🌿 Sudut Bacaan Sejahtera MADANI di Kampung Angkat UTeM 🌿

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah dalam membudayakan ilmu dan menyemarakkan agenda pembelajaran sepanjang hayat. Pada Julai dan Ogos 2025, satu inisiatif telah berjaya dilaksanakan dengan pembangunan Sudut Bacaan Sejahtera MADANI di Kampung Bukit Nibong, Ayer Molek, Melaka, yang merupakan kampung angkat UTeM.

Sudut bacaan ini dibangunkan sebagai ruang bacaan yang kondusif, inklusif dan mesra komuniti. Ia bukan sekadar tempat membaca, malah diharap menjadi pusat komuniti berteraskan ilmu seperti tempat penduduk berkumpul, berinteraksi serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bermanfaat yang berterusan.

Bagi menjayakan inisiatif ini, beberapa fasa aktiviti termasuk program peluncuran Sudut Bacaan Sejahtera MADANI telah dijalankan bermula pada 19 Julai 2025 hingga 15 Ogos 2025, melibatkan penglibatan aktif komuniti setempat bersama warga UTeM.

Bagi menyemarakkan pembangunan sudut bacaan, Program Pemberdayaan Komuniti & Pemindahan Ilmu Kampung Angkat MADANI UTeM telah dianjurkan dengan kerjasama JPKK Bukit Nibong, Pusat Alumni, Kerjaya & Kebolehpasaran (U-ACE), serta Kelab Artificial Intelligence, FTMK UTeM.

Antara aktiviti menarik yang mencuri perhatian penduduk ialah:
🔧 Aktiviti DIY Heavy Truck Alloy Car
🤖 Demonstrasi & pemasangan Robot EV3
🧠 Taklimat pengenalan kepada Artificial Intelligence (AI)

Sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti kampung telah menyemarakkan suasana, membuktikan semangat perpaduan dan perkongsian ilmu dapat dipupuk melalui program seumpama ini.

8 Ogos 2025 – Menyulam Ilmu, Menyemai Harapan

Majlis Penyerahan Sudut Bacaan Sejahtera MADANI telah dilaksanakan dan disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Zahriladha bin Zakaria, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTeM.

Seiring dengan semangat memartabatkan budaya ilmu, PLH telah menyiapkan Sudut Bacaan Sejahtera MADANI dengan sentuhan yang menarik dan selesa untuk kegunaan komuniti. Kerja-kerja menyiapkan sudut ini memerlukan masa serta komitmen yang tinggi, hasil daripada usaha berterusan PLH bersama rakan kolaborasi. Keindahan dan keselesaan yang diwujudkan diharap dapat memberi inspirasi serta mendorong masyarakat setempat, khususnya golongan muda, untuk menjadikan sudut bacaan ini sebagai ruang pembelajaran dan pertemuan yang bermanfaat. Majlis ini juga menandakan kejayaan kolaborasi pelbagai pihak yang telah sama-sama menyumbang dan menjayakan pembangunan sudut bacaan. Setinggi penghargaan diberikan kepada penaja, penyumbang dan rakan strategik termasuk JPKK Kampung Bukit Nibong, UTeM Holdings Sdn. Bhd., Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, serta pelbagai lagi organisasi yang telah berganding bahu demi menjayakan hasrat ini.

15 Ogos 2025 – Bicara Keusahawanan: Dari Impian ke Realiti

Kesinambungan program diteruskan dengan penganjuran Bicara Keusahawanan bersama penceramah jemputan, YBrs. Ts. Mohd Johari@Esa Bin Ibrahim, Alumni UTeM yang kini bergelar usahawan berjaya.

Bertempat di Balai Raya Kampung Bukit Nibong, sesi perkongsian bertajuk Berani Berniaga: Dari Impian ke Realiti! telah memberi inspirasi kepada para peserta yang terdiri daripada penduduk kampung yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Antara manfaat yang diperoleh masyarakat:
✅ Pengetahuan & kemahiran keusahawanan
✅ Penciptaan peluang pekerjaan & peningkatan ekonomi tempatan
✅ Galakan menjana pendapatan sendiri
✅ Pembinaan komuniti berdikari & kreatif
✅ Rangkaian kerjasama antara usahawan

Semoga ilmu yang dikongsi menjadi pencetus semangat untuk lebih ramai usahawan kampung melangkah berani, seterusnya memacu kesejahteraan ekonomi komuniti.

✨ PLH UTeM menaruh harapan agar Sudut Bacaan Sejahtera MADANI ini menjadi landasan untuk memupuk kecintaan terhadap ilmu, memperteguh semangat kebersamaan, serta membentuk komuniti yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan.

This entry was posted in August 2025. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *