Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini telah mengadakan program menarik bersempena cuti sekolah bertajuk “Cuti Sekolah @ PLH”. Program ini diadakan dari 17 hingga 20 September 2024 dan terbuka secara percuma kepada anak-anak kakitangan UTeM yang berumur dari 7 hingga 17 tahun.
Program ini bertujuan untuk memberi pengalaman yang berbeza kepada kanak-kanak sekolah rendah dan menengah sepanjang cuti sekolah, dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif di perpustakaan. Antara aktiviti yang disediakan termasuklah ruang membaca dan sudut kanak-kanak, tayangan filem dan indoor games seperti permainan congkak, karom, dan PS4 serta aktiviti menarik lain seperti mari buat sandwich, origami, bag painting, kelas Canva, dan enjoy with bricks.
Program yang berlangsung selama empat hari ini dimulakan dengan aktiviti membuat sandwich dan diikuti oleh tayangan filem serta sesi bacaan buku di perpustakaan. Pelbagai aktiviti pendidikan dan kreatif dijalankan setiap hari seperti Jom Celik IT, Klinik Solat, dan Klinik Surah UPKK. Aktiviti Jom Santai-Santai pula menyediakan permainan tradisional dan moden untuk kanak-kanak berehat sambil bermain dengan rakan-rakan.
Secara keseluruhan, program “Cuti Sekolah @ PLH” telah berjaya menarik minat dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada anak-anak kakitangan UTeM. Ia bukan sahaja mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang menyeronokkan tetapi juga menggalakkan mereka untuk lebih menghargai ilmu dan kemudahan yang ada di perpustakaan.
Program ini telah menerima maklum balas yang amat positif daripada kakitangan UTeM, yang menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang sangat bermanfaat dan menarik.














