halaman masing-masing setelah lama tinggal di asrama dan rumah sewa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Pelajar bersiap sedia untuk pulang ke kampong

 

 

Bagi memastikan kelancaran Ops hantar pulang pelajar, kakitangan UTeM juga bertungkus lumus dalam menjayakan ops ini dan banyak jabatan yang terlibat dari bermulanya proses pendaftaran pelajar, penyusunan tempat supaya terdapat penjarakan sosial, penyusunan mengikut zon, pemeriksaan kesihatan dan suhu, penyediaan hand sanitizer dan mask kepada pelajar, pemandu-pemandu yang ditugaskan membawa bas mengikut zon, polis bantuan dan pegawai pengiring juga tidak terkecuali untuk memastikan kelancaran ops ini serta pegawai-pegawai yang terlibat dengan lain-lain tugasan bagi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kakitangan UTeM juga membantu bagi menjayakan Ops hantar pulang pelajar

 

 

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, “kelancaran proses penghantaran, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta kerjasama baik seluruh jentera agensi kerajaan yang terlibat. Secara keseluruhannya aspek pematuhan SOP dilaksanakan dengan jayanya meliputi pelajar, staf yang terlibat serta kenderaan terbabit sejak dari awal hingga selesai proses. Kesemua kenderaan yang digunakan turut sekali lagi melalui proses dinyah cemar sekali lagi sejurus selesai penghantaran pelajar dan sebelum bergerak pulang ke kampus induk UTeM. Penzahiran kerjasama baik dari Jabatan BOMBA dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi kerajaan terbabit turut menjadi pelengkap kepada keberhasilan operasi peringkat pertama ini”.

Taklimat daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap

Suasana di dalam Dewan Canselor UTeM dengan melakukan penjarakan sosial

Kerjasama dari Polis Diraja Malaysia

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara agensi yang terlibat bagi mengambil langkah pencegahan jangkitan COVID-19, dengan membuat disinfeksi di setiap bas yang membawa pulang pelajar dari kampus untuk pulang ke kediaman keluarga mereka. Berikut adalah proses nyah cemar yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat terhadap bas-bas yang digunakan. Penugasan disinfeksi dibuat sebelum dan selepas bas bergerak, dengan mencuci setiap bahagian bas dari dalam hingga ke luar. Sebelum memasukkan beg pelajar ke dalam bas, anggota bomba terlebih dahulu mengumpulkan beg-beg pelajar di satu tempat untuk disembur dan disanitasi sebagai langkah pencegahan wabak berkenaan. Selepas semburan dan sanitasi selesai dibuat pada beg mereka, barulah barangan mereka diletakkan di ruangan tempat meletak barangan. Ini bagi  memastikan supaya tiada unsur-unsur penularan wabak COVID-19 dibawa oleh penuntut IPT, ketika berada di dalam bas dan pihak bomba sangat serius dalam perkara ini.

Proses dinyah cemar pada bas oleh anggota Bomba

Proses dinyah cemar pada beg oleh anggota Bomba

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim yang turut memantau dan mengikuti sepanjang proses penghantaran ini dan gembira apabila operasi ini berjalan dengan efisien dan lancar dan terus menjadi momentum terbaik bagi memastikan keberjayaan proses penghantaran penuntut bagi semua peringkat. Secara umumnya UTeM sentiasa komited dalam menjayakan amanat yang telah disandarkan oleh pihak kerajaan secara ammya dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara khususnya.

Taklimat daripada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim

Sebelum menaiki bas semua pelajar akan diperiksa suhu badan bagi memastikan pelajar benar-benar sihat dan bebas dari wabak Covid-19 dan mereka akan meneruskan perjalan ke kampung halaman. Ini juga adalah salah satu langkah pencegahan yang telah ditetapkan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pemeriksaaan suhu

Kelihatan bas-bas telah siap sedia parkir di perkarangan Dewan Canselor UTeM untuk membawa pelajar pulang ke negeri masing-masing. Para pelajar juga kelihatan patuh dengan tatacara menaiki bas dengan beratur dan mengambil tempat duduk mengikut garisan had penjarakan sosial yang disediakan. Kelihatan bas-bas dari IPTA lain juga turut serta, ini kerana semua IPTA telah bekerjasama dalam menjayakan Ops Hantar Pulang Pelajar di seluruh negeri. Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap serta kakitangan UTeM melambai dan mengucapkan selamat jalan kepada pelajar-pelajar setelah bas yang mula bergerak memulakan perjalanan. Bas-bas ini juga diiringi oleh Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan UTeM.

Suasana di tempat parkir bas

Kerjasama dari IPTA lain untuk Ops Hantar Pulang Pelajar

Wajah ceria pelajar beratur dan berada di dalam bas dengan melakukan penjarakan sosial

Lambaian Selamat Jalan dari Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap serta kakitangan UTeM

Polis Bantuan UTeM mengiringi bas-bas yang memulakan perjalanan

Berikut adalah suasana di Lapangan terbang KLIA bagi kumpulan pelajar untuk penerbangan ke Sabah Sarawak pada pagi 11 Mei 2020. Alhamdulillah, pihak UTeM menerima slot daripada pihak MAS bagi kumpulan ini. Dan sudah pasti, pihak UTeM akan menunggu slot seterusnya bagi penerbangan pelajar-pelajar lain ke Sabah dan Sarawak. Para pelajar juga dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai penutup mulut dan hidung dan mematuhi penjarakan sosial ketika check-in dan sepanjang berada di Lapangan Terbang KLIA.

Suasana di Lapangan Terbang KLIA

Alhamdulilah, ramai pelajar-pelajar UTeM telah selamat sampai ke pangkuan keluarga di negeri masing-masing. Terima kasih atas kerjasama semua pihak yang bekerja keras dalam memastikan semua berjalan lancar. Kelihatan ahli keluarga pelajar-pelajar juga merasa bersyukur kerana anak mereka selamat tiba di kampung halaman dan kelihatan ibu ayah yang menyambut kepulangan anak-anak mereka dengan wajah yang ceria serta mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan ops ini sehingga anak mereka selamat sampi ke pangkuan keluarga.

Wajah-wajah kegembiraan ahli keluarga menerima kepulangan anak tercinta

 

Semoga semua pelajar dapat menjaga kesihatan sepanjang berada di kampung dan merayakan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Pelajar juga diingatkan supaya patuh dengan arahan kerajaan berkaitan dengan tatacara menyambut aidilfitri bersama ahli keluarga di kampung halaman. Semoga kita semua dijauhi dan dapat mencegah wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita. Walaubagaimana pun, para pelajar tetap akan menjalani kelas online bersama pensyarah-pensyarah mengikut jadual kelas yang akan dikeluarkan. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini juga terdapat perkhidmatan online yang disediakan oleh pihak utem. Pihak Perpustakaan Laman Hikmah juga tidak ketinggalan menyediakan banyak perkhidmatan online dan pemberitahuan perkhidmatan online ini akan dipanjangkan melalui email dan media sosial rasmi Perpustakaan Laman Hikmah. Semoga dengan inisiatif menyediakan perkhidmatan online ini dapat membantu dan memudahkan para pelajar untuk berurusan.

Posted in May 2020 | Leave a comment

Selamat Menyambut Hari Jururawat

 

Hari Jururawat Sedunia ini adalah hari yang mulia bagi semua jururawat, dan diraikan dengan pelbagai aktiviti di merata dunia dan ianya di sambut pada 12 Mei pada setiap tahun. Profesion jururawat adalah profesion yang mulia, yang memerlukan kesabaran dan dedikasi dan sentiasa mengwujudkan sikap mementingkan kerja di atas diri sendiri. Jika masa dahulu jururawat hanya mengambil arahan dari doktor untuk mengambil tindakan merawat pesakit, kini jururawat ada `Nursing Diagnosis’nya sendiri untuk mengenal pasti masaalah pesakit dan merancang keperluan dan kehendak pesakit mengikut keadaannya. Autonomi yang telah dicapai ini adalah baik untuk membela profesion jururawat, ini bermakna tidak ada seseorang pun yang boleh ambil alih tugas jururawat terlatih, sekiranya dia tidak menghadiri latihan yang lengkap yang diiktiraf oleh Lembaga Jururawat Malaysia. Setiap tahun Hari Jururawat sedunia ada temanya sendiri yang digubal oleh “International Council of Nurses” dan tahun ini temanya adalah “A Voice to Lead : Nursing The World To Health”. Layanan dan jagaan yang baik dan profesional adalah satu tugas utama yang harus diingati dalam kejururawatan. Sikap tanggungjawab dan dedikasi kepada tugas-tugas yang diberikan kepada pesakit tua / muda, kanak-kanak atau dewasa, yang kurang upaya dan berbilang bangsa amatlah penting sekali. Sebagai barisan hadapan kini merawat penyakit merebak iaitu COVID-19, dedikasi jururawat disanjung tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Di harapkan ini akan berterusan segenap waktu. Pihak Perpustakaan Laman Hikmah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di seluruh negara dan khususnya jururawat yang kini menjadi barisan hadapan dalam menangani wabak pada hari ini. Syabas saya ucapkan kepada usaha anda dalam mengekalkan taraf kesihatan di negara kita yang tercinta. Semoga usaha-usaha mulia anda diberkati dan dicucuri rahmat oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Selamat Menyambut Hari Jururawat!!!

Posted in May 2020 | Leave a comment

Nuzul Al-Quran

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada nabi Muhammad sehingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.  Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t pada 17 Ramadhanyang disebut Malam Qadar. Diturunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi s.a.w. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Muhammad maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang memikirkan rahsia al-Quran. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah 5 ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Malam Qadar dikurniakan Allah pada setiap datangnya Bulan Ramadan. Kelebihan dan kemuliaannya  adalah lebih baik dari 1,000 bulan. Ini dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran:

“Malam Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan”

Bila berlakunya dan berapa lama Malam Qadar itu tidaklah dinyatakan secara tepat oleh nabi s.a.w. Setengah pendapat menyebut pada malam-malam ganjil dan setengahnya  menyebut pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan. Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena Nuzul Quran. Amalan memperbanyakkan membaca al-Quran di bulan Ramadan ini amatlah digalakkan. Membaca, tadabbur (menghayati) dan mengamalkannya. Al-Quran juga merupakan penawar dan menyelamatkan kita daripada pelbagai kerosakan. Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai pedoman dan pengajaran untuk memandu manusia melalui kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang selalu membaca al-Quran juga diharapkan beroleh kedudukan yang mulia di sisi ALLAH selain pertolongan di hari kiamat. Ini seperti mana sabda Nabi SAW bermaksud, “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya” (Hadis Riwayat Muslim).
Salam Nuzul Al-Quran kepada semua umat Islam sepanjang bulan suci Ramadhan ini. Semoga kita sentiasa mendapat tekad dan ketenangan untuk terus membaca dan mempelajari Al-Quran dengan harapan dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Posted in May 2020 | Leave a comment

SELAMAT HARI IBU

Ibu, 9 bulan dalam rahimmu dan pengorbanan yang tidak termampu untuk kami membalas jasamu, ibu telah mampu membawa anakmu ke mana pun biar mengusung dengan penuh sarat tanpa sedikit pun merasa ianya satu bebanan. Ibu kamu adalah orang pertama yang telah merawat anakmu sampai sekarang, jika bukan kerana perjuangan seorang ibu, anakmu tidak akan berada di dunia ini. Seorang ibu adalah cahaya dunia bagi setiap anak yang lahir di dunia ini. Luar biasa, begitu banyak perjuangannya telah dikorbankan dengan tenaga, waktu, harta, dan bukan itu sahaja, kerana cinta seorang ibu kepada seorang anak, apa sahaja sanggup di korbankan demi melihat anak tercinta membesar menjadi anak yang berjaya dunia dan akhirat. Sungguh kami tidak dapat membalas jasa setiap keringat mu wahai ibu. Tidur mu yang tidak mencukupi demi menjaga anakmu siang dan malam. Apabila kami dewasa, ibu tetap akan memastikan kehidupan anaknya mendapat yang terbaik. Kami mengucapkan terima kasih kepada insan yang bergelar ibu yang telah merawat kami sehingga dewasa dengan penuh kasih sayang. Kami tahu sedikit pun kamu tidak pernah meminta untuk kami sebagai anak untuk membalas jasamu kerana apa yang ibu beri adalah kasih sayang yang tulus dari hati yang ikhlas dari insan yang bernama ibu. Tanggal 10 Mei pada setiap tahun seluruh dunia akan menghargai pengorbanan seorang ibu dengan menyambut hari ibu. Selamat Hari Ibu diucapkan kepada semua insan yang bergelar ibu tidak kira bangsa agama, sesungguhnya ibu adalah insan yang terhebat dan kasih ibu membawa ke syurga. SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU.

Posted in May 2020 | Leave a comment

SCOPUS WEBINARS TRAINING SERIES 2020

Lets Join!!

As part of Elsevier ongoing commitment with respect to Scopus, its Senior Consultant, Alexander van Servellen, will be providing Scopus training webinars every fortnight.

These webinars serve as essential professional development, knowledge enhancement or validation, and a platform to ask questions.  Each webinar will last for an hour and includes time for question and answer.

Please to register using your institutional email address (i.e. not Gmail, Yahoo etc.).

Please see below for the schedule of sessions to be delivered:

DATE SESSION TITLE WEBINAR LINK & REGISTRATION
6 May 2020 Still haven’t found what you’re looking for? Scopus search and results. https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_RdIPHcHmQSyg_CQBC3oUdA
20 May 2020 Curated content. What content is included in Scopus and how is it selected? https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_tR2NtHz7SOy3am_lRe4byA
3 June 2020 Author Profiles in Scopus. How do they work and how can I make changes to my profile?! https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_bOxSYXqcQoGakalmHHlp3g
17 June 2020 Journal analysis in Scopus. https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_eT6iT47sS8ukzKV94nmJxg
1 July 2020 Metrics and analysis in Scopus. The cans and cannots. https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_Ka3C68yVToO8d8qAecgQQA
14 July 2020 Institutional Profiles in Scopus. https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_GCXUKzlvShCQz9QtkdfIYQ
29 July 2020 The Dark Art of Advanced Search. https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_OLBw781OTMmGQIR3OAKmIA
12 Aug 2020 Search Alerts. Why repeat a search when you can setup an Alert? https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_SK4yFZPpQ7iFLdMGFZEmDA
26 Aug 2020

Funding acknowledgements in Scopus.

https://elsevier.zoom.us/webinar/register/WN_kbrSUomxRDSNNSN_SAVDZw

All are invited to join the webinar scheduled above. Please register at the link provided.

Posted in May 2020 | Tagged , | Leave a comment

SELAMAT HARI BOMBA SEDUNIA

Bertemakan seperti tahun lepas “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” bagi sambutan HARI BOMBA SEDUNIA 2020 yang disambut pada 4 Mei setiap tahun. Tugasan dan amanah yang diberikan dalam memberi perlindungan kepada manusia dan haiwan, pengurusan insiden kemalangan, berbakti dan berkorban demi negara amat sinonim dengan keadaan masa kini bagi tugas kebombaan.

Sebagai simbolik Hari Bomba Sedunia, sebanyak 316 balai bomba di seluruh negara membunyikan siren selama 30 saat. Semua warga JBPM terus kekal berdepan cabaran penugasan mereka ketika ini tatkala wabak Covid-19 melanda negara, anggota bomba telah melaksanakan tugas seawal bulan Februari lalu termasuk program sanitasi nyah cemar dan pemindahan mangsa-mangsa positif Covid-19 hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semoga seluruh anggota bomba terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam pelbagai misi kecemasan, khidmat kemanusiaan dan pengurusan bencana. Tidak terbalas jasa yang telah anggota bomba berikan kepada rakyat dan hanya Tuhan bisa membalas segala kebaikan dan pengorbanan mereka. Dengan ucapan terima kasih dapat kami lafazkan atas pengorbanan yang jadi sanjungan sehingga melangkaui usia sudah lebih 137 tahun mereka berbakti kepada agama bangsa dan negara. Pihak Perpustakaan Laman Hikmah juga tidak melepaskan peluang dengan mengucapkan SELAMAT HARI BOMBA SEDUNIA.

Posted in May 2020 | Leave a comment

Selamat Hari Pekerja

Selamat Hari Pekerja 2020 kepada pekerja-pekerja di Malaysia sama ada di sektor kerajaan, sektor swasta mahupun pekerja persendirian yang menggerakkan rangkaian perekonomian negara. Sambutan hari pekerja ini disambut di seluruh dunia setiap 1 Mei setiap tahun. Tema Hari Perkerja 2020 ialah “Pekerja Tunjang Kelestarian Negara” dan tema ini menekankan bagaimana kita rakyat Malaysia khususnya warga pekerja perlu melaksanakan kerja dan tanggungjawab dengan prinsip amanah dan integriti bagi memacu kemakmuran Negara dengan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Apabila jatuhnya tarikh 1 Mei setiap tahun, kita bukan sekadar bercuti malahan yang lebih utama, setiap negara meraikan golongan yang paling penting dan mustahak dalam pembangunan negara tidak kira sama ada mereka dari golongan pentadbir, pendidik, doktor, jururawat, perajurit, anggota keselamatan mahupun golongan kumpulan pelaksana sekalipun, masing-masing telah memainkan peranan dalam meningkatkan pembangunan negara dan pekerja ini amat bermakna kerana pekerja hari ini adalah sumber teras kejayaan masa depan negara. Hubungan tripartisme yang baik antara Kerajaan, pekerja dan majikan juga menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Sungguhpun ada ketikanya kita mungkin bercanggah pendapat, akhirnya penyelesaian bersama akan tercapai dan ini akan memberi manfaat kepada setiap sesebuah organisasi.

Semoga semua pekerja akan terus bersemangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada organisasi dan seterusnya kepada negara keseluruhannya. Teruskan berkhidmat dan amalkan budaya kerja yang proaktif. Kecemerlangan negara adalah bergantung kepada usaha dan sumbangan kita semua. Bersama kita membina negara yang sejahtera. Marilah kita warga Malaysia memperkukuhkan jati diri, menyuburkan fikiran positif dan bersedia untuk menyumbang tenaga kepada negara. Kami warga Perpustakaan Laman Hikmah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja.

Posted in May 2020 | Leave a comment

PANDUAN SOLAT TARAWIH & CONTOH KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM DI RUMAH

Solat sunat tarawih boleh dilakukan sama ada secara sendirian atau berjemaah. Berikut adalah panduan solat tarawih:

1. Lafaz Niat Solat Tarawih

Lafaz niat sembahyang sunat Tarawih adalah seperti berikut :

اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى

Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat (menjadi makmum / imam) kerana Allah Taala.

Jumlah rakaat boleh dilakukan 8 rakaat (4 salam) atau 20 rakaat (10 salam).

 

BACAAN SURAH

Pada malam 1 hingga 15 Ramadhan boleh juga dibacakan surah-surah yang tertentu pada rakaat pertama mengikut susunan seperti:

Surah Al-Takathur

Surah Al-Asr
Surah Al-Humazah
Surah Al-Fil
Surah Quraisy
Surah Al-Ma’un
Surah Al-Kautsar
Surah Al-Kafi run
Surah An-Nasr
Surah Al-Masad

Pada setiap rakaat yang kedua pula dibaca surah Al-Ikhlas.

Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan, setiap rakaat yang pertama dibaca surah AL-QADR.

Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama seperti malam 1 – 15 Ramadhan iaitu bermula dari surah al-Takathur hingga kepada surah al-Masad.

Penentuan surah seperti di atas hanyalah untuk memudahkan kita.

 

BACAAN SELAWAT DAN WIRID

Selawat dan wirid ketika memulakan atau di antara solat tarawih tidak perlu dibaca jika kita tidak menghafalnya.

Namun, tidak salah juga jika kita ingin mengamalkannya untuk menambahkan lagi ibadat pada bulan yang mulia ini.

(Panduan selawat dan wirid boleh rujuk pada gambar di bawah.)

 

SOLAT SUNAT WITIR

Selepas solat Tarawih, boleh terus tunaikan solat Witir 3 rakaat.

Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam.
(2 rakaat + 1 rakaat)

Lafaz niat sembahyang sunat Witir:

Sahaja aku sembahyang sunat Witir 1 rakaat / 2 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala.

Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
Pada malam ke 16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir.

Lafaznya sama dengan lafaz qunut sembahyang Subuh.

Boleh dibacakan apa-apa surah selepas surah al-Fatihah, namun afdalnya boleh dibaca surah berikut:

Rakaat pertama – surah Al-A’la
Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas

 

Posted in April 2020 | Leave a comment

Jadual Waktu Imsak dan Berbuka Puasa Tahun 1441H / 2020M

Bersahur digalakkan bagi mereka yang berpuasa kerana ia adalah sunnah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Besahur dapat membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan.

Daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Semua sahur adalah berkat. Sebab itu, jangan kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya memberikan selawat untuk orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

 

BERSAHUR DAN MELEWATKANNYA

Bersahur pula hendaklah dilewatkan dan menghampiri waktu fajar dan mengakhirkan sahur termasuk juga amalan sunnah, malah ia bermanfaat untuk memendekkan waktu lapar dan menahan diri daripada perkara ditegah ketika berpuasa.

Daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam Tabrani dan Ibnu Hibban pula meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Kemudian, hadis daripada Irbadh bin Sariyah yang berkata: “Rasulullah SAW memanggil aku untuk makan sahur pada bulan Ramadan. Sabda Baginda kepadaku: ‘Datanglah ke sini untuk makan hidangan yang diberkati ini.’” (Riwayat Abu Daud, Nasai, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jika berbuka kita perlu menyegerakannya, bersahur pula kita dianjurkan agar melewatkannya.

Dalam riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka dan mengakhirkan waktu sahurnya.”

Jelas kelebihan bersahur dapat melatih kita untuk mengerjakan solat sunat tahajud. Kesempatan untuk bangun sebelum waktu Subuh di luar Ramadan jarang berlaku. Dengan bersahur, maka kita dapat menggunakan waktu yang singkat itu dengan efektif selain dapat mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat Tahajud.

Kemuliaan yang ada dalam solat itu dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam hari bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Al-Israa, ayat 79)

 

SEGERA BERBUKA APABILA MASUK WAKTUNYA

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Umatku masih berada dalam sunahku, selagi dia tidak menunggu sehingga bintang muncul ketika berbuka.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Manusia masih berada dalam kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka.”

Berpandukan kepada hadis berkenaan jelas menunjukkan anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya agar menyegerakan berbuka apabila masuk waktunya. Jangan salah sangka konon dengan melewatkan waktu berbuka dapat menambahkan lagi pahala.

Berikut adalah jadual waktu imsak dan berbuka puasa tahun 1441H / 2020M bagi seluruh Malaysia:

JOHOR JADUAL_WIBP_2020_1441_Johor
MELAKA JADUAL_WIBP_2020_1441_Melaka
NEGERI SEMBILAN JADUAL_WIBP_2020_1441_Negeri_Sembilan
PAHANG JADUAL_WIBP_2020_1441_Pahang
PERAK JADUAL_WIBP_2020_1441_Perak
PULAU PINANG JADUAL_WIBP_2020_1441_Pulau_Pinang
SABAH JADUAL_WIBP_2020_1441_Sabah
SARAWAK JADUAL_WIBP_2020_1441_Sarawak
SELANGOR JADUAL_WIBP_2020_1441_Selangor
TERENGGANU JADUAL_WIBP_2020_1441_Tganu
WILAYAH PERSEKUTUAN JADUAL_WIBP_2020_1441_Wilayah_Persekutuan
KEDAH JADUAL-WIBP-2020-1441-Kedah
KELANTAN JADUAL-WIBP-2020-1441-Kelantan
PERLIS JADUAL-WIBP-2020-1441-Perlis
Posted in April 2020 | Leave a comment

Fadhilat Ramadhan

Rukun Islam yang kelima adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Ini adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam kerana ianya merupakan ibadah yang telah difardhukan oleh Allah SWT. Maksud Ibadah ialah tuntutan ke atas seseorang hamba bagi melaksanakannya sebagai memenuhi perintah Allah SWT dan menunaikannya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah tersebut. Namun Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, apabila menfardhukan sesuatu ibadah kepada hamba-Nya pasti ada kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan. Antara kelebihannya:

  1. Ibadah puasa adalah ibadah rohaniah dan jasadiah. Apabila ibadah puasa dilaksanakan dengan menjaga Sunnah dan adab berpuasa maka hasil daripadanya akan membentuk seorang hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah SWT.

 

  1. Al-Quran yang mulia telah diturunkan kepada manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW, kepada umat yang paling mulia, iaitu umat Baginda SAW dan di bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadhan dan orang yang membacanya adalah orang yang mulia.

 

  1. Puasa adalah pintu segala ibadah kerana dengan berpuasa Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba.  Apabila dosa-dosanya diampunkan maka ianya  menjadikan hati bercahaya dan cahaya itu akan menimbulkan keghairahan untuk melakukan setiap amal ibadah yang lain dengan bersungguh-sungguh. Namun, ulama mengingatkan bahawa hanya dosa-dosa kecil sahaja yang terhapus dan dosa-dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan hanya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat.

 

  1. Makna “Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya”,iaitu puasa merupakan amalan batin yang hakikatnya tidak diketahui melainkan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan orang yang melakukannya sendiri sahaja. Ia merupakan ibadah yang berbentuk niat dalam hati dan berbeza dengan semua amalan lain yang boleh dilihat oleh mata orang lain dan tidak lepas daripada syirik, riya’, ujub serta takkabur. Manakala puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Rabb-nya.

 

  1. Semua manusia menginginkan kegembiraan, namun hanya sedikit sahaja yang mendapat kegembiraan sejati. Kebanyakan manusia terjerumus dalam kegembiraan palsu yang penghujungnya adalah kesengsaraan. Kegembiraan hakiki itu hanyalah daripada Allah SWT. Melalui ibadah puasa, Allah SWT berjanji melalui lidah Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa.

 

  1. Allah SWT itu Maha Mendengar akan setiap permohonan hamba-hamba-Nya. Adalah diketahui daripada banyak hadith bahawa doa–doa dalam bulan Ramadhan diterima secara khusus.Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah SWT telah berjanji dan janji itu disampaikan pula oleh seorang Rasul yang benar. Jika perkara yang diminta itu ada kebaikan untuknya maka akan diberikan, jika tidak maka tidak akan diperkenankan atau diganti dengan yang lebih perlu baginya atau akan disempurnakan di akhirat nanti. Ini adalah satu ehsan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Walaubagaimanapun kerana kurang penelitian, seseorang hamba akan meminta sesuatu perkara yang tidak sesuai untuknya.  Justeru, janganlah pula terfikir bahawa sesuatu doa itu tidak dimakbulkan, sebaliknya hendaklah memahami erti sebenar penerimaan sesuatu doa tersebut. Justeru, sempurnakan perintah-perintah Allah nescaya Allah akan menerima doa-doa yang dipohon oleh hamba-Nya.

 

  1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array”dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

 

  1. Seorang yang benar-benar beriman pada zahirnya, di samping menunaikan amalan fardhu akan membanyakkan amalan yang sunat. Setiap ahli syurga akan diseru mengikut amalan masing-masing. Sesiapa yang daripada kalangan ahli solat akan diseru daripada pintu solat. Ahli solat adalah orang yang banyak bersolat. Dengan menunaikan solat fardhu berjamaah dan banyak mengerjakan solat-solat sunat barulah layak dipanggil sebagai ahli solat. Sesiapa yang daripada kalangan ahli puasa dia akan diseru daripada pintu al-Rayyan. Ahli puasa ialah orang yang banyak berpuasa. Di samping dia berpuasa di bulan Ramadan yang merupakan puasa wajib, dia juga banyak berpuasa sunat sehingga layaklah dia digelar ahli puasa. Sesiapa daripada kalangan ahli sedekah dia akan diseru daripada pintu sedekah. Ahli sedekah ialah orang yang banyak bersedekah. Di samping dia menunaikan sedekah-sedekah wajib (zakat) dia juga banyak bersedekah sunat sehingga layak dia dipanggil ahli sedekah.

 

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang amat istimewa dan unggul kerana Allah SWT mencurahkan pahala, rahmat dan keampunan-Nya pada setiap hari, setiap jam, setiap detik dan saat sepanjang Ramadhan tanpa henti berbanding bulan-bulan yang lain.

Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, Al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya. Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya senantiasa berpuasa dan pada malam harinya membaca Al-Quran serta sibuk mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan amalan-amalan ibadah yang lain.

Sebaliknya amatlah rugi dan kesal bagi mereka yang mengabaikan serta tidak mengendahkan perintah-perintah Allah SWT. Begitu juga apabila mereka melakukan amalan-amalan tersebut dengan malas dan sambil lewa. Bahkan amalan-amalan tersebut akan mengutuk dan mendoakan kecelakaan kepada mereka di hari kiamat nanti.

 

Sumber: http://myhadith.islam.gov.my/index.php/bm/semua-al-manhal-al-tanwir/984-kelebihan-puasa-di-bulan-ramadhan

Posted in April 2020 | Leave a comment