NAIK TARAF SELESAI: PS5 KINI SEBAHAGIAN DARIPADA KEMUDAHAN PLH

Seiring dengan usaha Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) untuk terus memperkaya pengalaman pengguna, kemudahan permainan elektronik di perpustakaan kini telah dinaik taraf daripada PlayStation 4 (PS4) kepada PlayStation 5 (PS5). Penaiktarafan ini mencerminkan komitmen PLH dalam menyediakan kemudahan rekreasi digital yang lebih moden dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa. Dengan prestasi yang lebih pantas, kualiti grafik yang lebih mengagumkan serta ciri-ciri permainan yang lebih canggih, PS5 menawarkan pengalaman permainan yang lebih menarik dan imersif kepada pengguna.

Sejak tahun 2018, PLH telah menyediakan kemudahan permainan elektronik menerusi lima (5) set PlayStation 4 (PS4) untuk kegunaan pengguna. Kemudahan ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan warga universiti sebagai salah satu aktiviti rekreasi digital di perpustakaan. Selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan gaya hidup pelajar masa kini, PLH telah menambah dua (2) set PlayStation 5 (PS5) pada tahun 2025 bagi memperkasakan peranan perpustakaan sebagai ruang kolaboratif (collaborative space) dan titik pertemuan (meeting point) yang menyokong interaksi, kreativiti serta pengalaman pengguna yang lebih dinamik. Inisiatif ini turut menyumbang kepada usaha universiti dalam membina ekosistem kampus yang lebih rancak, inklusif dan mampan.

Kelebihan PlayStation 5 (PS5)

PlayStation 5 (PS5) memberikan pengalaman permainan yang lebih menarik dan menyeronokkan kepada pengguna. Berbanding PS4, PS5 menawarkan paparan visual yang lebih jelas, permainan yang lebih lancar serta masa menunggu yang lebih singkat sebelum permainan bermula. Selain itu, reka bentuk dan ciri baharu pada alat kawalan PS5 turut memberikan pengalaman bermain yang lebih selesa dan interaktif. PS5 juga menyokong pelbagai pilihan permainan terkini yang dapat memenuhi minat pengguna daripada pelbagai peringkat.

Oleh itu, bermula 21 Julai 2026, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Kampus Induk memperkenalkan perkhidmatan sewaan PlayStation 5 (PS5). Melalui perkhidmatan ini, warga UTeM berpeluang menikmati pengalaman permainan video menggunakan konsol PS5 pada kadar sewaan yang berpatutan, iaitu RM4.00 sejam bagi pelajar dan staf UTeM, manakala RM10.00 sejam bagi pengguna luar. Setiap sesi sewaan turut disertakan dengan satu (1) unit pengawal (controller) PS5.

Penyediaan kemudahan permainan elektronik tambahan ini bertujuan menyediakan ruang rekreasi yang dapat menyokong keseimbangan gaya hidup warga kampus. Selain menjadi aktiviti santai selepas sesi pembelajaran dan tugasan akademik, kemudahan ini juga memberi peluang kepada pengguna untuk mengurangkan tekanan serta mengeratkan hubungan bersama rakan-rakan dalam suasana perpustakaan yang kondusif. Pengguna luar berpeluang merasai pengalaman permainan generasi baharu dengan PlayStation 5 (PS5) yang kini tersedia di Perpustakaan Laman Hikmah mulai bulan ini. 

Perpustakaan Laman Hikmah sentiasa komited untuk menyediakan kemudahan yang inovatif, relevan dan berorientasikan keperluan pengguna. Selaras dengan aspirasi universiti dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan holistik, perpustakaan akan terus memperkenalkan perkhidmatan serta kemudahan yang bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, malah turut memperkaya pengalaman warga kampus sepanjang berada di perpustakaan.

This entry was posted in July 2026. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *