
Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada nabi Muhammad sehingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t pada 17 Ramadhanyang disebut Malam Qadar. Diturunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi s.a.w. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Muhammad maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang memikirkan rahsia al-Quran. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah 5 ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
Malam Qadar dikurniakan Allah pada setiap datangnya Bulan Ramadan. Kelebihan dan kemuliaannya adalah lebih baik dari 1,000 bulan. Ini dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran:
“Malam Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan”
Bila berlakunya dan berapa lama Malam Qadar itu tidaklah dinyatakan secara tepat oleh nabi s.a.w. Setengah pendapat menyebut pada malam-malam ganjil dan setengahnya menyebut pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan. Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena Nuzul Quran. Amalan memperbanyakkan membaca al-Quran di bulan Ramadan ini amatlah digalakkan. Membaca, tadabbur (menghayati) dan mengamalkannya. Al-Quran juga merupakan penawar dan menyelamatkan kita daripada pelbagai kerosakan. Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai pedoman dan pengajaran untuk memandu manusia melalui kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang selalu membaca al-Quran juga diharapkan beroleh kedudukan yang mulia di sisi ALLAH selain pertolongan di hari kiamat. Ini seperti mana sabda Nabi SAW bermaksud, “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya” (Hadis Riwayat Muslim).
Salam Nuzul Al-Quran kepada semua umat Islam sepanjang bulan suci Ramadhan ini. Semoga kita sentiasa mendapat tekad dan ketenangan untuk terus membaca dan mempelajari Al-Quran dengan harapan dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

