Bengkel Penilaian dan Penambahbaikan Perkhidmatan Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) yang telah diadakan pada 23 dan 24 November 2020 bertempat di Bilik Tayangan, Aras 1, PLH, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Bengkel ini telah berlangsung selama dua hari dan melibatkan seramai 19 orang staf Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan 4 orang pelajar praktikal. Penceramah jemputan ialah Dr. Mohd Fauzi bin Kamarudin, Dekan Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) manakala fasilitator terdiri daripada Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Ketua Seksyen Sirkulasi dan Ketua Seksyen Rujukan. Program ini bertujuan untuk menilai, memantapkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan maklumat dan kemudahan yang disediakan kepada pengguna perpustakaan dan mempersiap siaga staf dengan kemahiran maklumat yang bersesuaian sebagai frontliner perpustakaan seiring dengan norma baharu pada masa kini.



Seiring dengan norma baharu disebabkan oleh Pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini, perpustakaan perlu bersiap sedia untuk mengadaptasi dan mencipta perubahan yang bersesuaian dengan keadaan semasa serta meneroka perkara-perkara baharu yang boleh diketengahkan untuk terus kekal relevan serta menyaingi kepesatan teknologi yang semakin canggih pada masa kini.


PLH juga perlu membuat inovasi dan penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada pengguna agar dapat memberikan kepuasan kepada mereka melalui keberkesanan penyampaian maklumat dan penyediaan perkhidmatan yang cekap, berkualiti, dan sekaligus memberikan gambaran positif terhadap imej dan reputasi sesebuah perpustakaan.




Justeru itu, Bahagian Perkhidmatan Maklumat yang terdiri daripada Seksyen Sirkulasi dan Seksyen Rujukan perlu memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat yang tepat dan penyediaan perkhidmatan yang cemerlang kepada pengguna perpustakaan. Sehubungan itu, penganjuran bengkel ini dilihat dapat memberi impak yang positif dalam memantapkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada serta inisiatif baharu yang bakal ditawarkan kepada pengguna; sekaligus menyokong proses pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan bagi melonjak kecemerlangan universiti.