Menyemai Semangat Pejuang dalam Jiwa Pewaris
Syukur alhamdulillah, Forum Gema Merdeka MADANI yang bertemakan “Legasi Pejuang, Aspirasi Pewaris: Mengakar Nilai MADANI dalam Diri Anak Bangsa” telah Berjaya diadakan pada 27 Ogos 2025 (10.30 pagi) di Ruang Santai, Aras 2, Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk.

Barisan moderator dan panelis yang menjayakan sesi kali ini cukup hebat dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Sesi dikendalikan oleh Affi Syahfizal bin Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM, yang bertindak sebagai moderator. Beliau ditemani oleh dua panelis istimewa, iaitu Izzat bin Roslan, Presiden Kor SUKSIS, yang berkongsi pengalaman kepimpinan dan penglibatan aktif dalam pasukan beruniform, serta DSP Mohamad Hasnal bin Jamil dari Unit Anti Pengganas, Cawangan Khas E1, Bukit Aman, yang memberikan pandangan mendalam tentang isu keselamatan dan pencegahan ancaman.



Antara detik paling berkesan sepanjang program ialah perkongsian daripada DSP Mohamad Hasnal mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013. Beliau bukan sekadar menyampaikan fakta, malah berkongsi pengalaman peribadinya menempuh detik genting ketika pertempuran tersebut berlaku. Pengunjung kelihatan terpegun mendengar cerita beliau yang sarat dengan butiran terperinci seperti daripada suasana tegang di lapangan sehinggalah keberanian pasukan keselamatan yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.




Momen ini bukan sahaja menyentuh hati, malah membuka mata audiens tentang erti sebenar pengorbanan dan semangat patriotisme. Ia turut memberi kesedaran bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada pengorbanan wira-wira negara yang tidak mengenal penat lelah dalam mempertahankan tanah air.Selain memberi ruang untuk mengimbau perjuangan lalu, forum ini juga menyuburkan rasa cinta kepada negara dan menanam tekad dalam kalangan generasi muda untuk mengamalkan nilai Malaysia MADANI dalam kehidupan seharian.


Jelaslah, semangat pejuang bukan hanya milik masa silam. Ia perlu terus diwariskan agar kita, sebagai pewaris bangsa, dapat mengisi kemerdekaan dengan ilmu, keberanian dan jati diri yang kukuh.




