Skip to main content

Menyingkap Salah Faham: Adakah Menyambung Pengajian di Universiti Tidak Lagi Penting untuk Masa Depan Kerjaya?

Dalam era teknologi dan inovasi yang semakin maju, kita sering mendengar cerita tentang syarikat-syarikat besar seperti Tesla dan Google yang tidak memerlukan kelayakan ijazah untuk mengambil pekerja. Kenyataan ini sering disalah tafsir dan menyebabkan ramai pelajar, khususnya yang baru tamat sekolah, meragui keperluan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Ada yang percaya bahawa ijazah tidak lagi relevan, terutamanya dalam bidang teknikal. Tetapi, adakah benar begitu?

Sebelum membuat kesimpulan, penting untuk kita memahami realiti dunia pekerjaan hari ini.

1. Syarikat Utamakan Pengalaman dan Kemahiran Teknikal, Tetapi…

Memang benar, banyak syarikat besar kini memfokuskan kepada pengalaman dan kemahiran teknikal yang relevan. Mereka mahu pekerja yang mampu menyelesaikan masalah sebenar dan mahir dalam bidang mereka. Oleh itu, pelajar perlu meningkatkan keupayaan teknikal mereka sama ada melalui latihan praktikal atau pengalaman kerja. Namun begitu, pengalaman sahaja tidak mencukupi untuk semua bidang. Dalam kebanyakan kes, pengalaman perlu dilengkapi dengan asas teori yang kuat, yang biasanya diajar di peringkat universiti.

Universiti bukan sekadar tempat untuk memperoleh sijil; ia adalah ruang untuk pelajar mendalami konsep-konsep asas, belajar cara berfikir secara kritikal, dan memahami disiplin di sebalik teori-teori yang diaplikasikan dalam pekerjaan sebenar. Tanpa asas ini, sukar untuk seseorang memahami gambaran besar dalam bidang tertentu.

2. Bidang Profesional Memerlukan Kelayakan Spesifik

Dalam beberapa bidang, seperti perakaunan, kejuruteraan, perubatan, dan kejururawatan, perlesenan dan kelayakan akademik tertentu adalah syarat wajib untuk bekerja. Sebagai contoh, jurutera perlu berdaftar dengan Board of Engineers Malaysia (BEM) untuk diiktiraf sebagai jurutera profesional, manakala akauntan perlu mendapat kelulusan dari badan perakaunan profesional seperti Malaysian Institute of Accountants (MIA). Tanpa kelayakan ini, seseorang tidak dibenarkan untuk bekerja dalam bidang tersebut, tidak kira betapa hebatnya pengalaman praktikal yang mereka miliki.

Maka, bagi pelajar yang berminat dalam bidang profesional ini, melanjutkan pelajaran adalah keperluan, bukan pilihan.

3. On-Job Training: Bermula di Bawah, Lambat Naik Ke Atas

Bagi mereka yang ingin terus bekerja selepas SPM tanpa melanjutkan pelajaran, kebanyakan akan bermula di tahap yang sangat rendah, seperti posisi sokongan atau operator. Walaupun latihan dalam pekerjaan (on-the-job training) ada disediakan, perjalanan ke arah pengurusan dan peranan kepimpinan seringkali memakan masa yang panjang. Peluang untuk naik pangkat mungkin lambat kerana pekerja tersebut harus menunggu peluang untuk menghadiri latihan khusus yang biasanya jarang diadakan, terutamanya untuk jawatan pengurusan.

Tanpa kelayakan akademik, mereka mungkin juga terhad dalam memilih bidang-bidang baru atau mengikuti perkembangan teknologi dan inovasi. Oleh itu, mendapatkan pendidikan formal di peringkat universiti atau diploma dapat mempercepatkan perkembangan kerjaya dan membuka lebih banyak peluang di masa hadapan.

4. Kenaikan Pangkat Dalam Sektor Kerajaan: Kumpulan Profesional/Pengurusan vs. Kumpulan Sokongan

Di dalam sektor awam, struktur penjawatan sangat bergantung kepada kelayakan akademik seseorang. Kumpulan profesional dan pengurusan dalam kerajaan biasanya diisi oleh mereka yang mempunyai kelayakan ijazah/bachelor degree atau lebih tinggi. Sebaliknya, kumpulan sokongan akan mendapati mereka perlu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu ijazah sarjana muda, untuk membuka lebih peluang kearah pengurusan dan profesional.

Kenaikan pangkat dalam sektor kerajaan bukan sahaja berdasarkan pengalaman, tetapi juga kepada kelayakan akademik, yang memainkan peranan penting dalam penilaian prestasi dan kelayakan untuk jawatan lebih tinggi.

5. Syarikat Besar Mempunyai Sistem Pengambilan Tersendiri

Syarikat-syarikat besar Tech Giant mungkin dikenali kerana pendekatan mereka yang unik dalam pengambilan pekerja, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak menghargai pendidikan. Sebaliknya, mereka telah membangunkan sistem penilaian dalaman yang sangat ketat dan teknikal. Contohnya, ujian kecekapan dalam pengekodan komputer, reka bentuk, atau penyelesaian masalah teknikal yang rumit adalah sebahagian daripada proses pengambilan mereka.

Calon tanpa ijazah masih perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kemahiran teknikal dalam bidang tersebut, sering kali lebih tinggi daripada yang dipelajari di universiti. Ini menunjukkan bahawa pendidikan, walaupun tidak selalu formal, masih penting dalam membentuk kecekapan teknikal yang diperlukan.

6. Kepentingan Ijazah Walaupun Bekerja Sendiri atau Sebagai Suri Rumah

Tidak semua orang memilih untuk bekerja dalam syarikat besar atau sektor awam. Ada yang lebih suka bekerja sendiri, membuka perniagaan, atau menjadi suri rumah. Walaupun begitu, kelayakan akademik seperti ijazah masih memberi banyak manfaat.

Sebagai contoh, jika seseorang ingin memulakan perniagaan sendiri, mempunyai ijazah boleh menjadi satu aset penting ketika membuat pinjaman perniagaan. Bank dan institusi kewangan lebih cenderung memberi kepercayaan kepada pemohon yang mempunyai latar belakang akademik yang kukuh, kerana ini menunjukkan mereka mempunyai asas pengetahuan dan kecekapan dalam bidang tersebut. Di samping itu, ijazah boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap individu tersebut, terutamanya dalam bidang-bidang seperti perundingan, latihan, atau perniagaan yang berasaskan kemahiran khusus.

Bagi suri rumah yang ingin bekerja dari rumah, contohnya menjalankan perniagaan dalam talian, ijazah boleh menjadi modal intelektual yang boleh digunakan untuk menarik pelanggan, mendapatkan kepercayaan rakan kongsi perniagaan, atau membina jaringan profesional. Ijazah bukan sekadar bukti pendidikan, tetapi juga cerminan usaha, disiplin, dan komitmen seseorang.

Kesimpulan: Pendidikan Sepanjang Hayat dan Kepentingan Kelayakan Akademik

Jadi, apakah solusi terbaik untuk anak muda yang keliru dengan naratif ini? Jawapannya adalah untuk tidak terpengaruh dengan berita yang mengelirukan dan sebaliknya memahami bahawa pendidikan adalah perjalanan sepanjang hayat. Universiti menyediakan asas yang penting, tetapi pengalaman juga memainkan peranan dalam kerjaya seseorang. Namun, dalam dunia yang semakin kompetitif, gabungan kedua-duanya – pendidikan formal dan pengalaman praktikal – adalah kunci untuk kejayaan masa hadapan.

Bagi pelajar, menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi seperti diploma, ijazah, dan seterusnya adalah satu langkah penting. Ini bukan sahaja membuka lebih banyak pintu peluang pekerjaan, tetapi juga membantu anda berkembang dari segi pemikiran, kemahiran, dan daya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *