SEMBANG BUKU BERSAMA PENULIS: PENGURUSAN SITASI ILMUWAN CEMERLANG

Sembang Buku Bersama Penulis: Pengurusan Sitasi Ilmuwan Cemerlang pada 18 November 2020 (Rabu) secara dalam talian menggunakan platfom Webex anjuran Unit Informasi dan Promosi, Seksyen Rujukan, Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Penganjuran program ini bertujuan untuk menggalakkan warga UTeM khususnya dan komuniti luar amnya dalam membudayakan amalan membaca sebagai menyokong kepada aspirasi pembelajaran sepanjang hayat. Di samping itu, ianya dapat memartabatkan budaya membaca ke persada dunia selain melahirkan lebih ramai ilmuan di negara kita amnya dan warga UTeM khususnya. Penganjuran program ini juga adalah untuk menyokong Read@Uni yang bertujuan menghidupkan kembali Kempen Membaca Kebangsaan bermula tahun 2018 sehingga tahun 2020 bagi mewujudkan negara membaca pada tahun 2030.

Program Sembang Buku ini akan menampilkan penulis buku iaitu Profesor Ts. Dr. Rabiah binti Ahmad, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi serta Ts. Dr. Ruziah binti Ali, Pegawai Penerbitan Kanan daripada Pejabat Ketua Pegawai Maklumat yang merupakan penulis bersama bagi buku tersebut. Moderator adalah Puan Nurdayana Izyan binti Ahmad Ahsan daripada Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, UTeM.

Sehubungan itu, PLH sekali lagi akan menganjurkan Program Sembang Buku bersama Penulis bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman penulis yang boleh dimanfaatkan oleh warga universiti khususnya selain dapat mewujudkan kesedaran dan kepentingan dalam pembacaan serta memastikan program penggiatan budaya membaca yang terancang dan berterusan dapat dilaksanakan kepada warga UTeM.

Objektif bagi program ini adalah mendedahkan audien dengan proses penulisan artikel jurnal yang mantap dan berimpak tinggi, berkongsi pengalaman bersama warga UTeM bagaimana untuk meningkatkan bilangan sitasi daripada jurnal yang diterbitkan, berkongsi tips agar para penyelidik dapat mengetahui cara terbaik serta olahan yang paling sesuai dalam menghasilkan artikel jurnal dan melestarikan peranan Perpustakaan Laman Hikmah dalam menyokong aktiviti galakan membaca di kalangan warga UTeM dan mencintai ilmu serta membudayakan amalan pembelajaran sepanjang hayat.

Penganjuran program ini juga merupakan penganjuran kali kedua dengan kerjasama Penerbit UTeM selepas Program Sembang Buku bersama Penulis bertajuk ‘Jom Bisnes’ dianjurkan pada bulan Ogos yang lalu bagi mempergiat aktiviti galakan membaca di kalangan mahasiswa, pensyarah dan warga institusi. Program ini juga telah berjaya menarik penyertaan yang tinggi di kalangan warga UTeM.

This entry was posted in November 2020. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *