ZHENG HE CULTURAL CORNER

Memperkukuh Jalinan Budaya dan Penyelidikan Malaysia–China

Satu lagi sejarah penting tercatat apabila Zheng He Cultural Corner Handover Ceremony telah berlangsung di Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Majlis ini menjadi simbol kerjasama akademik dan budaya yang bermakna antara UTeM dan Yunnan Zheng He Research Association (YZRA), China, sekali gus memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan pemerkasaan budaya.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh wakil UTeM, Prof. Dr. Zahriladha Zakaria, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama Mr. Yu Xiong, Vice President of YZRA. Kehadiran kedua-dua pihak ini melambangkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kolaborasi berasaskan penyelidikan dan warisan budaya.

Inisiatif penubuhan Zheng He Cultural Corner ini merupakan sebahagian daripada Research Cultural Collaboration yang bertujuan mempromosikan pertukaran budaya berkaitan tokoh pelayar agung, Zheng He. Usaha ini bukan sahaja mengangkat nilai sejarah dan peradaban, malah berfungsi sebagai platform untuk mempererat hubungan persahabatan dan saling memahami antara Malaysia dan China.

Pelaksanaan projek ini merangkumi pelbagai elemen pameran yang menarik dan berinformasi, termasuk karya seni khat, lukisan bertemakan pelayaran Zheng He, model Kapal Khazanah Zheng He, serta koleksi bahan bacaan terpilih yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan pengaruh Zheng He di rantau Asia Tenggara.

Zheng He Cultural Corner ini dijangka menjadi ruang pembelajaran alternatif yang interaktif kepada warga universiti dan pengunjung. Ia bukan sahaja menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran, malah berperanan sebagai sumber rujukan penyelidikan serta medium apresiasi seni dan budaya yang merentas sempadan negara.

Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Ketua Pustakawan, Pengarah Penerbit UTeM, serta Dr. Cheong Kor Mee, yang sama-sama memberikan sokongan padu terhadap inisiatif kolaborasi budaya dan akademik ini. Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen institusi dalam menjayakan projek berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Penubuhan Zheng He Cultural Corner ini diharapkan dapat mencerminkan aspirasi UTeM dalam memacu kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Semoga inisiatif ini berupaya menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik yang memberi manfaat berterusan kepada komuniti akademik serta masyarakat sejagat.

This entry was posted in January 2026. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *