PANDUAN SOLAT TARAWIH & CONTOH KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM DI RUMAH

Solat sunat tarawih boleh dilakukan sama ada secara sendirian atau berjemaah. Berikut adalah panduan solat tarawih:

1. Lafaz Niat Solat Tarawih

Lafaz niat sembahyang sunat Tarawih adalah seperti berikut :

اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى

Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat (menjadi makmum / imam) kerana Allah Taala.

Jumlah rakaat boleh dilakukan 8 rakaat (4 salam) atau 20 rakaat (10 salam).

 

BACAAN SURAH

Pada malam 1 hingga 15 Ramadhan boleh juga dibacakan surah-surah yang tertentu pada rakaat pertama mengikut susunan seperti:

Surah Al-Takathur

Surah Al-Asr
Surah Al-Humazah
Surah Al-Fil
Surah Quraisy
Surah Al-Ma’un
Surah Al-Kautsar
Surah Al-Kafi run
Surah An-Nasr
Surah Al-Masad

Pada setiap rakaat yang kedua pula dibaca surah Al-Ikhlas.

Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan, setiap rakaat yang pertama dibaca surah AL-QADR.

Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama seperti malam 1 – 15 Ramadhan iaitu bermula dari surah al-Takathur hingga kepada surah al-Masad.

Penentuan surah seperti di atas hanyalah untuk memudahkan kita.

 

BACAAN SELAWAT DAN WIRID

Selawat dan wirid ketika memulakan atau di antara solat tarawih tidak perlu dibaca jika kita tidak menghafalnya.

Namun, tidak salah juga jika kita ingin mengamalkannya untuk menambahkan lagi ibadat pada bulan yang mulia ini.

(Panduan selawat dan wirid boleh rujuk pada gambar di bawah.)

 

SOLAT SUNAT WITIR

Selepas solat Tarawih, boleh terus tunaikan solat Witir 3 rakaat.

Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam.
(2 rakaat + 1 rakaat)

Lafaz niat sembahyang sunat Witir:

Sahaja aku sembahyang sunat Witir 1 rakaat / 2 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala.

Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
Pada malam ke 16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir.

Lafaznya sama dengan lafaz qunut sembahyang Subuh.

Boleh dibacakan apa-apa surah selepas surah al-Fatihah, namun afdalnya boleh dibaca surah berikut:

Rakaat pertama – surah Al-A’la
Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas

 

Jadual Waktu Imsak dan Berbuka Puasa Tahun 1441H / 2020M

Bersahur digalakkan bagi mereka yang berpuasa kerana ia adalah sunnah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Besahur dapat membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan.

Daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Semua sahur adalah berkat. Sebab itu, jangan kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya memberikan selawat untuk orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

 

BERSAHUR DAN MELEWATKANNYA

Bersahur pula hendaklah dilewatkan dan menghampiri waktu fajar dan mengakhirkan sahur termasuk juga amalan sunnah, malah ia bermanfaat untuk memendekkan waktu lapar dan menahan diri daripada perkara ditegah ketika berpuasa.

Daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam Tabrani dan Ibnu Hibban pula meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Kemudian, hadis daripada Irbadh bin Sariyah yang berkata: “Rasulullah SAW memanggil aku untuk makan sahur pada bulan Ramadan. Sabda Baginda kepadaku: ‘Datanglah ke sini untuk makan hidangan yang diberkati ini.’” (Riwayat Abu Daud, Nasai, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jika berbuka kita perlu menyegerakannya, bersahur pula kita dianjurkan agar melewatkannya.

Dalam riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka dan mengakhirkan waktu sahurnya.”

Jelas kelebihan bersahur dapat melatih kita untuk mengerjakan solat sunat tahajud. Kesempatan untuk bangun sebelum waktu Subuh di luar Ramadan jarang berlaku. Dengan bersahur, maka kita dapat menggunakan waktu yang singkat itu dengan efektif selain dapat mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat Tahajud.

Kemuliaan yang ada dalam solat itu dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam hari bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Al-Israa, ayat 79)

 

SEGERA BERBUKA APABILA MASUK WAKTUNYA

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Umatku masih berada dalam sunahku, selagi dia tidak menunggu sehingga bintang muncul ketika berbuka.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Manusia masih berada dalam kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka.”

Berpandukan kepada hadis berkenaan jelas menunjukkan anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya agar menyegerakan berbuka apabila masuk waktunya. Jangan salah sangka konon dengan melewatkan waktu berbuka dapat menambahkan lagi pahala.

Berikut adalah jadual waktu imsak dan berbuka puasa tahun 1441H / 2020M bagi seluruh Malaysia:

JOHOR JADUAL_WIBP_2020_1441_Johor
MELAKA JADUAL_WIBP_2020_1441_Melaka
NEGERI SEMBILAN JADUAL_WIBP_2020_1441_Negeri_Sembilan
PAHANG JADUAL_WIBP_2020_1441_Pahang
PERAK JADUAL_WIBP_2020_1441_Perak
PULAU PINANG JADUAL_WIBP_2020_1441_Pulau_Pinang
SABAH JADUAL_WIBP_2020_1441_Sabah
SARAWAK JADUAL_WIBP_2020_1441_Sarawak
SELANGOR JADUAL_WIBP_2020_1441_Selangor
TERENGGANU JADUAL_WIBP_2020_1441_Tganu
WILAYAH PERSEKUTUAN JADUAL_WIBP_2020_1441_Wilayah_Persekutuan
KEDAH JADUAL-WIBP-2020-1441-Kedah
KELANTAN JADUAL-WIBP-2020-1441-Kelantan
PERLIS JADUAL-WIBP-2020-1441-Perlis

Fadhilat Ramadhan

Rukun Islam yang kelima adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Ini adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam kerana ianya merupakan ibadah yang telah difardhukan oleh Allah SWT. Maksud Ibadah ialah tuntutan ke atas seseorang hamba bagi melaksanakannya sebagai memenuhi perintah Allah SWT dan menunaikannya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah tersebut. Namun Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, apabila menfardhukan sesuatu ibadah kepada hamba-Nya pasti ada kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan. Antara kelebihannya:

  1. Ibadah puasa adalah ibadah rohaniah dan jasadiah. Apabila ibadah puasa dilaksanakan dengan menjaga Sunnah dan adab berpuasa maka hasil daripadanya akan membentuk seorang hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah SWT.

 

  1. Al-Quran yang mulia telah diturunkan kepada manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW, kepada umat yang paling mulia, iaitu umat Baginda SAW dan di bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadhan dan orang yang membacanya adalah orang yang mulia.

 

  1. Puasa adalah pintu segala ibadah kerana dengan berpuasa Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba.  Apabila dosa-dosanya diampunkan maka ianya  menjadikan hati bercahaya dan cahaya itu akan menimbulkan keghairahan untuk melakukan setiap amal ibadah yang lain dengan bersungguh-sungguh. Namun, ulama mengingatkan bahawa hanya dosa-dosa kecil sahaja yang terhapus dan dosa-dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan hanya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat.

 

  1. Makna “Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya”,iaitu puasa merupakan amalan batin yang hakikatnya tidak diketahui melainkan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan orang yang melakukannya sendiri sahaja. Ia merupakan ibadah yang berbentuk niat dalam hati dan berbeza dengan semua amalan lain yang boleh dilihat oleh mata orang lain dan tidak lepas daripada syirik, riya’, ujub serta takkabur. Manakala puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Rabb-nya.

 

  1. Semua manusia menginginkan kegembiraan, namun hanya sedikit sahaja yang mendapat kegembiraan sejati. Kebanyakan manusia terjerumus dalam kegembiraan palsu yang penghujungnya adalah kesengsaraan. Kegembiraan hakiki itu hanyalah daripada Allah SWT. Melalui ibadah puasa, Allah SWT berjanji melalui lidah Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa.

 

  1. Allah SWT itu Maha Mendengar akan setiap permohonan hamba-hamba-Nya. Adalah diketahui daripada banyak hadith bahawa doa–doa dalam bulan Ramadhan diterima secara khusus.Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah SWT telah berjanji dan janji itu disampaikan pula oleh seorang Rasul yang benar. Jika perkara yang diminta itu ada kebaikan untuknya maka akan diberikan, jika tidak maka tidak akan diperkenankan atau diganti dengan yang lebih perlu baginya atau akan disempurnakan di akhirat nanti. Ini adalah satu ehsan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Walaubagaimanapun kerana kurang penelitian, seseorang hamba akan meminta sesuatu perkara yang tidak sesuai untuknya.  Justeru, janganlah pula terfikir bahawa sesuatu doa itu tidak dimakbulkan, sebaliknya hendaklah memahami erti sebenar penerimaan sesuatu doa tersebut. Justeru, sempurnakan perintah-perintah Allah nescaya Allah akan menerima doa-doa yang dipohon oleh hamba-Nya.

 

  1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array”dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

 

  1. Seorang yang benar-benar beriman pada zahirnya, di samping menunaikan amalan fardhu akan membanyakkan amalan yang sunat. Setiap ahli syurga akan diseru mengikut amalan masing-masing. Sesiapa yang daripada kalangan ahli solat akan diseru daripada pintu solat. Ahli solat adalah orang yang banyak bersolat. Dengan menunaikan solat fardhu berjamaah dan banyak mengerjakan solat-solat sunat barulah layak dipanggil sebagai ahli solat. Sesiapa yang daripada kalangan ahli puasa dia akan diseru daripada pintu al-Rayyan. Ahli puasa ialah orang yang banyak berpuasa. Di samping dia berpuasa di bulan Ramadan yang merupakan puasa wajib, dia juga banyak berpuasa sunat sehingga layaklah dia digelar ahli puasa. Sesiapa daripada kalangan ahli sedekah dia akan diseru daripada pintu sedekah. Ahli sedekah ialah orang yang banyak bersedekah. Di samping dia menunaikan sedekah-sedekah wajib (zakat) dia juga banyak bersedekah sunat sehingga layak dia dipanggil ahli sedekah.

 

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang amat istimewa dan unggul kerana Allah SWT mencurahkan pahala, rahmat dan keampunan-Nya pada setiap hari, setiap jam, setiap detik dan saat sepanjang Ramadhan tanpa henti berbanding bulan-bulan yang lain.

Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, Al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya. Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya senantiasa berpuasa dan pada malam harinya membaca Al-Quran serta sibuk mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan amalan-amalan ibadah yang lain.

Sebaliknya amatlah rugi dan kesal bagi mereka yang mengabaikan serta tidak mengendahkan perintah-perintah Allah SWT. Begitu juga apabila mereka melakukan amalan-amalan tersebut dengan malas dan sambil lewa. Bahkan amalan-amalan tersebut akan mengutuk dan mendoakan kecelakaan kepada mereka di hari kiamat nanti.

 

Sumber: http://myhadith.islam.gov.my/index.php/bm/semua-al-manhal-al-tanwir/984-kelebihan-puasa-di-bulan-ramadhan

HARI HARTA INTELEK SEDUNIA 2020

Setiap 26 April, kita merayakan Hari Kekayaan Intelektual Sedunia untuk mengetahui tentang peranan hak intelektual dalam mendorong inovasi dan kreativiti. Hari Harta Intelek Sedunia ini disambut bagi mepelajari tentang peranan hak harta intelek (paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta) yang penting di dalam menggalakkan inovasi dan kreativiti. Pada tahun 2000, negara anggota World Intellectual Property (WIPO) menetapkan 26 April adalah hari di mana Konvensyen WIPO berkuatkuasa pada tahun 1970 sebagai Hari Harta Intelek Sedunia dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman umum mengenai Harta Intelek.


Sejak itu, Hari Harta Intelek Sedunia menawarkan peluang unik setiap tahun untuk bergabung dengan orang lain di seluruh dunia untuk mempertimbangkan bagaimana Harta Intelek menyumbang kepada perkembangan muzik dan seni dan mendorong inovasi teknologi yang membantu membentuk dunia kita.

Hari Harta Intelek Sedunia 2020 meletakkan inovasi dan hak harta intelek yang menyokong usaha untuk mewujudkan masa depan yang hijau. Pilihan yang dibuat hari ini akan membentuk hari esok dan bumi adalah rumah kita yang perlu kita menjaganya. Semua perlu berkongsi cabaran ini dan masing-masing mempunyai peranan dalam membangun masa depan yang hijau. Ini adalah usaha yang kompleks dan pelbagai aspek, tetapi seperti yang dinyatakan oleh pakar semula jadi David Attenborough, “sebagai spesies, kita adalah pakar penyelesaian masalah.” Kita dapat mencipta masa depan yang hijau.

Kempen ini juga meraikan banyak pencipta yang memberi inspirasi di seluruh dunia yang bertaruh pada masa depan yang hijau bagi mengusahakan alternatif yang lebih baik daripada teknologi berasaskan bahan bakar fosil dan makanan secara semula yang lebih mampan sistem pengurusan sumber serta yang menggunakan sistem Harta Intelek untuk menyokong kerja mereka dan penggunaannya kepada masyarakat. Sistem Harta Intelek yang seimbang dan mantap dapat menyokong kemunculan ekonomi hijau yang berfungsi dan tidak bertentangan dengan sistem sokongan kehidupan di bumi.

Sistem paten mendorong inovasi dan pengembangan dan penyebaran teknologi mesra alam yang membolehkan menangani krisis iklim dan membina masa depan yang hijau. Walau bagaimana pun pemikiran dah hak reka bentuk bersama-sama menyokong penggunaan sumber yang optimum dan membolehkan pereka melaburkan masa dan bakat mereka dalam mencipta produk yang berguna, menarik dan mesra alam untuk pengguna.

Pihak WIPO mempertimbangkan bagaimana tanda dagang dan pengecam lain menyokong kemunculan dan pertumbuhan perniagaan yang dibina berdasarkan prinsip-prinsip kelestarian alam sekitar, yang memungkinkan mereka untuk menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih mesra alam. WIPO juga melihat bagaimana hak seperti petunjuk geografi mendorong penggunaan sumber semula jadi yang lebih lestari dan bagaimana hak pembiakan tanaman mempromosikan pembangunan tanaman yang lebih tahan lasak untuk menyokong keselamatan makanan global.

Pihak WIPO memerhatikan bagaimana pencipta yang melalui sistem hak cipta dapat memperoleh pendapatan dari karya mereka dan juga dapat memainkan peranan penting dalam mewujudkan visi masa depan yang hijau dan faedahnya yang tidak terhitung. Komitmen WIPO buat setiap hari ialah produk yang dibeli, dana yang diberi dan penyelidikan, syarikat yang mereka dukung, dasar dan undang-undang yang mereka kembangkan, akan menentukan betapa hijau masa depan bumi. Tetapi dengan pemikiran inovatif dan penggunaan hak Harta Intelek yang strategik, keberlanjutan dapat dicapai.

Sertailah WIPO dalam meneroka peranan yang dimainkan oleh inovasi dan hak Harta Intelek dalam membuka jalan menuju masa depan yang hijau.

 

Sumber: https://www.wipo.int/ip-outreach/en/ipday/

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1441H

Ramadhan merupakan bulan yang mulia yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam, kerana di bulan ramadhan ini merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, dan Allah S.W.T mewajibkan umatnya berpuasa pada bulan ini. Pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka pula ditutup. Oleh kerana Ramadhan disebut di dalam Al-Quran dan terlalu banyaknya keistimewan dan kelebihan Ramadhan maka ia mendapat gelaran sebagai Penghulu sekelian bulan. Di sana adanya ibadah puasa selama sebulan penuh, Zakat fitrah, Solat Tarawih, Lailatul Qadar, Nuzul al-Quran, Tadarus al-Quran, Kelebihan sedekah, Qiamullail, Tazkirah, Iktikaf dan lain-lain lagi.

Rasulullah menegaskan bahawa:

 “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.”

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

Umat Islam mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini bagi mengerjakan ibadah kerana terdapat banyak pahala di setiap amalan di bulan ramadhan ini. Antara amalan-amalan yang biasa umat Islam lakukan di bualan Ramadhan ialah:

  •      Berpuasa pada siangnya dengan puasa yang sebenarnya.
  •      Menghidupkan malam dengan amalan yang disyariatkan termasuk qiamullail
  •      Meningkatkan amalan harian
  •      Menunaikan solat tarawih
  •      Bertadarus al-quran
  •      Menunaikan zakat fitrah dan zakat yang lain
  •      Beriktikaf terutama 10 malam terakhir
  •      Memperbanyakkan sedekah
  •      Memberi makanan kepada orang yang berpuasa
  •      Bersahur
  •      Bersederhana dalam berbelanja dan makan minum
  •      Menjaga pancaindera dari melakukan maksiat
  •      Menunaikan umrah jika mampu

 

Oleh itu marilah sama-sama kita merebut peluang di bulan yang mulia ini dengan membuat amal ibadat seperti mana kita tahu bahawa bulan Ramadhan ini mempunyai banyak keberkatannya dan umat Islam juga berjaya dan mencapai kemenangan yang besar dalam bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan dimana Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya dan setiap amalan akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda. Ya Allah… sampaikanlah umur kami pada bulan Ramdhan dan bantulah kami mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya serta menggapai keutamaan-keutamaan yang ada pada mu Marhaban ya Ramadhan….

Di kesempatan ini pihak Perpustakaan Laman Hikmah ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK. Marilah kita sambut kedatangannya dengan hati yang bersih, ikhlas dan lurus pada-Nya. Semoga kita semua dapat meraih segala kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan dengan ibadah dan juga puasa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin….

Jom baca bersama

Tahukah anda bahawa tarikh 23 April setiap tahun merupakan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia (World Book and Copyright Day)? Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit ini juga diadakan pada setiap tahun bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Program ini bertujuan mendorong rakyat Malaysia membaca, di mulai dengan langkah awal selama 10 minit pada hari tersebut sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan dan kemudiannya meneruskan amalan membaca selama 10 minit setiap hari dengan membaca sebarang bahan bacaan.

Pihak Perpustakaan Laman Hikmah juga tidak terkecuali mengambil peluang ini dengan menyahut seruan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 minit dari rumah masing-masing memandangkan kita semua masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan demi memutuskan wabak COVID-19. Ini tidak menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan program tersebut malah kami berasa bangga dengan penganjuran ini kerana dapat meneruskan kelestarian budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita.

Berikut adalah suasana kakitangan Perpustakaan Laman Hikmah secara individu dan berkeluarga ketika Program Jom Baca berlangsung:

En. Azman bin Hj. Ayup
Timbalan Ketua Pustakawan Kanan

Arman Bin Mohammad
Timbalan Ketua Pustakawan

En. Noor Rahman Jamiah bin Jalil
Pembantu Pustakawan Kanan

Pn. Suzana binti Lazim
Pembantu Pustakawan Kanan

 

En. Mohd Siddiq Azizi bin Jais
Pembantu Pustakawan

Pn. Norfazlin binti Tambi Chek
Pembantu Pustakawan Kanan

Pn. Nor Aini binti Md.Jali
Pembantu Pustakawan Kanan

 

Bersama kita tunjukkan bahawa Malaysia adalah negara pembaca!

#perpustakaanlamanhikmah #utem20years #utemmembaca #dudukrumahbacabuku #jombacabersama2020

 

KLWBC 2020

Pada 19hb September 2018, Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay menamakan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia sebagai World Book Capital untuk tahun 2020. Kuala Lumpur telah dipilih atas cadangan oleh Jawatankuasa Penasihat modal Buku Dunia, yang terdiri daripada wakil-wakil Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA), Persekutuan Persatuan Perpustakaan Antarabangsa (IFLA) dan UNESCO berdasarkan aplikasi yang diterima dari bandar-bandar di seluruh dunia.

 

Kuala Lumpur dikenali sebagai bandar yang berbeza dan kepelbagaian penduduk yang berasal dari latar belakang budaya dan etnik yang berlainan. Ini bertujuan memperluaskan definisi kepelbagaian untuk melindungi orang yang mempunyai status sosial yang berbeza, orang yang dilihat sebagai golongan terpinggir, orang kurang upaya, kumpulan orang asli dan lain-lain. Program ini menjadi inklusif dan memberi manfaat kepada semua orang.

 

Mulai 18 hingga 23 April, Dataran Merdeka akan menjadi lokasi induk bagi meraikan minggu pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai WBC ke 20 dan Kuala Lumpur juga secara rasmi diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia hingga 22 April 2021 serta menjadi tuan rumah ke 20 pada tahun 2020. Acara WBC diperkenalkan UNESCO pada 2001 dan Madrid telah dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang pertama. Pada masa ini, hak tuan rumah masih dipegang kota Sharjah, UAE sebagai tuan rumah WBC ke 19.

 

Terdapat hampir 50 acara akan dijalankan sepanjang Festival KLWBC 2020 sehingga 23 April. Selepas festival dan pengisytiharan, untuk tempoh setahun, lebih 300 acara sudah diatur bagi mengisi sambutan KLWBC 2020 dan akan tamat pada 22 April 2021. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia adalah pemegang taruh KLWBC 2020. Manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula mengetuai kempen besar-besaran pelaksanaan KLWBC 2020. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku agensi utama Kementerian Pendidikan, untuk menyediakan hampir 50 acara sepanjang KLWBC 2020. Selain itu Majlis Tindakan Buku Negara (MTBN), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan 150 NGO ikut membantu.

 

Matlamat KLWBC 2020 ialah meningkatkan minat membaca dan akses perbukuan di Malaysia. Dalam erti kata lain, KLWBC 2020 bertangggung jawab mempromosi budaya membaca serta membangunkan akses perbukuan kepada masyarakat. Sekali gus meraikan kadar celik literasi di negara ini agar berfungsi sebagai sumber penyebaran ilmu. Matlamat UNESCO menjadikan proses pembacaan dan perbukuan sebagai asas meningkatkan kualiti peradaban sosial dan tamadun minda negara bangsa. Buku memang budaya ilmu cuma ilmu tidak akan tepu. KLWBC 2020 akan kekal mendokong aspirasi murni UNESCO. Namun, kita mahu meraikan kempen merakyatkan buku cara Malaysia. Selamat datang KLWBC 2020, ayuh berjuang membina budaya membaca dan akses perbukuan di negara kita. Jom bersama kita menyaksikan acara perasmian Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 sempena Hari Buku Sedunia disemua platform digital kualalumpurwbc pada 23 April 2020 jam 12.00 tengahari.

 

Sumber dari: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ada-apa-dengan-klwbc-2020-230318

HAPPY EARTH DAY

Hari Bumi adalah acara tahunan yang disambut di seluruh dunia pada 22 April untuk menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar. Pertama kali disambut pada tahun 1970, kini ia merangkumi acara yang dikoordinasikan secara global oleh Earth Day Network di lebih daripada 193 negara. Matlamat utama Hari Bumi adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan negatif tindakan manusia terhadap persekitaran dan bumi kita secara keseluruhan, dan hari ini merupakan tindakan masyarakat dalam menjaga bumi kita.

Hari Bumi pertama diadakan pada tahun 1970 menggerakkan berjuta-juta orang Amerika untuk perlindungan planet ini. Pada 22 April 1970, 20 juta orang Amerika – 10% penduduk A.S. pada masa itu – turun ke jalan, kampus kolej dan beratus-ratus bandar untuk memprotes kejahilan alam sekitar dan menuntut jalan baru untuk planet kita. Hari Bumi pertama dikreditkan dengan melancarkan gerakan persekitaran moden dan kini diakui sebagai acara sivik terbesar di planet ini.

Kini seluruh Dunia Menyambut Hari Bumi 2020 yang ke-50 dan tema untuk tahun ini adalah ‘Tindakan Iklim’. Perubahan iklim merupakan cabaran terbesar bagi masa depan  manusia dan sistem sokongan hidup yang menjadikan dunia kita dapat dihuni. Kini tiba masanya bagi kita untuk menuntut cita-cita global yang lebih besar untuk mengatasi krisis iklim kita. Ini mesti menjadi momen bersejarah ketika warga dunia bangkit dengan bersatu untuk kreativiti, inovasi, cita-cita, dan keberanian yang kita perlukan untuk menghadapi krisis iklim dan merebut peluang besar masa depan sifar karbon.

Pada Hari Bumi, 22 April 2020, kita menghadapi dua krisis iaitu satu dari wabak dan yang lain perlahan-lahan membangun sebagai bencana iklim kita. Kita boleh menyelesaikan kedua-dua cabaran tersebut dengan mengikut saranan cara-cara mengatasi yang dinyatakan melalui pelbagai saluran. BUMI adalah bagaimana kita menetapkan standard global baru pada Hari Bumi 2020. Kita mesti bertindak bersama untuk mengatakan bahawa bencana global tidak boleh berlaku lagi dan tidak boleh melakukan kesalahan yang sama dua kali. Kemajuan alam sekitar antara cara terbaik untuk memperbaiki dunia kita.

Berkat tindakan berani di seluruh dunia, kita akan mengatasi untuk pulih dari coronavirus. Planet dan masa depan kita bergantung kita semua dengan mematuhi segala arahan dan saranan yang telah diberi. Dunia memerlukan kita semua untuk bertindak bagi menjaga bumi. Terdapat begitu banyak yang boleh kita lakukan untuk membantu melindungi dan memulihkan planet kita, daripada menyertai pembersihan di seluruh dunia dan jasa kita ini demi menghargai bumi dan berusaha menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk melindungi bumi dan alam sekitar.

Kami warga Perpustakaan Laman Hikmah akan bersama-sama berganding bahu dalam menjaga Bumi yang kita cintai. Oleh itu pihak kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Bumi 2020 yang ke-50. Semoga kita sama-sama peroleh kejayaan dalam menangani wabak dan menjaga bumi kita supaya sentiasa menghijau.

 

HAPPY EARTH DAY!!!!!

 

 

Sumber: https://www.earthday.org/earth-day-2020/#block_5e01063cfccfa-1

SELAMAT MENYAMBUT HARI PERISYTIHARAN MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

Pada setiap 15 April Negeri Melaka akan membuat Sambutan Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah setiap tahun kerana ia merupakan hari kelepasan am bagi negeri Melaka bersempena sambutan ulangtahun pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah yang diiktiraf oleh Pertubuhan, Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Perisytiharan ini mengiktiraf 500 tahun perdagangan dan pertukaran budaya antara Timur dan Barat di Selat Melaka. Melaka juga diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada persidangan ke-32 Jawatankuasa Warisan Dunia di Quebec City, Kanada pada 7 Julai 2008 bersama Pulau Pinang. Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah tempat-tempat yang penting kepada warisan budaya atau budaya semula jadi seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Warisan Dunia UNESCO. Selain itu juga, Melaka mendapat status negeri Maju pada 20.10.2010 yang lalu.

Konvensyen Perisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1987 telah merumuskan bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia mengiktiraf Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah Malaysia. Kerajaan Persekutuan Malaysia pula telah bersetuju dengan rasminya untuk mengisytiharkan Melaka yang kaya dengan sejarahnya sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1989. Pengiktirafan ini seterusnya meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang telah mempunyai Bandaraya Bersejarah seperti Maghribi dengan Bandaraya Bersejarah Fez, Portugal dengan Bandaraya Bersejarah Lisbon dan Itali dengan Bandaraya Bersejarah Venice.

Melaka mengandungi peninggalan dan warisan sejarah negara yang kaya bermula dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, perjuangan nasionalisme hinggalah ke peristiwa Perisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara. Kelak Melaka akan lebih memasyhurkan nama Malaysia di mata dunia dan akan menjadi warisan seluruh rakyat Malaysia yang cinta dan kasih pada masa depan negara. Bandar Melaka ini menyajikan pemandangan menarik sebagai tambahan warisan Malaysia yang unik dan juga merupakan testimoni sebenar kepelbagaian warisan budaya.

Melaka mencerminkan campuran seni bina, budaya dan seni bandar dan memaparkan kepelbagaian bangunan yang mewakili pelbagai jenis dan peringkat pembangunan. Pelbagai bangunan bersejarah yang membawa kepada perisytiharan itu dibuka untuk lawatan pelancong dan kebanyakan acara di rancang untuk meraikan sejarah bandar. Sambutan itu biasanya berlansung selama seminggu dan banyak persembahan kebudayaan dijalankan di seluruh bandar.

Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan

Bagi memperingati detik bersejarah ini, Kerajaan Melaka telah memilih Bangunan Kelab Melaka untuk dijadikan ‘Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan’. Pengisytiharan Kemerdekaan Malaya dibuat oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Pahlawan. Sejak 31hb Ogos 1985, bangunan lama (bina pada 1911) ini telah menjadi Pusat Pameran yang mengandungi bahan-bahan peristiwa bersejarah mengenai perjuangan kemerdekaan negara. Bangunan memorial ini menempatkan bahan pameran yang tidak ternilai tentang perjuangan kemerdekaan negara ini. Bahan pameran adalah dalam bentuk relik, manuskrip, pita video, filem dan slaid.

 

Istana Kesultanan Melaka

Sebuah replika Istana Kesultanan Melaka yang didirikan di satu kawasan Kompleks Sejarah yang paling strategik di negeri ini. Di istana inilah tempat menapaknya kegemilangan tamadun Melayu. Bangunan replika Istana Kesultanan Melayu ini merupakan Muzium Budaya yang menggambarkan kisah menarik campuran unik pelbagai budaya di Melaka. Ia mempamerkan kebudayaan dan tamadun Melayu sejak abad ke-15. Terletak di kaki Bukit St. Paul, ia adalah satu-satunya Istana Melayu dari zaman kegemilangan Kesultanan Melaka yang dibina dengan ketelitian dan kehalusan yang sebegini.

 

Porta De Santiago

Porta bermaksud pintu dalam bahasa Portugis. Pintu masuk ini merupakan satu-satunya peninggalan sejarah dari kubu pertahanan yang dibina oleh Portugis setelah mereka menawan Melaka pada 1511. Laluan berbentuk S tersebut dibina demikian untuk mengelak tembakan. Setelah orang Belanda mengambil alih pada 1641, mereka memulihara dan mengembangkan pengubuan tersebut. Di atas pintu gerbang, kita dapat melihat lambang VOC( Syarikat Hindia Timur Belanda) dan “1670” yang ditambah oleh orang Belanda pada tahun tersebut.

 

Perpustakaan Laman Hikmah  ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah.

Sumber: http://sampulfdc.blogspot.com/2010/10/perisytiharan-melaka-bandaraya.html

Khasiat Kelapa

Kelapa adalah sejenis tumbuhan yang sesuai ditanam di kawasan bersuhu panas dan lembap. Buahnya tidak bermusim dan boleh didapati sepanjang tahun. Ianya kaya dengan lemak berguna dan pelbagai unsur penting kepada manusia seperti antioksidan dan juga antibodi penting. Lebih-lebih lagi, ia dimuatkan dengan beberapa nutrien penting, termasuk mineral. Dikenali sebagai tumbuhan 1000 guna, pokok kelapa mempunyai pelbagai manfaat yang boleh digunakan dari pucuk hingga ke akarnya. Pelepahnya boleh dijadikan lidi, batangnya dijadikan titi. Kelapa bermanfaat untuk pelbagai kegunaan. Kandungan kelapa kaya dengan khasiat kalori, protein dan zat besi, Omega 3, kalsium dan glukosa menjadikan bahan ini sebenarnya baik untuk penjagaan kesihatan dan penjagaan kecantikan diri. 

 

Khasiat Air Kelapa

Air kelapa membentuk secara semula jadi dalam buah dan mengandungi 94% air dan sangat sedikit lemak. Dengan hanya 45 kalori dalam satu cawan, air kelapa merupakan pengganti yang hebat untuk minuman kalori yang lebih tinggi seperti soda atau jus. Air kelapa mempunyai gula dan karbohidrat yang kurang daripada kebanyakan jus. Ia juga mempunyai lebih banyak mineral dan elektrolit seperti natrium dan kalium. Kajian saintifik juga menunjukkan khasiat air kelapa mampu untuk mengawal penyakit diabetis. Ia juga membantu untuk melancarkan lagi peredaran darah didalam tubuh seseorang serta merupakan ejen pengangkut khasiat seperti nutrien dan oksigen ke sel tubuh seseorang. Air kelapa boleh digunakan sebagai rawatan sembelit, ini kerana khasiatnya membantu untuk membersihkan sistem pencernaan seseorang dan mengelakkan daripada tersumbat. Sistem imunisasi didalam badan akan meningkat dengan minum air kelapa . Khasiat ini berguna untuk melawan penyakit.

 

Khasiat Santan Kelapa

Santan dipelbagaikan kegunaannya dalam kalangan masyarakat Asia sebagai bahan menyuburkan rambut dan melembutkan kulit. Diperkaya dengan nutrisi, santan kelapa mengandungi pelbagai vitamin, mineral, elektrolit termasuk potasium, kalsium dan klorida. Ia membantu memperbaiki tekstur kulit, mengembalikan kelembapan dan mengurangkan masalah kulit kering atau ruam. Mengandungi vitamin C menjadikan kulit lebih anjal dan melambatkan proses penuaan. Santan kelapa juga banyak digunakan dalam resepi masakan harian.

 

Khasiat Minyak Kelapa

Minyak Kelapa boleh diolah sebagai pembersih untuk solekan kerana ia kaya dengan kandungan nutrisi melembapkan kulit, merawat masalah bibir dan kutikel kuku daripada kekeringan. Penggunaan minyak kelapa boleh mencerahkan, menyeri dan menyegar serta melembapkan kulit. Tekstur minyak kelapa yang likat mengembalikan ton asal kulit tubuh apabila disapukan terus ke tubuh sebagai lulur. Sapuan di bawah mata lesu membantu menghilangkan garisan halus dan menghilangkan tanda penuaan kulit wajah. Minyak kelapa juga adalah bahan utama dalam setiap masakan bagi tujuan mengoreng atau menumis.

 

Khasiat Isi Kelapa

Terdapat anggaran kandungan vitamin B didalam isi kelapa dan ianya bagus untuk pembentukan sel darah merah. Kandungan serat di dalam isi kelapa sama dengan kandungan vitamin B iaitu 20%, serat bagus untuk penghadaman dan amat bagus untuk kesihatan dan usus. Kandungan fiber di dalam isi kelapa boleh membantu anda merasa kenyang lebih lama. Isi kelapa juga kaya dengan kandungan pelbagai mineral yang amat bagus untuk kesihatan antaranya , manganese . Dimana satu cawan isi kelapa mengandungi 67% keperluan harian manganese untuk tubuh wanita dan 52% keperluan untuk lelaki. Manganese membantu tubuh menggunakan lemak dan protein, menguatkan imun tubuh, mengawal glukos dalam darah, dan membantu tubuh menggunakan zat besi, thiamine dan vitamin E. Kandungan potasium dan tembaga didalam isi kelapa turut membantu fungsi jantung dan juga pembentukan otot tubuh.  Tembaga amat penting untuk pembentukan darah merah dan sensitiviti rasa.

 

Khasiat Tombong

Tombong Kelapa adalah embrio dari tunas kelapa dan bentuknya bulat, dan ianya terletak di dalam isi buah kelapa. Namun rasanya sungguh sedap dan berbeza dari isi buah kelapa dan enak dimakan begitu saja. Sebenarnya tombong kelapa ini tidak begitu popular di kalangan masyarakat. Ianya hanya terdapat di dalam kelapa tua sahaja. Tombong kelapa mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi  yang dapat memenuhi keperluan tubuh untuk vitamin A, termasuk menjaga kesihatan mata. Kandungan zat besi pada tombong kelapa dipercayai dapat mengatasi kekurangan darah atau anemia kerana zat besi merupakan salah satu komponen utama dalam pembentukan platelet. Dengan aliran darah yang lancar ke seluruh badan menjadikan tubuh menjadi sihat dan stabil. Pengambilan tombong kelapa yang kerap dipercayai menguatkan tulang dan gigi kerana ia mengandungi mineral dan fosforus yang tinggi. Oleh itu, risiko kehilangan gigi agak kurang pada ketika usia muda.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya bahawa kelapa sangat kaya dengan manfaat. Kandungan di dalamnya sangat berguna untuk kesihatan manusia dan berguna untuk kelangsungan hidup. Bukan sahaja buah yang boleh digunakan, tetapi dari akar, pokok, daun, bunga dan buah juga boleh digunakan. Malahan bukan sahaja untuk kesihatan tetapi dari lidinya boleh dijadikan penyapu dan sabut boleh digunakan dalam industri seperti pembuatan perabot, permaidani, tilam serta tempat duduk kereta, selain fertigasi pertanian moden bagi menggantikan tanaman di atas tanah.