
Pada 23 Oktober 2025 yang lalu, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menganjurkan Program Telaah Buku bersama YB Datuk Mohd Noor Helmy sempena Festival Idea Peringkat Negeri Melaka 2025 bertempat di Ruang Santai, Aras 2, PLH, Kampus Induk UTeM. Program ini merupakan anjuran secara bersama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICR UTeM-Melaka.



Objektif utama penganjuran program adalah menyokong inisiatif KPT untuk menjadikan Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) sebagai acara tahunan yang memartabatkan ilmu, inovasi dan kreativiti selain bertujuan untuk mengukuhkan peranan perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, tetapi juga berperanan sebagai agen perubahan budaya membaca di peringkat nasional.
Sesi ini menampilkan YB Datuk Mohd Noor Helmy bin Abdul Halem, Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka sebagai panel jemputan, yang berkongsi tentang perjalanan kepimpinan beliau serta bagaimana buku βThe Leader In Youβ karya Dale Carnegie menjadi sumber motivasi dan panduan dalam membentuk gaya kepimpinan berkesan.
Beliau turut menyentuh kepentingan nilai empati, komunikasi positif dan pembangunan potensi diri sebagai asas kepada kepimpinan yang berpengaruh, seiring dengan cabaran dunia digital masa kini. Perkongsian beliau bukan sahaja memberi inspirasi kepada peserta, malah membuka ruang refleksi tentang erti sebenar menjadi seorang pemimpin yang mampu memberi impak kepada masyarakat.







Sesi ini dikendalikan dengan penuh berkesan oleh YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, yang berjaya mencorakkan perbincangan secara santai namun sarat dengan ilmu dan motivasi.
Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus serta penonton dalam talian, dengan siaran langsung di media sosial PLH mencatat lebih 9.2K tontonan! π
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya pengurusan tertinggi UTeM atas sokongan yang diberikan, serta kepada semua peserta yang hadir secara fizikal dan dalam talian.
Teruskan menyokong pelbagai program ilmu dan perkongsian menarik anjuran Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM. π‘








