PLH MENANG PINGAT PERAK ANUGERAH HIJAU NEGERI MELAKA 2019

Anugerah Hijau Negeri Melaka 2019 merupakan satu platform pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi awam/swasta,  institusi awam/swasta, industri dan komuniti  yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif teknologi hijau di Negeri Melaka.

Anugerah Hijau Negeri Melaka dianjurkan oleh Perbandanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) selaku agensi yang bertanggungjawab sebagai peneraju teknologi hijau di Negeri Melaka. Anugerah ini telah dianjurkan sejak tahun 2015 dan tahun 2019 merupakan tahun ke- 5 penganjurannya.

Antara objektif anugerah ini diadakan adalah:

  • Memberikan pengiktirafan kepada agensi awam/swasta, institusi awam/swasta, industri dan komuniti  yang melaksanakan amalan teknologi hijau
  • Menggalakkan lebih banyak penglibatan agensi awam/swasta, institusi awam/swasta, industri dan komuniti dalam pelaksanaan amalan teknologi hijau
  • Membudayakan amalan teknologi hijau kepada semua peringkat usia
  • Mempromosikan pelaksanaan teknologi hijau di Negeri Melaka

Terdapat 6 kategori yang telah dipertandingkan iaitu, Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Produk Hijau , Inovasi Hijau, Komuniti Hijau dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Hijau. Sebagai sebuah jabatan yang menyokong pelaksanaan amalan hijau dan pengurusan tenaga yang cekap di UTeM, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH)  telah mengambil peluang ini untuk mempertandingkan salah satu inisiatif yang telah dibangunkan di perpustakaan iaitu “Auto Shut Down System” di bawah kategori Inovasi Hijau dengan yuran penyertaan sebanyak RM 600.00.

PLH telah diwakili oleh Puan Norshahila Che Din dan Encik Mohamad Azhari Johari bagi sesi pembentangan kertas kerja selama 30 minit yang telah diadakan di pejabat PTHM pada 27 Ogos 2019 yang lalu. Alhamdulillah, PLH telah berjaya memenangi Pingat Perak bagi kategori tersebut dan  pengiktirafan tersebut telah disempurnakan oleh YB. Datuk Tey Kok Kiew, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau pada Majlis Anugerah Hijau  Negeri Melaka 2019 bertempat di Hotel Ramada Plaza Melaka pada 18 Oktober 2019.

Tahniah diucapkan kepada warga PLH di atas penganugerahan ini!

 

Ke Portal Perpustakaan

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *