SELAMAT MENYAMBUT HARI PERISYTIHARAN MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

Pada setiap 15 April Negeri Melaka akan membuat Sambutan Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah setiap tahun kerana ia merupakan hari kelepasan am bagi negeri Melaka bersempena sambutan ulangtahun pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah yang diiktiraf oleh Pertubuhan, Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Perisytiharan ini mengiktiraf 500 tahun perdagangan dan pertukaran budaya antara Timur dan Barat di Selat Melaka. Melaka juga diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada persidangan ke-32 Jawatankuasa Warisan Dunia di Quebec City, Kanada pada 7 Julai 2008 bersama Pulau Pinang. Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah tempat-tempat yang penting kepada warisan budaya atau budaya semula jadi seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Warisan Dunia UNESCO. Selain itu juga, Melaka mendapat status negeri Maju pada 20.10.2010 yang lalu.

Konvensyen Perisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1987 telah merumuskan bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia mengiktiraf Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah Malaysia. Kerajaan Persekutuan Malaysia pula telah bersetuju dengan rasminya untuk mengisytiharkan Melaka yang kaya dengan sejarahnya sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1989. Pengiktirafan ini seterusnya meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang telah mempunyai Bandaraya Bersejarah seperti Maghribi dengan Bandaraya Bersejarah Fez, Portugal dengan Bandaraya Bersejarah Lisbon dan Itali dengan Bandaraya Bersejarah Venice.

Melaka mengandungi peninggalan dan warisan sejarah negara yang kaya bermula dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, perjuangan nasionalisme hinggalah ke peristiwa Perisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara. Kelak Melaka akan lebih memasyhurkan nama Malaysia di mata dunia dan akan menjadi warisan seluruh rakyat Malaysia yang cinta dan kasih pada masa depan negara. Bandar Melaka ini menyajikan pemandangan menarik sebagai tambahan warisan Malaysia yang unik dan juga merupakan testimoni sebenar kepelbagaian warisan budaya.

Melaka mencerminkan campuran seni bina, budaya dan seni bandar dan memaparkan kepelbagaian bangunan yang mewakili pelbagai jenis dan peringkat pembangunan. Pelbagai bangunan bersejarah yang membawa kepada perisytiharan itu dibuka untuk lawatan pelancong dan kebanyakan acara di rancang untuk meraikan sejarah bandar. Sambutan itu biasanya berlansung selama seminggu dan banyak persembahan kebudayaan dijalankan di seluruh bandar.

Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan

Bagi memperingati detik bersejarah ini, Kerajaan Melaka telah memilih Bangunan Kelab Melaka untuk dijadikan ‘Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan’. Pengisytiharan Kemerdekaan Malaya dibuat oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Pahlawan. Sejak 31hb Ogos 1985, bangunan lama (bina pada 1911) ini telah menjadi Pusat Pameran yang mengandungi bahan-bahan peristiwa bersejarah mengenai perjuangan kemerdekaan negara. Bangunan memorial ini menempatkan bahan pameran yang tidak ternilai tentang perjuangan kemerdekaan negara ini. Bahan pameran adalah dalam bentuk relik, manuskrip, pita video, filem dan slaid.

 

Istana Kesultanan Melaka

Sebuah replika Istana Kesultanan Melaka yang didirikan di satu kawasan Kompleks Sejarah yang paling strategik di negeri ini. Di istana inilah tempat menapaknya kegemilangan tamadun Melayu. Bangunan replika Istana Kesultanan Melayu ini merupakan Muzium Budaya yang menggambarkan kisah menarik campuran unik pelbagai budaya di Melaka. Ia mempamerkan kebudayaan dan tamadun Melayu sejak abad ke-15. Terletak di kaki Bukit St. Paul, ia adalah satu-satunya Istana Melayu dari zaman kegemilangan Kesultanan Melaka yang dibina dengan ketelitian dan kehalusan yang sebegini.

 

Porta De Santiago

Porta bermaksud pintu dalam bahasa Portugis. Pintu masuk ini merupakan satu-satunya peninggalan sejarah dari kubu pertahanan yang dibina oleh Portugis setelah mereka menawan Melaka pada 1511. Laluan berbentuk S tersebut dibina demikian untuk mengelak tembakan. Setelah orang Belanda mengambil alih pada 1641, mereka memulihara dan mengembangkan pengubuan tersebut. Di atas pintu gerbang, kita dapat melihat lambang VOC( Syarikat Hindia Timur Belanda) dan “1670” yang ditambah oleh orang Belanda pada tahun tersebut.

 

Perpustakaan Laman Hikmah  ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah.

Sumber: http://sampulfdc.blogspot.com/2010/10/perisytiharan-melaka-bandaraya.html

This entry was posted in April 2020. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *