Lawatan Pelajar Antarabangsa Indonesia ke Perpustakaan Laman Hikmah

Pada 17 Mac 2026 (Isnin), Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menerima kunjungan istimewa sekumpulan pelajar Indonesia daripada Mukhoyyam Qur’ani Muslimah. Lawatan ini melibatkan seramai 99 orang pelajar berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkenalkan para pelajar kepada sistem pendidikan tinggi di Malaysia, khususnya di UTeM sebagai sebuah universiti teknikal. Selain itu, lawatan ini turut memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri suasana pembelajaran dan persekitaran akademik di kampus, sekali gus membuka minda mereka terhadap peluang melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa.

Sepanjang lawatan berlangsung di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), para pelajar dibawa mengelilingi pelbagai ruang utama serta diperkenalkan dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Mereka turut diberi penerangan ringkas mengenai fungsi setiap ruang bagi menyokong keperluan pembelajaran dan penyelidikan.

Selain itu, para pelajar juga berpeluang melihat sendiri koleksi bahan yang terdapat di rak, termasuk buku rujukan, bahan ilmiah dan sumber maklumat lain yang boleh dimanfaatkan. Lawatan ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada suasana perpustakaan serta menggalakkan budaya membaca dan pencarian ilmu dalam kalangan pelajar.

Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi akademik, malah turut mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan Malaysia dan Indonesia. Para pelajar dilihat sangat teruja dan menunjukkan minat yang tinggi sepanjang sesi berlangsung. Diharapkan agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya serta menjadi pemangkin kepada semangat pembelajaran yang berterusan pada masa akan datang.

This entry was posted in March 2026. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *