Talkshow@PLH: “Awas Scammer: Hati-Hati Klik, Jangan Jadi Mangsa!”

Pada 15 Januari 2025 (Rabu), Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menganjurkan program Talkshow@PLH bertajuk “Awas Scammer: Hati-Hati Klik, Jangan Jadi Mangsa!” bagi berkongsi maklumat penting kepada warga kampus dan komuniti setempat mengenai ancaman penipuan dalam talian. Program yang berlangsung di Ruang Santai, Aras 2, Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penipuan siber yang semakin berleluasa serta memperkenalkan pelbagai jenis modus operandi yang digunakan oleh penjenayah siber.

Program ini akan menampilkan dua penceramah jemputan yang berpengalaman dalam bidang keselamatan dan kewangan, iaitu Yang Dihormati Tuan Supritenden Sundra Rajan a/l Ellumalai, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, yang akan berkongsi tentang aspek keselamatan dan pencegahan jenayah siber. Turut serta ialah Yang Dihormati Encik Mohd Nazri Bin Hasan, Ketua Jualan Wilayah RHB Bank, yang akan memberi penerangan mengenai aspek kewangan dan langkah-langkah untuk melindungi maklumat peribadi serta kewangan daripada ancaman scammer.

Selain sesi talkshow yang informatif, program ini turut menawarkan slot pameran interaktif, di mana peserta boleh mendapatkan maklumat tambahan daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam pencegahan jenayah siber dan keselamatan kewangan. Pameran ini bertujuan untuk memberi pendedahan lebih mendalam tentang teknik terbaru yang digunakan oleh scammer serta kaedah terbaik untuk melindungi diri daripada ancaman tersebut.

Melalui program ini, peserta akan didedahkan kepada langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian. Ancaman ini bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian kewangan, tetapi juga memberi kesan buruk terhadap tekanan emosi dan reputasi individu yang terlibat. Oleh itu, adalah penting untuk semua lapisan masyarakat memahami risiko yang ada dan bertindak secara proaktif bagi mencegahnya.

Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PLH dalam menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menyediakan maklumat yang boleh dipercayai. Inisiatif ini juga menyokong usaha pembudayaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat di samping memperkukuh hubungan erat antara komuniti kampus dan masyarakat sekitar.

Kami berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi langkah proaktif dalam membentuk masyarakat yang lebih celik teknologi serta bijak dalam menghadapi cabaran dunia digital masa kini.

This entry was posted in January 2025 and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *