Talkshow@PLH: “Rahsia Jimat Cukai: e-Filing BE Tahun Taksiran 2024”

Pada 12 Mac 2025 (Rabu), Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah mengadakan program Talkshow@PLH yang bertajuk “Rahsia Jimat Cukai: e-Filing BE Tahun Taksiran 2024”. Program ini bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai kemudahan yang disediakan kepada pembayar cukai dalam pengisian dan penghantaran borang cukai secara dalam talian. Sistem ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, tetapi juga mengurangkan kesilapan manusia yang sering berlaku dalam pengisian borang secara manual.

Program ini menampilkan penceramah jemputan yang berpengalaman dalam bidang keselamatan dan kewangan, iaitu Yang Dihormati Puan Azlina Binti Hussin, Timbalan Pegawai Perhubungan Awam (DCCO), Unit Pendidikan Cukai, Seksyen Khidmat Pelanggan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Melaka. Beliau akan membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta serta pembayar cukai mengenai e-Filing dan cara pengisian borang cukai pendapatan dengan lebih cekap, serta bagaimana mereka boleh memperoleh pelepasan cukai yang betul dan maksimum.

Selain sesi talkshow yang penuh dengan informasi, program ini turut menawarkan slot pameran interaktif. Dalam pameran ini, peserta dapat memperoleh maklumat terkini mengenai perubahan dalam peraturan cukai serta cara mengelakkan kesilapan semasa mengisi borang cukai pendapatan atau borang e-Filing.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PLH dalam menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai. Inisiatif ini juga menyokong pembudayaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh hubungan erat antara komuniti kampus dan masyarakat sekitar.

This entry was posted in Mac 2024, March 2025. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *