
Setelah pengumuman dibuat oleh Kerajaan untuk pelajar IPT dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dan ianya juga diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pengajian Tinggi. Oleh itu, pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah mengambil langkah-langkah yang ditetapkan bagi menghantar pelajar-pelajar pulang ke kediaman masing-masing. Pihak UTeM telah menyempurnakan 6 operasi penghantaran pulang penuntutnya setakat hari ini yang mana peringkat pertama bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1, peringkat ketiga penghantaran pulang ke Sabah dan Sarawak, peringkat keempat Zon Pantai Timur, peringkat kelima sebelum ini Zon Tengah 2 iaitu negeri Perak dan yang terkini peringkat keenam iaitu ke Zon Utara iaitu negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah. Kelihatan wajah-wajah ceria pelajar-pelajar kerana dapat pulang ke kampung halaman masing-masing setelah lama tinggal di asrama dan rumah sewa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Pelajar bersiap sedia untuk pulang ke kampong
Bagi memastikan kelancaran Ops hantar pulang pelajar, kakitangan UTeM juga bertungkus lumus dalam menjayakan ops ini dan banyak jabatan yang terlibat dari bermulanya proses pendaftaran pelajar, penyusunan tempat supaya terdapat penjarakan sosial, penyusunan mengikut zon, pemeriksaan kesihatan dan suhu, penyediaan hand sanitizer dan mask kepada pelajar, pemandu-pemandu yang ditugaskan membawa bas mengikut zon, polis bantuan dan pegawai pengiring juga tidak terkecuali untuk memastikan kelancaran ops ini serta pegawai-pegawai yang terlibat dengan lain-lain tugasan bagi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Kakitangan UTeM juga membantu bagi menjayakan Ops hantar pulang pelajar
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, “kelancaran proses penghantaran, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta kerjasama baik seluruh jentera agensi kerajaan yang terlibat. Secara keseluruhannya aspek pematuhan SOP dilaksanakan dengan jayanya meliputi pelajar, staf yang terlibat serta kenderaan terbabit sejak dari awal hingga selesai proses. Kesemua kenderaan yang digunakan turut sekali lagi melalui proses dinyah cemar sekali lagi sejurus selesai penghantaran pelajar dan sebelum bergerak pulang ke kampus induk UTeM. Penzahiran kerjasama baik dari Jabatan BOMBA dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi kerajaan terbabit turut menjadi pelengkap kepada keberhasilan operasi peringkat pertama ini”.

Taklimat daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap
Suasana di dalam Dewan Canselor UTeM dengan melakukan penjarakan sosial

Kerjasama dari Polis Diraja Malaysia
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara agensi yang terlibat bagi mengambil langkah pencegahan jangkitan COVID-19, dengan membuat disinfeksi di setiap bas yang membawa pulang pelajar dari kampus untuk pulang ke kediaman keluarga mereka. Berikut adalah proses nyah cemar yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat terhadap bas-bas yang digunakan. Penugasan disinfeksi dibuat sebelum dan selepas bas bergerak, dengan mencuci setiap bahagian bas dari dalam hingga ke luar. Sebelum memasukkan beg pelajar ke dalam bas, anggota bomba terlebih dahulu mengumpulkan beg-beg pelajar di satu tempat untuk disembur dan disanitasi sebagai langkah pencegahan wabak berkenaan. Selepas semburan dan sanitasi selesai dibuat pada beg mereka, barulah barangan mereka diletakkan di ruangan tempat meletak barangan. Ini bagi memastikan supaya tiada unsur-unsur penularan wabak COVID-19 dibawa oleh penuntut IPT, ketika berada di dalam bas dan pihak bomba sangat serius dalam perkara ini.
 |
 |
Proses dinyah cemar pada bas oleh anggota Bomba
Proses dinyah cemar pada beg oleh anggota Bomba
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim yang turut memantau dan mengikuti sepanjang proses penghantaran ini dan gembira apabila operasi ini berjalan dengan efisien dan lancar dan terus menjadi momentum terbaik bagi memastikan keberjayaan proses penghantaran penuntut bagi semua peringkat. Secara umumnya UTeM sentiasa komited dalam menjayakan amanat yang telah disandarkan oleh pihak kerajaan secara ammya dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara khususnya.
Taklimat daripada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim
Sebelum menaiki bas semua pelajar akan diperiksa suhu badan bagi memastikan pelajar benar-benar sihat dan bebas dari wabak Covid-19 dan mereka akan meneruskan perjalan ke kampung halaman. Ini juga adalah salah satu langkah pencegahan yang telah ditetapkan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Pemeriksaaan suhu
Kelihatan bas-bas telah siap sedia parkir di perkarangan Dewan Canselor UTeM untuk membawa pelajar pulang ke negeri masing-masing. Para pelajar juga kelihatan patuh dengan tatacara menaiki bas dengan beratur dan mengambil tempat duduk mengikut garisan had penjarakan sosial yang disediakan. Kelihatan bas-bas dari IPTA lain juga turut serta, ini kerana semua IPTA telah bekerjasama dalam menjayakan Ops Hantar Pulang Pelajar di seluruh negeri. Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap serta kakitangan UTeM melambai dan mengucapkan selamat jalan kepada pelajar-pelajar setelah bas yang mula bergerak memulakan perjalanan. Bas-bas ini juga diiringi oleh Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan UTeM.

Suasana di tempat parkir bas
Kerjasama dari IPTA lain untuk Ops Hantar Pulang Pelajar
Wajah ceria pelajar beratur dan berada di dalam bas dengan melakukan penjarakan sosial
Lambaian Selamat Jalan dari Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira, Dr Raha Abdul Rahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap serta kakitangan UTeM

Polis Bantuan UTeM mengiringi bas-bas yang memulakan perjalanan
Berikut adalah suasana di Lapangan terbang KLIA bagi kumpulan pelajar untuk penerbangan ke Sabah Sarawak pada pagi 11 Mei 2020. Alhamdulillah, pihak UTeM menerima slot daripada pihak MAS bagi kumpulan ini. Dan sudah pasti, pihak UTeM akan menunggu slot seterusnya bagi penerbangan pelajar-pelajar lain ke Sabah dan Sarawak. Para pelajar juga dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai penutup mulut dan hidung dan mematuhi penjarakan sosial ketika check-in dan sepanjang berada di Lapangan Terbang KLIA.
Suasana di Lapangan Terbang KLIA
Alhamdulilah, ramai pelajar-pelajar UTeM telah selamat sampai ke pangkuan keluarga di negeri masing-masing. Terima kasih atas kerjasama semua pihak yang bekerja keras dalam memastikan semua berjalan lancar. Kelihatan ahli keluarga pelajar-pelajar juga merasa bersyukur kerana anak mereka selamat tiba di kampung halaman dan kelihatan ibu ayah yang menyambut kepulangan anak-anak mereka dengan wajah yang ceria serta mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan ops ini sehingga anak mereka selamat sampi ke pangkuan keluarga.
Wajah-wajah kegembiraan ahli keluarga menerima kepulangan anak tercinta
Semoga semua pelajar dapat menjaga kesihatan sepanjang berada di kampung dan merayakan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Pelajar juga diingatkan supaya patuh dengan arahan kerajaan berkaitan dengan tatacara menyambut aidilfitri bersama ahli keluarga di kampung halaman. Semoga kita semua dijauhi dan dapat mencegah wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita. Walaubagaimana pun, para pelajar tetap akan menjalani kelas online bersama pensyarah-pensyarah mengikut jadual kelas yang akan dikeluarkan. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini juga terdapat perkhidmatan online yang disediakan oleh pihak utem. Pihak Perpustakaan Laman Hikmah juga tidak ketinggalan menyediakan banyak perkhidmatan online dan pemberitahuan perkhidmatan online ini akan dipanjangkan melalui email dan media sosial rasmi Perpustakaan Laman Hikmah. Semoga dengan inisiatif menyediakan perkhidmatan online ini dapat membantu dan memudahkan para pelajar untuk berurusan.