13 November 2025 – Pada hari ini, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menerima kunjungan istimewa daripada dua buah sekolah iaitu SMK Perempuan Methodist Melaka dan SMK Methodist ACS Melaka. Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif akademik yang memberi peluang kepada para pelajar mengenali peranan perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Seramai 80 orang pelajar bersama 5 orang guru pengiring telah mengambil bahagian dalam lawatan akademik ini. Kehadiran mereka disantuni dengan taklimat ringkas berkaitan fungsi perpustakaan, kemudahan yang tersedia dan bagaimana PLH menjadi tunjang sokongan kepada komuniti kampus. Taklimat ini membantu peserta memahami dengan lebih jelas tentang operasi dan kepentingan perpustakaan dalam ekosistem pendidikan.


Lawatan diteruskan dengan sesi jelajah perpustakaan yang merangkumi pelbagai ruang pembelajaran dan ruang santai di PLH. Pelajar berpeluang melihat sendiri kemudahan fizikal perpustakaan, termasuk ruang bacaan, koleksi buku rujukan dan galeri memori korporat yang disediakan untuk pengguna. Penerangan lanjut turut diberikan mengenai koleksi fizikal dan digital yang boleh diakses oleh pelajar universiti dalam menyokong tugasan dan penyelidikan mereka.
Selain itu, pelajar turut diperkenalkan kepada perkhidmatan digital PLH termasuk sistem carian bahan perpustakaan, repositori institusi, platform e-book dan e-journal. Pendedahan ini memberi gambaran kepada mereka tentang perubahan peranan perpustakaan yang bukan sekadar menyimpan buku, tetapi juga menjadi pusat akses maklumat digital yang komprehensif dan mudah diakses.




Guru-guru pengiring juga berpeluang berbincang dan berkongsi pendapat dan pandangan bersama staf PLH mengenai peluang kolaborasi pendidikan dan pendedahan kerjaya berkaitan ilmu perpustakaan, pengurusan maklumat dan teknologi maklumat. Perbincangan ini membuka ruang kepada perkongsian idea yang boleh dimanfaatkan dalam sesi pembelajaran di sekolah.
Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini diharap dapat menyemai minat pelajar terhadap dunia ilmu dan penyelidikan. Semoga pengalaman di Perpustakaan Laman Hikmah menjadi inspirasi untuk mereka terus mencintai ilmu serta menghargai peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat. PLH sentiasa mengalu-alukan kunjungan pendidikan seperti ini demi memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.








