Sembang Ilmu: Arkib Digital – Mengurus Masa Silam, Mencipta Masa Depan

Dalam era digital, fungsi dan peranan arkib telah berkembang daripada sekadar menyimpan dokumen fizikal kepada mengurus serta memelihara bahan digital. Transformasi ini melibatkan penggunaan teknologi maklumat bagi memastikan rekod dan maklumat kekal boleh diakses, sahih, dan terjamin untuk jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, cabaran yang dihadapi dalam pengurusan arkib digital juga berbeza berbanding penyimpanan bahan fizikal, terutamanya dari segi keselamatan data, ketulenan maklumat, serta keperluan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.

Sehubungan dengan itu, satu program sembang ilmu telah berlangsung di Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) pada 22 Oktober 2025 (Rabu) bagi membincangkan pengurusan rekod untuk tujuan pemeliharaan khazanah yang bernilai.

Sesi kali ini menampilkan Saudara Helmi Effendy, penulis buku dan pengasas bersama Patriots Publishing, yang berkongsi pandangan dan pengalaman beliau tentang peranan penting arkib digital dalam memelihara khazanah sejarah serta memastikan warisan ilmu dapat diwarisi oleh generasi masa depan.

Melalui perkongsian beliau, peserta dibawa menelusuri bagaimana teknologi digital mampu menjadi jambatan antara masa silam dan masa depan yang bukan sekadar menyimpan data, tetapi menghidupkan semula nilai dan identiti bangsa dalam bentuk moden dan mudah diakses.

PLH berharap program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak secara umum, khususnya kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan rekod. Pemeliharaan rekod dalam dunia teknologi amat penting bagi memastikan maklumat kekal boleh diakses, sahih, dan terlindung daripada risiko kehilangan atau kerosakan digital, sekali gus menyokong ketelusan, pemeliharaan warisan pengetahuan, serta keberkesanan pengurusan maklumat dalam jangka panjang.

Terima kasih ditujukan kepada semua peserta yang hadir dan turut menjayakan program ini, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Teruskan menyokong inisiatif perkongsian ilmu anjuran Perpustakaan Laman Hikmah, agar budaya membaca dan pembelajaran berterusan terus subur di UTeM!

This entry was posted in Oktober 2025. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *