
Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah dipilih sebagai destinasi lawatan ilmiah oleh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting, Negeri Sembilan. Lawatan yang berlangsung pada 6 April 2026 (Isnin) jam 2.30 petang ini disertai oleh dua orang guru pengiring bersama 50 orang pelajar.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 merasai sendiri suasana kampus serta mengenali persekitaran pembelajaran di universiti. Sepanjang lawatan, mereka berpeluang melihat dengan lebih dekat kemudahan yang disediakan di PLH, di samping didedahkan kepada suasana pembelajaran yang kondusif serta persekitaran perpustakaan yang menyokong budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.



Pelajar turut dibawa meninjau koleksi bahan bacaan yang tersedia di rak-rak perpustakaan. Mereka berpeluang melihat pelbagai jenis bahan seperti buku rujukan, bahan akademik dan bacaan santai yang disusun mengikut kategori, sekali gus memberi pendedahan awal tentang cara pencarian dan penggunaan sumber maklumat di perpustakaan. Selain itu, pelajar juga ditunjukkan cara-cara membuat pinjaman bahan menggunakan mesin self-check bagi memudahkan urusan peminjaman secara kendiri.







Secara keseluruhannya, pihak PLH berharap lawatan ini dapat memberi impak positik kepada para pelajar dalam memahami suasana pembelajaran di universiti serta peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu. Seterusnya dapat menyuntik minat untuk terus menimba ilmu dan menjadi pemangkin kepada aspirasi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Maklum balas yang diterima juga amat positif apabila para pelajar dilihat aktif bertanya pelbagai soalan sepanjang lawatan, sekali gus menunjukkan minat dan keterujaan mereka terhadap pengalaman yang diperoleh melalui lawatan ini.



