Dalam usaha memperkasakan aktiviti galakan membaca di peringkat Universiti, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pelbagai program galakan membaca secara terancang dan berterusan.
Pada 24 Oktober 2019, jam 2.30 petang telah diadakan program “Bedah Buku Bersama Profesor Madya Dr. Norliah binti Kudus: Organisasi Pembelajaran Memacu Kecemerlangan Universiti” bertempat di Ruang Santai, PLH. Puan Nurdayana Izyan binti Ahmad Ahsan selaku moderator telah berjaya menarik perhatian peserta dengan mengawasi diskusi tersebut mengikut topik yang telah ditentukan.
Program ini adalah sesi perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah serta santai untuk mencetuskan aspirasi serta matlamat dalam mendepani masa hadapan di kalangan warga UTeM dan membincangkan peranan organisasi pembelajaran ke arah memacu kecemerlangan sesebuah organisasi di institusi pengajian tinggi. Ianya menjelaskan kecemerlangan organisasi pembelajaran yang sewajarnya dihayati oleh seluruh warga universiti melibatkan pengurusan universiti, ahli akademik, pentadbir dan pembuat polisi pengajian tinggi di Malaysia.
Objektif program ini adalah untuk:
- Meningkatkan ilmu kepada warga UTeM daripada sesi perkongsian ilmu dan pengalaman penulis sendiri yang telah berjaya mengetengahkan aspek perbincangan, cadangan dan pandangan dengan jelas tentang keperluan universiti berfungsi sebagai organisasi pembelajaran dalam membina kapasiti sumber manusia yang berdaya saing.
- Memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepentingan universiti berfungsi sebagai organisasi pembelajaran yang mengutamakan pembelajaran berterusan dalam membina kapasiti sumber manusia untuk bertindak balas kepada perubahan, keinginan dan cabaran dalaman serta luaran.
- Usaha untuk menarik lebih ramai pengguna hadir ke perpustakaan menggunakan perkhidmatan dan kemudahan PLH.
Program ini berakhir pada jam 5.00 petang dengan penyertaan seramai 82 orang meliputi pelajar, staf UTeM, IPTA dan IPTS sekitar negeri Melaka.









