JANGAN POTONG RAMBUT DAN KUKU

JANGAN POTONG RAMBUT DAN KUKU!

 

Bagi mereka yang berniat untuk melakukan ‘ibādah korban, Rasūlullāh ṣallallāhhu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

 

Maksudnya: Barang siapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulḥijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban. [Ḥadīs direkodkan oleh Imām Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, Jilid: 03, No. Ḥadīs: 1977, Halaman: 1566].

 

Tambahan pula, Nabī Muḥammad ṣallallāhhu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ ، فَلَا يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلَا يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا

 

Makṣūdnya: Apabila masuk 10 hari awal Zulḥijjah, dan seseorang berniat untuk melakukan ibadah korban, maka janganlah dia memotong rambutnya dan kukunya. [Ḥadīs direkodkan oleh Imām Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, Jilid: 03, No. Ḥadīs: 1977, Halaman: 1565].

Melihat kepada pendapat-pendapat yang ada di dalam permasalahan ini,  dinyatakan di sini bahawa bagi mereka yang ingin melakukan ‘ibādah korban, apabila tibanya 1 Zulhijjah maka disunatkan tidak memotong kuku, rambut serta bulu-bulu yang berada di badan sehinggalah selesai dia melakukan ‘ibādah korban tersebut. Ini seperti mana pendapat al-Imām al-Syāfi’ī raḥimahullāh beserta aṣḥābnya yang lain dan ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’i.

 

[Rujū’:https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-haji-korban/1061-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban-siri-11-anjuran-untuk-tidak-memotong-kuku-dan-rambut-bagi-yang-ingin-melakukan-ibadah-korban-apabila-tibanya-1-zulhijjah].

 

Antara ḥikmahnya sepertimana yang telah disebutkan oleh al-Imām al-Nawawī raḥimahullāh: Larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.

 

Ikutilah sunnah Baginda ṣallallāhhu ‘alaihi wasallam mudah-mudahan Allāh terima semua amalan kita sebagai amalan yang sempurna.

 

1 Zulḥijjah di Malaysia untuk tahun ini bermula petang ini waktu Maghrib, Selasa, 21 Julai 2020. Bagi yang ingin melakukan’ibādah korban, tahanlah diri daripada memotong kuku atau rambut mulai Maghrib hari Selasa ini sehingga selesai ‘ibādah korban tersebut. Mudah-mudahan Allāh terima segala amal kebaikan yang kita kerjakan.

Wallahhu a’lam.

Sumber: Pusat Islam, Universiti Teknikal Malaysia Melaka

This entry was posted in July 2020. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *