PROGRAM CERAMAH MOTIVASI: β€œHEBAT DENGAN ADAB, UNGGUL DENGAN ILMU”

Program Ceramah Motivasi bertemakan β€œHebat dengan Adab, Unggul dengan Ilmu” telah melabuhkan tirainya dengan penuh kesyukuran dan keberkatan. Program yang berlangsung dalam suasana penuh ketenangan ini berjaya membuka ruang renungan baharu kepada para peserta untuk memahami makna adab dan ilmu dalam kehidupan. Ia bukan sekadar sesi perkongsian, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang menyentuh setiap hati yang hadir.

Kehadiran penceramah iaitu Saudara Fedtri Yahya yang terkenal dengan gelaran Ikon Bahasa dan Pengacara Profesional merupakan satu penghormatan besar. Beliau mengendalikan program dengan penyampaian yang sangat menarik dan sarat dengan pesanan penuh hikmah, menggunakan bahasa yang lembut namun memberi kesan. Setiap butir kata yang keluar daripada beliau seolah-olah menyalakan cahaya dalam diri, mengajak kita mengenal nilai diri, menjaga adab, dan menuntut ilmu dengan jiwa yang bening.

Perkongsian beliau turut mengingatkan para peserta bahawa adab adalah asas kepada segala pembelajaran di dalam hidup. Tanpa adab, ilmu kehilangan roh dan keberkatan. Beliau menekankan pentingnya membina akhlak sebelum mencapai keunggulan akademik, kerana generasi yang berjaya adalah generasi yang beradab sebelum berilmu. Pesanan ini bukan sahaja relevan, tetapi sangat diperlukan dalam suasana dunia masa kini yang semakin mencabar.

Para peserta juga tidak ekring gusi dengan sesi mencuit hati antara pemceramah dan peserta terpilih. Tidak hanya itu, ada yang termenung, dan ada juga yang jelas tersentuh dengan pengisian yang dibawakan. Momen-momen berharga ini bakal diabadikan melalui gambar-gambar yang akan dimuat naik bersama blog ini sebagai kenangan dan inspirasi bersama.

Program ini lebih bermakna kerana ini merupakan kerjasam pertama antara Perpustakaan Laman Hikmah dan Kelab Mahasiswa MADANI (KAMI) dan mendapat sokongan padu dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM. Kerjasama mereka amat dihargai kerana telah memastikan kelancaran penganjuran dari awal hingga akhir. Semangat kebersamaan staf dan pelajar inilah yang menjadikan program ini lebih bermakna.

Jutaan terima kasih ditujukan kepada semua hadirin yang hadir secara fizikal dan di dalam talian bagi memeriahkan program ini. Kehadiran ini bukan sahaja menyerikan majlis, tetapi membuktikan bahawa masyarakat kampus masih dahagakan majlis-majlis ilmu yang menyuburkan pemikiran dan memperelok akhlak.

Moga nilai-nilai yang dikongsi menjadi benteng diri dan kekuatan dalam mengharungi perjalanan kehidupan yang penuh cabaran dan membimbing setiap langkah agar sentiasa beradab, menuntut ilmu dengan hati yang ikhlas, dan berusaha menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari.

This entry was posted in November 2025. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *