University Oxford Press merupakan salah satu penerbit yang berprestij dalam menerbitkan buku serta penerbitan ilmiah. Dalam menyokong meningkatkan penerbitan ilmiah para penyelidik UTeM, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Publishing Talk: How to publish dengan kerjasama Access Dunia serta University Oxford Press.
Publishing Talk telah diadakan pada 14 November 2019 bertempat di Bilik Tayangan, PLH. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada akademia, pelajar pasca siswazah, penyelidik serta peserta dari luar UTeM telah menghadiri taklimat ini. Publishing Talk ini telah dikendalikan oleh Puan Sumita Sen yang merupakan Regional Training & Implementation Manager, South Asia & South East Asia, Oxford University Press.
Antara topik-topik menarik yang dibentangkan adalah:
How to turn your thesis into an article
How to write manuscript
How to select which journal you want to write for
How do you upload a manuscript on the OUP platform
What is Open Access
The journal publishing cycle
Peserta juga memberi komen yang positif serta cadangan agar Publishing Talk seperti ini diadakan bersama penerbit berprestij yang lain pada masa akan datang.
Dalam usaha memperkasakan aktiviti galakan membaca di peringkat Universiti, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pelbagai program galakan membaca secara terancang dan berterusan.
Pada 24 Oktober 2019, jam 2.30 petang telah diadakan program “Bedah Buku Bersama Profesor Madya Dr. Norliah binti Kudus: Organisasi Pembelajaran Memacu Kecemerlangan Universiti”bertempat di Ruang Santai, PLH. Puan Nurdayana Izyan binti Ahmad Ahsan selaku moderator telah berjaya menarik perhatian peserta dengan mengawasi diskusi tersebut mengikut topik yang telah ditentukan.
Program ini adalah sesi perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah serta santai untuk mencetuskan aspirasi serta matlamat dalam mendepani masa hadapan di kalangan warga UTeM dan membincangkan peranan organisasi pembelajaran ke arah memacu kecemerlangan sesebuah organisasi di institusi pengajian tinggi. Ianya menjelaskan kecemerlangan organisasi pembelajaran yang sewajarnya dihayati oleh seluruh warga universiti melibatkan pengurusan universiti, ahli akademik, pentadbir dan pembuat polisi pengajian tinggi di Malaysia.
Objektif program ini adalah untuk:
Meningkatkan ilmu kepada warga UTeM daripada sesi perkongsian ilmu dan pengalaman penulis sendiri yang telah berjaya mengetengahkan aspek perbincangan, cadangan dan pandangan dengan jelas tentang keperluan universiti berfungsi sebagai organisasi pembelajaran dalam membina kapasiti sumber manusia yang berdaya saing.
Memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepentingan universiti berfungsi sebagai organisasi pembelajaran yang mengutamakan pembelajaran berterusan dalam membina kapasiti sumber manusia untuk bertindak balas kepada perubahan, keinginan dan cabaran dalaman serta luaran.
Usaha untuk menarik lebih ramai pengguna hadir ke perpustakaan menggunakan perkhidmatan dan kemudahan PLH.
Program ini berakhir pada jam 5.00 petang dengan penyertaan seramai 82 orang meliputi pelajar, staf UTeM, IPTA dan IPTS sekitar negeri Melaka.
Pada 24 Oktober 2019, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah mengadakan Majlis Pelancaran Read@Uni sebagai inisiatif bagi menyokong Program Read@Uni Peringkat IPT yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB. Dr. Maszlee Malik pada 29 November 2018 bersempena Kempen Dekad Membaca Kebangsaan. Program ini merupakan inisiatif bagi mewujudkan negara membaca pada tahun 2030 dan akan dilaksanakan melalui perpustakaan di semua universiti awam dan swasta.
Dengan slogan ‘With Knowledge We Lead’ dan bertemakan #Malaysiamembaca, kempen ini bertujuan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara berbudaya membaca dan dapat menyemarakkan lagi pembacaan di kalangan kumpulan sasaran iaitu mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran. Ia selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan bangsa berilmu bertaraf dunia serta mendukung pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Bagi menyokong aspirasi ini, pelbagai aktiviti telah diadakan oleh PLH bermula dari Oktober 2018 untuk mewujudkan kesedaran dan kepentingan dalam pembacaan serta lebih penting bertujuan untuk memastikan program penggiatan budaya membaca yang terancang dan berterusan dapat dilaksanakan di UTeM.
Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi Universiti, Pegawai-pegawai Kanan, kakitangan universiti, mahasiswa serta wakil Universiti Awam dan Swasta. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc., Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM (LPU) diiringi oleh YBhg. Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, Naib Canselor UTeM dan Encik Isa bin Mohd Dom, Ketua Pegawai Maklumat.
“Amalan membaca dijangka akan memberi impak yang tinggi kerana mampu melahirkan knowledge society yang mempunyai minda kelas pertama serta berfikiran kritis dan terkehadapan. Ini ciri-ciri modal insan yang kita perlukan dalam persaingan di era globalisasi yang serba mencabar. Membaca dapat menerapkan budaya literasi sebagai nilai tambah kepada setiap diri individu untuk menjadi insan berjaya dan berilmu.”
Demikian saranan YBhg. Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim dalam ucapan beliau untuk membangkitkan semangat warga UTeM bagi membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian.
Kemuncak kepada majlis tersebut adalah sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuan Pengerusi LPU dalam slot ”My Golden Experience” ketika zaman pembelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di King College London. Beliau menekankan betapa pentingnya pembacaan dan ilmu pengetahuan untuk terus berjaya. Kebanyakkan genre bahan ilmiah beliau adalah dalam bidang kejuruteraan yang beliau ceburi yang dapat mengukuhkan lagi ketokohan beliau dalam bidang tersebut.
Dalam majlis yang sama, pengurusan tertinggi universiti turut menyumbangkan buku koleksi peribadi kepada PLH untuk pembangunan koleksi perpustakaan bagi dimanfaatkan kepada seluruh warga universiti. Antara aktiviti Read@Uni yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti bedah buku, agency talk, bengkel speed reading, bengkel penulisan penyelidikan, pertandingan debat mahasiswa dan lain-lain. Penyampaian hadiah juga turut diberikan kepada pemenang bagi peminjam buku terbanyak kategori pelajar dan staf, pengunjung paling kerap hadir dan penyumbang buku terbanyak di PLH. Para tetamu yang hadir juga turut dibawa melawat reruai pameran dan sekitar PLH sepert Galeri Tun Canselor, laman sasterawan, game corner dan ruang santai.