
Hari Jururawat Sedunia ini adalah hari yang mulia bagi semua jururawat, dan diraikan dengan pelbagai aktiviti di merata dunia dan ianya di sambut pada 12 Mei pada setiap tahun. Profesion jururawat adalah profesion yang mulia, yang memerlukan kesabaran dan dedikasi dan sentiasa mengwujudkan sikap mementingkan kerja di atas diri sendiri. Jika masa dahulu jururawat hanya mengambil arahan dari doktor untuk mengambil tindakan merawat pesakit, kini jururawat ada `Nursing Diagnosis’nya sendiri untuk mengenal pasti masaalah pesakit dan merancang keperluan dan kehendak pesakit mengikut keadaannya. Autonomi yang telah dicapai ini adalah baik untuk membela profesion jururawat, ini bermakna tidak ada seseorang pun yang boleh ambil alih tugas jururawat terlatih, sekiranya dia tidak menghadiri latihan yang lengkap yang diiktiraf oleh Lembaga Jururawat Malaysia. Setiap tahun Hari Jururawat sedunia ada temanya sendiri yang digubal oleh “International Council of Nurses” dan tahun ini temanya adalah “A Voice to Lead : Nursing The World To Health”. Layanan dan jagaan yang baik dan profesional adalah satu tugas utama yang harus diingati dalam kejururawatan. Sikap tanggungjawab dan dedikasi kepada tugas-tugas yang diberikan kepada pesakit tua / muda, kanak-kanak atau dewasa, yang kurang upaya dan berbilang bangsa amatlah penting sekali. Sebagai barisan hadapan kini merawat penyakit merebak iaitu COVID-19, dedikasi jururawat disanjung tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Di harapkan ini akan berterusan segenap waktu. Pihak Perpustakaan Laman Hikmah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di seluruh negara dan khususnya jururawat yang kini menjadi barisan hadapan dalam menangani wabak pada hari ini. Syabas saya ucapkan kepada usaha anda dalam mengekalkan taraf kesihatan di negara kita yang tercinta. Semoga usaha-usaha mulia anda diberkati dan dicucuri rahmat oleh Allah yang Maha Berkuasa.
Selamat Menyambut Hari Jururawat!!!

