
Bersahur digalakkan bagi mereka yang berpuasa kerana ia adalah sunnah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Besahur dapat membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan.
Daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Semua sahur adalah berkat. Sebab itu, jangan kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya memberikan selawat untuk orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)
BERSAHUR DAN MELEWATKANNYA
Bersahur pula hendaklah dilewatkan dan menghampiri waktu fajar dan mengakhirkan sahur termasuk juga amalan sunnah, malah ia bermanfaat untuk memendekkan waktu lapar dan menahan diri daripada perkara ditegah ketika berpuasa.
Daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Tabrani dan Ibnu Hibban pula meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur.”
Kemudian, hadis daripada Irbadh bin Sariyah yang berkata: “Rasulullah SAW memanggil aku untuk makan sahur pada bulan Ramadan. Sabda Baginda kepadaku: ‘Datanglah ke sini untuk makan hidangan yang diberkati ini.’” (Riwayat Abu Daud, Nasai, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Jika berbuka kita perlu menyegerakannya, bersahur pula kita dianjurkan agar melewatkannya.
Dalam riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka dan mengakhirkan waktu sahurnya.”
Jelas kelebihan bersahur dapat melatih kita untuk mengerjakan solat sunat tahajud. Kesempatan untuk bangun sebelum waktu Subuh di luar Ramadan jarang berlaku. Dengan bersahur, maka kita dapat menggunakan waktu yang singkat itu dengan efektif selain dapat mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat Tahajud.
Kemuliaan yang ada dalam solat itu dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam hari bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Al-Israa, ayat 79)
SEGERA BERBUKA APABILA MASUK WAKTUNYA
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Umatku masih berada dalam sunahku, selagi dia tidak menunggu sehingga bintang muncul ketika berbuka.” (Riwayat Ibnu Hibban)
Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Manusia masih berada dalam kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka.”
Berpandukan kepada hadis berkenaan jelas menunjukkan anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya agar menyegerakan berbuka apabila masuk waktunya. Jangan salah sangka konon dengan melewatkan waktu berbuka dapat menambahkan lagi pahala.
Berikut adalah jadual waktu imsak dan berbuka puasa tahun 1441H / 2020M bagi seluruh Malaysia:
| JOHOR | JADUAL_WIBP_2020_1441_Johor |
| MELAKA | JADUAL_WIBP_2020_1441_Melaka |
| NEGERI SEMBILAN | JADUAL_WIBP_2020_1441_Negeri_Sembilan |
| PAHANG | JADUAL_WIBP_2020_1441_Pahang |
| PERAK | JADUAL_WIBP_2020_1441_Perak |
| PULAU PINANG | JADUAL_WIBP_2020_1441_Pulau_Pinang |
| SABAH | JADUAL_WIBP_2020_1441_Sabah |
| SARAWAK | JADUAL_WIBP_2020_1441_Sarawak |
| SELANGOR | JADUAL_WIBP_2020_1441_Selangor |
| TERENGGANU | JADUAL_WIBP_2020_1441_Tganu |
| WILAYAH PERSEKUTUAN | JADUAL_WIBP_2020_1441_Wilayah_Persekutuan |
| KEDAH | JADUAL-WIBP-2020-1441-Kedah |
| KELANTAN | JADUAL-WIBP-2020-1441-Kelantan |
| PERLIS | JADUAL-WIBP-2020-1441-Perlis |

