
Coronavirus Disease 19 atau COVID-19 telah melanda hampir seluruh Negara di dunia dan Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi krisis penyakit ini. Covid-19 adalah sejenis virus corona yang baru dan Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berhubung dengan pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mempelajari ciri-ciri serta memantau perkembangan kejadian jangkitan virus ini. Malaysia terus mengukuhkan kerjasama pelbagai hala antara negara-negara anggota asean dan juga di seluruh dunia untuk memastikan bahawa jangkitan-jangkitan diuruskan secara kolaboratif terutama dalam pencegahan dan pengurusan jangkitan rentas sempadan. Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah kesiapsiagaan dalam menangani kluster jangkitan Covid-19 dengan membuka Bilik Gerakan Covid-19 bagi memantau situasi semasa jangkitan di Malaysia. Menyediakan dan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai situasi terkini wabak ini.
Kerjasama padu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Media Malaysia digerakkan dalam penyebaran maklumat Covid-19 di Malaysia. Membuat saringan gejala di pintu-pintu masuk Antarabangsa Malaysia melalui udara, laut dan darat dengan kerjasama Syarikat Penerbangan, Perkapalan, Imigresen dan Malaysia Airport. Membuat saringan gejala di fasiliti kesihatan dan membuat liputan ke hospital-hospital terkini, kes-kes yang disyaki atau disahkan positif akan dirawat dan dipantau di wad isolasi hospital-hospital rujukan. Menjalankan pemantauan kontak dirumah atau tempat-tempat pengasingan yang termaktub dalam perintah pemantauan dan pengasingan. Memantapkan kapabiliti makmal dalam menjalankan ujian pengesanan virus. Menjalankan latihan kepada petugas kesihatan khususnya penggunaan alat pelindung diri PPE yang betul. Memastikan stockpile PPE dan ubat-ubatan bagi merawat gejala dan komplikasi mencukupi. Meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan virus Covid-19 ini melalui pelbagai saluran media.
Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security dan Polis Diraja Malaysia saling membantu memastikan maklumat yang sahih dan tepat disebarkan dan melaksana penguatkuasaan terhadap membanteras berita palsu di laman sosial. Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menjayakan misi kemanusiaan untuk membawa rakyat Malaysia kembali. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Syarikat Swasta telah bekerjasama dalam memberikan pendidikan mengenai kebersihan tangan dan pemberian hand sanitizer sebagai langkah pencegahan dalam kalangan pelajar sekolah. Kementerian Pengangkutan Malaysia juga mengambil inisiatif dalam memastikan pengangkutan awam tidak terkecuali dalam membantu Malaysia mencegah penularan jangkitan. Bagi pencegahan di tempat tumpuan ramai, Syarikat Swasta telah memainkan peranan dalam melaksana inisiatif dalam kebersihan tangan dan persekitaran demi kebersihan yang optimum.
Pada 16 Mac 2020, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi membendung wabak ini daripada terus merebak. Pada 22 Mac 2020 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha untuk memastikan rakyat patuh kepada perintah kerajaan.
Malaysia hari ini telah membuktikan bahawa wabak Covid-19 telah diurus dengan baik dan para petugas bertungkus lumus bekerjasama dalam membendung wabak daripada terus merebak. Banyak lagi usaha yang sedang dan akan diteruskan oleh pelbagai pihak dalam menjadikan Malaysia ke arah bebas Covid-19. TERIMA KASIH MALAYSIA.
“This is the time for facts, not fear.
This is the time for Science, not rumours.
This is the time for Solidarity, not stigma.”
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus (WHO Director – General)

