
Rukun Islam yang kelima adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Ini adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam kerana ianya merupakan ibadah yang telah difardhukan oleh Allah SWT. Maksud Ibadah ialah tuntutan ke atas seseorang hamba bagi melaksanakannya sebagai memenuhi perintah Allah SWT dan menunaikannya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah tersebut. Namun Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, apabila menfardhukan sesuatu ibadah kepada hamba-Nya pasti ada kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan. Antara kelebihannya:
- Ibadah puasa adalah ibadah rohaniah dan jasadiah. Apabila ibadah puasa dilaksanakan dengan menjaga Sunnah dan adab berpuasa maka hasil daripadanya akan membentuk seorang hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah SWT.
- Al-Quran yang mulia telah diturunkan kepada manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW, kepada umat yang paling mulia, iaitu umat Baginda SAW dan di bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadhan dan orang yang membacanya adalah orang yang mulia.
- Puasa adalah pintu segala ibadah kerana dengan berpuasa Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba. Apabila dosa-dosanya diampunkan maka ianya menjadikan hati bercahaya dan cahaya itu akan menimbulkan keghairahan untuk melakukan setiap amal ibadah yang lain dengan bersungguh-sungguh. Namun, ulama mengingatkan bahawa hanya dosa-dosa kecil sahaja yang terhapus dan dosa-dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan hanya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat.
- Makna “Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya”,iaitu puasa merupakan amalan batin yang hakikatnya tidak diketahui melainkan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan orang yang melakukannya sendiri sahaja. Ia merupakan ibadah yang berbentuk niat dalam hati dan berbeza dengan semua amalan lain yang boleh dilihat oleh mata orang lain dan tidak lepas daripada syirik, riya’, ujub serta takkabur. Manakala puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Rabb-nya.
- Semua manusia menginginkan kegembiraan, namun hanya sedikit sahaja yang mendapat kegembiraan sejati. Kebanyakan manusia terjerumus dalam kegembiraan palsu yang penghujungnya adalah kesengsaraan. Kegembiraan hakiki itu hanyalah daripada Allah SWT. Melalui ibadah puasa, Allah SWT berjanji melalui lidah Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa.
- Allah SWT itu Maha Mendengar akan setiap permohonan hamba-hamba-Nya. Adalah diketahui daripada banyak hadith bahawa doa–doa dalam bulan Ramadhan diterima secara khusus.Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah SWT telah berjanji dan janji itu disampaikan pula oleh seorang Rasul yang benar. Jika perkara yang diminta itu ada kebaikan untuknya maka akan diberikan, jika tidak maka tidak akan diperkenankan atau diganti dengan yang lebih perlu baginya atau akan disempurnakan di akhirat nanti. Ini adalah satu ehsan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Walaubagaimanapun kerana kurang penelitian, seseorang hamba akan meminta sesuatu perkara yang tidak sesuai untuknya. Justeru, janganlah pula terfikir bahawa sesuatu doa itu tidak dimakbulkan, sebaliknya hendaklah memahami erti sebenar penerimaan sesuatu doa tersebut. Justeru, sempurnakan perintah-perintah Allah nescaya Allah akan menerima doa-doa yang dipohon oleh hamba-Nya.
- Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array”dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.
- Seorang yang benar-benar beriman pada zahirnya, di samping menunaikan amalan fardhu akan membanyakkan amalan yang sunat. Setiap ahli syurga akan diseru mengikut amalan masing-masing. Sesiapa yang daripada kalangan ahli solat akan diseru daripada pintu solat. Ahli solat adalah orang yang banyak bersolat. Dengan menunaikan solat fardhu berjamaah dan banyak mengerjakan solat-solat sunat barulah layak dipanggil sebagai ahli solat. Sesiapa yang daripada kalangan ahli puasa dia akan diseru daripada pintu al-Rayyan. Ahli puasa ialah orang yang banyak berpuasa. Di samping dia berpuasa di bulan Ramadan yang merupakan puasa wajib, dia juga banyak berpuasa sunat sehingga layaklah dia digelar ahli puasa. Sesiapa daripada kalangan ahli sedekah dia akan diseru daripada pintu sedekah. Ahli sedekah ialah orang yang banyak bersedekah. Di samping dia menunaikan sedekah-sedekah wajib (zakat) dia juga banyak bersedekah sunat sehingga layak dia dipanggil ahli sedekah.
Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang amat istimewa dan unggul kerana Allah SWT mencurahkan pahala, rahmat dan keampunan-Nya pada setiap hari, setiap jam, setiap detik dan saat sepanjang Ramadhan tanpa henti berbanding bulan-bulan yang lain.
Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, Al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya. Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya senantiasa berpuasa dan pada malam harinya membaca Al-Quran serta sibuk mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan amalan-amalan ibadah yang lain.
Sebaliknya amatlah rugi dan kesal bagi mereka yang mengabaikan serta tidak mengendahkan perintah-perintah Allah SWT. Begitu juga apabila mereka melakukan amalan-amalan tersebut dengan malas dan sambil lewa. Bahkan amalan-amalan tersebut akan mengutuk dan mendoakan kecelakaan kepada mereka di hari kiamat nanti.

