Selamat Hari Pekerja

Selamat Hari Pekerja 2020 kepada pekerja-pekerja di Malaysia sama ada di sektor kerajaan, sektor swasta mahupun pekerja persendirian yang menggerakkan rangkaian perekonomian negara. Sambutan hari pekerja ini disambut di seluruh dunia setiap 1 Mei setiap tahun. Tema Hari Perkerja 2020 ialah “Pekerja Tunjang Kelestarian Negara” dan tema ini menekankan bagaimana kita rakyat Malaysia khususnya warga pekerja perlu melaksanakan kerja dan tanggungjawab dengan prinsip amanah dan integriti bagi memacu kemakmuran Negara dengan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Apabila jatuhnya tarikh 1 Mei setiap tahun, kita bukan sekadar bercuti malahan yang lebih utama, setiap negara meraikan golongan yang paling penting dan mustahak dalam pembangunan negara tidak kira sama ada mereka dari golongan pentadbir, pendidik, doktor, jururawat, perajurit, anggota keselamatan mahupun golongan kumpulan pelaksana sekalipun, masing-masing telah memainkan peranan dalam meningkatkan pembangunan negara dan pekerja ini amat bermakna kerana pekerja hari ini adalah sumber teras kejayaan masa depan negara. Hubungan tripartisme yang baik antara Kerajaan, pekerja dan majikan juga menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Sungguhpun ada ketikanya kita mungkin bercanggah pendapat, akhirnya penyelesaian bersama akan tercapai dan ini akan memberi manfaat kepada setiap sesebuah organisasi.

Semoga semua pekerja akan terus bersemangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada organisasi dan seterusnya kepada negara keseluruhannya. Teruskan berkhidmat dan amalkan budaya kerja yang proaktif. Kecemerlangan negara adalah bergantung kepada usaha dan sumbangan kita semua. Bersama kita membina negara yang sejahtera. Marilah kita warga Malaysia memperkukuhkan jati diri, menyuburkan fikiran positif dan bersedia untuk menyumbang tenaga kepada negara. Kami warga Perpustakaan Laman Hikmah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja.

This entry was posted in May 2020. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *