
Buat julung kalinya, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menjalankan Projek Komuniti ‘Sudut Hikmah’ Masjid Al-Ghaffar Jasin pada 13 Julai 2022 (Rabu) di Masjid Al-Ghaffar Jasin.
Projek Komuniti membangunkan ruang bacaan yang dikenali ‘Sudut Hikmah’ itu telah dibangunkan oleh seramai 12 orang staf Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) UTeM.
Objektif program ini adalah melaksanakan tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat khususnya sekitar UTeM dan ianya bagi menyokong pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat di samping menggalakkan keterlibatan staf perpustakaan dalam program yang berbentuk perkhidmatan kepada komuniti.
Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah menaiktaraf sudut bacaan sedia ada dengan penambahan peralatan bagi menceriakan sudut bacaan masjid dan PLH UTeM juga telah menyumbangkan sebanyak 256 naskah bahan bacaan.
Projek ini merupakan pertama kali dilaksanakan di institusi masjid berbanding sebelum ini hanya berfokus kepada sekolah-sekolah di sekitar negeri Melaka.
Semoga usaha yang dijalankan dapat memberi manfaat dan impak kepada semua pihak khususnya kepada komuniti dan diharapkan dapat memupuk perasaan muhibah antara komuniti dan warga universiti.
Jutaan terima kasih kepada Ustaz Muhammad Mawardi bin Hj Shafai selaku Ketua Agama Islam Daerah Jasin dan Ustaz Yuzfariman bin Bohari, Imam 1 Masjid kerana telah memberi sokongan kepada PLH bagi menjalankan projek tersebut.
Setinggi penghargaan juga kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak, terutama kepada para penyumbang yang terdiri daripada staf dan individu yang telah turut serta membantu merealisasikan program ini.







