PELUNCURAN INISIATIF ILMU DAN INOVASI DI PERPUSTAKAAN LAMAN HIKMAH

Pada 12 Mac 2026, satu detik yang amat bermakna telah tercipta apabila Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), menyempurnakan peluncuran beberapa inisiatif penting di Perpustakaan Laman Hikmah UTeM. Peluncuran tersebut melibatkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan UTeM (AI-Lead UTeM), Zheng He Cultural Corner of Malaysia, OCBC Al-Amin AZKA Knowledge Lounge @ UTeM serta Galeri dan Kedai Buku Penerbit UTeM. Majlis ini telah berlangsung bersempena Majlis Iftar bersama UTeM bagi tahun 1447H/2026M, sekali gus menjadikannya satu acara yang penuh makna dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Majlis yang penuh bersejarah ini turut diserikan dengan kehadiran barisan tetamu kehormat dan kepimpinan universiti. Antaranya ialah YBhg. Dato’ Dr. Husaini bin Omar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTeM, ahli-ahli LPU UTeM, Naib Canselor UTeM iaitu YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila binti Kamalrudin, serta barisan Pengurusan Tertinggi dan dekan-dekan fakulti. Turut hadir ialah Tuan Syed Abdull Aziz Jailani bin Syed Kechik, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Dr. Muhsin bin Nor Paizin, Penolong Pengurus Besar PPZ-MAIWP, serta Encik Yu Xiong dan Profesor Yao Jidu bersama delegasi daripada Yunnan Zheng He Research Association (YZRA). Majlis ini turut dimeriahkan oleh para pensyarah, staf universiti dan tetamu jemputan lain. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu dalam memperkasa agenda pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi universiti.

Sebgai makluman, penubuhan AI-Lead UTeM yang berpusat di Perpustakaan Laman Hikmah menandakan satu langkah strategik universiti dalam memposisikan UTeM sebagai peneraju pemikiran dalam bidang kepimpinan kecerdasan buatan. Pusat ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan, malah turut menekankan aspek nilai, etika dan tanggungjawab dalam penggunaannya. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Pelan Strategik UTeM 2026–2030 serta menyokong agenda transformasi digital negara yang menekankan pembangunan teknologi secara beretika dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, penubuhan Zheng He Cultural Corner of Malaysia merupakan sebahagian daripada inisiatif Research Cultural Collaboration yang bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan China. Sudut kebudayaan ini mempamerkan pelbagai bahan berkaitan tokoh pelayar terkenal Zheng He, termasuk karya seni khat, lukisan, model Kapal Khazanah Zheng He serta koleksi bahan bacaan terpilih. Selain itu, UTeM turut memperkukuh budaya ilmu melalui penubuhan Galeri dan Kedai Buku Penerbit UTeM yang menjadi platform untuk memperkasa ekosistem penerbitan ilmiah serta memperluaskan akses warga universiti dan masyarakat kepada bahan bacaan akademik berkualiti.

Sejuta penghargaan turut dizahirkan kepada institusi yang telah memberikan sumbangan tajaan dalam merealisasikan pelbagai inisiatif ini, khususnya OCBC Al-Amin Bank Berhad dan AZKA-PPZ MAIWP dalam penubuhan OCBC Al-Amin AZKA Knowledge Lounge @ UTeM. Selain itu, Perpustakaan Laman Hikmah juga menerima sumbangan dana sebanyak RM40,633.00 daripada OCBC Al-Amin Bank Berhad bagi menjayakan Program Sarapan Pagi Percuma @ PLH, UTeM sebagai usaha menyokong kebajikan pelajar. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad kepada Naib Canselor UTeM dan disaksikan oleh TYT Tun Canselor UTeM semasa Majlis Iftar, sekali gus melambangkan komitmen bersama dalam membangunkan ekosistem pembelajaran yang holistik, sejahtera dan berdaya saing.

This entry was posted in March 2026. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *