PLH TERIMA PENARAFAN 2 BINTANG BAGI MaPTeP 2019

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) sekali lagi menerima pengiktirafan yang memberangsangkan dalam melaksanakan polisi tenaga di pusat tanggungjawab berdasarkan Sistem Pengurusan Tenaga UTeM (MaPTeP) bagi tahun 2019 di mana PLH telah menerima penarafan 2 Bintang berbanding 1 Bintang pada tahun 2018.

Pengiktirafan ini bertujuan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan polisi tenaga di pusat tanggungjawab sebagai salah satu cara bagi memastikan kelangsungan pengurusan tenaga yang berkesan di pusat tanggungjawab yang terlibat berdasarkan 6 elemen yang ditetapkan di dalam MaPTeP untuk pengurusan tenaga yang lestari.

AJK Pengurusan Tenaga PLH yang terdiri dari 8 orang ahli telah melaksanakan program–program kesedaran sepanjang tahun 2019 seperti Taklimat Pengurusan Tenaga dengan kerjasama Pusat Kelestarian dan Alam Sekitar (PKA), edaran brosur penjimatan tenaga kepada pengguna perpustakaan, poster-poster kesedaran jimat elektrik, peringatan mesra berkaitan penjimatan tenaga melalui telegram dan emel perpustakaan, kemaskini maklumat di Info Sudut Tenaga dan lain-lain.

Bagi tahun  2019, 7 buah fakulti/PTj telah menerima penarafan 1 Bintang manakala 4 buah fakulti/PTj telah menerima penarafan 2 Bintang. Sijil penghargaan kepada wakil-wakil pusat tanggungjawab telah disampaikan oleh YB. Datuk Tey Kok Kiew, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi sewaktu Majlis Penutup Program Penghayatan Alam Sekitar 2019 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (PPAS 2019 UTeM)bertempat di Arked Kolej Kediaman Lestari, UTeM pada 23 Oktober 2019 yang lalu. Puan Norshahila Che Din selaku Penolong Pengurus Tenaga, PLH telah mewakili perpustakaan menerima sijil ini.

Syabas diucapkan kepada semua warga perpustakaan yang telah memberikan komitmen yang padu dan berusaha melaksanakan penjimatan tenaga secara berterusan di perpustakaan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Ke Portal Perpustakaan

TALKSHOW@LIBRARY OLEH JABATAN PERUBATAN FORENSIK, HOSPITAL MELAKA

Talkshow@Library bertajuk “Bicara Dari Bilik Mayat” telah dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka sempena Program Galakan Membaca: Read@Uni pada 23 Oktober 2019 bermula jam 11.00 pagi bertempat di Ruang Santai, Perpustakaan Laman Hikmah.

Taklimat program telah disampaikan oleh Pakar Perubatan Forensik merangkap Ketua Jabatan iaitu Dr Haryanti Sara Azmeen Mohd Razali. Talkshow ini berkongsi maklumat mengenai pengurusan jenazah, bedah siasat dan pengurusan mayat serta mendedahkan realiti sebenar di sebalik pekerjaan dalam bidang ini .

Secara menyeluruh, penganjuran program ini dilihat telah mencapai objektif yang disasarkan. Antara objektif tersebut iaitu :

  1. Menjalin hubungan kerjasama strategik dan perkongsian pintar dengan agensi kerajaan yang lain untuk menyediakan maklumat yang reliable serta meningkatkan hubungan yang erat antara komuniti.
  2. Memperluas rangkaian antara Perpustakaan Laman Hikmah dengan agensi kerajaan yang lain dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.
  3. Mempromosi perkhidmatan Perpustakaan Laman Hikmah kepada warga universiti, agensi kerajaan dan masyarakat luar.

Program ini berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan penyertaan seramai 143 orang meliputi pelajar, staf UTeM, pelajar Kolej Yayasan Saad (KYS) dan juga orang awam.

 

Ke Portal Perpustakaan

PROGRAM BICARA BUKU MAZHAB BISNES JEPUN

Perpustakaan Laman Hikmah sentiasa menyokong hasrat universiti dalam merealisasikan tema dan rangka strategik keempat universiti iaitu ’Memperkasa Potensi Komuniti’ dengan menjadi pusat rujukan setempat bagi kemakmuran dan kesejahteraan komuniti terutamanya dalam aspek perkongsian maklumat, kepakaran dan khidmat nasihat. Perkara ini memberi impak positif dalam penyediaan perkhidmatan Perpustakaan yang berkualiti melalui program penganjuran aktiviti khidmat masyarakat atau jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan industri dari semasa ke semasa.

Jesteru itu, pihak Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Katana Circle Malaysia telah menganjurkan Program Bicara Buku Mazhab Bisnes Jepun sempena Program Galakan Membaca: Read@Uni pada 16 Oktober 2019 bermula jam 11.00 pagi bertempat di Ruang Santai, Perpustakaan Laman Hikmah.

Taklimat program telah disampaikan oleh Dato Hj. Zulkifli Abdul Malek  yang merupakan penerima Darjah Order of the Rising Sun dari Maharaja Jepun. Semasa program, beliau telah mengulas buku terbitan beliau berjudul 27 Tertib Mazhab Bisnes Jepun kepada peserta yang hadir. Buku tersebut menjurus kepada mempelajari cara komuniti Jepun membina bisnes dan negara mereka yang wajar dijadikan contoh.

Program ini berakhir dengan jayanya pada jam 12.15 tengahari dengan penyertaan seramai 68 orang meliputi pelajar dan staf UTeM serta orang awam. Selain dapat menambah ilmu pengetahuan, para peserta bukan sahaja berpeluang membeli buku terbitan beliau dengan harga istimewa, malah dapat merakam kenangan dengan bergambar bersama beliau.

Penganjuran program seperti ini di perpustakaan dijangka dapat berkongsi maklumat dengan warga universiti selaras dengan fungsi dan peranan perpustakaan sebagai sebuah gedung ilmu yang dinamik.

 

Ke Portal Perpustakaan

PLH MENANG PINGAT PERAK ANUGERAH HIJAU NEGERI MELAKA 2019

Anugerah Hijau Negeri Melaka 2019 merupakan satu platform pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi awam/swasta,  institusi awam/swasta, industri dan komuniti  yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif teknologi hijau di Negeri Melaka.

Anugerah Hijau Negeri Melaka dianjurkan oleh Perbandanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) selaku agensi yang bertanggungjawab sebagai peneraju teknologi hijau di Negeri Melaka. Anugerah ini telah dianjurkan sejak tahun 2015 dan tahun 2019 merupakan tahun ke- 5 penganjurannya.

Antara objektif anugerah ini diadakan adalah:

  • Memberikan pengiktirafan kepada agensi awam/swasta, institusi awam/swasta, industri dan komuniti  yang melaksanakan amalan teknologi hijau
  • Menggalakkan lebih banyak penglibatan agensi awam/swasta, institusi awam/swasta, industri dan komuniti dalam pelaksanaan amalan teknologi hijau
  • Membudayakan amalan teknologi hijau kepada semua peringkat usia
  • Mempromosikan pelaksanaan teknologi hijau di Negeri Melaka

Terdapat 6 kategori yang telah dipertandingkan iaitu, Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Produk Hijau , Inovasi Hijau, Komuniti Hijau dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Hijau. Sebagai sebuah jabatan yang menyokong pelaksanaan amalan hijau dan pengurusan tenaga yang cekap di UTeM, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH)  telah mengambil peluang ini untuk mempertandingkan salah satu inisiatif yang telah dibangunkan di perpustakaan iaitu “Auto Shut Down System” di bawah kategori Inovasi Hijau dengan yuran penyertaan sebanyak RM 600.00.

PLH telah diwakili oleh Puan Norshahila Che Din dan Encik Mohamad Azhari Johari bagi sesi pembentangan kertas kerja selama 30 minit yang telah diadakan di pejabat PTHM pada 27 Ogos 2019 yang lalu. Alhamdulillah, PLH telah berjaya memenangi Pingat Perak bagi kategori tersebut dan  pengiktirafan tersebut telah disempurnakan oleh YB. Datuk Tey Kok Kiew, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau pada Majlis Anugerah Hijau  Negeri Melaka 2019 bertempat di Hotel Ramada Plaza Melaka pada 18 Oktober 2019.

Tahniah diucapkan kepada warga PLH di atas penganugerahan ini!

 

Ke Portal Perpustakaan

WORKSHOP ON STEP BY STEP GUIDE TO WRITING RESEARCH PAPER

Penyelidikan bukan saja mampu meningkatkan martabat sistem pendidikan sesebuah universiti, malah turut menjadi aset penting kepada negara. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) adalah antara universiti yang giat melahirkan ahli akademik dan penyelidik bertaraf profesional di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Workshop on Step by Step Guide to Writing Research Paper telah diadakan selama 2 hari bermula 2 -3 Oktober 2019 di Bilik Pangkalan Data, Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM. Seramai 37 peserta yang terdiri daripada akademik, penyelidik serta pelajar pasca siswazah dari dalam dan luar UTeM telah menghadiri bengkel tersebut. Bengkel ini adalah anjuran Unit Bantuan Penyelidikan, Seksyen Rujukan, Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Perpustakaan Laman Hikmah dengan kerjasama UTeMASA dan Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi (CRIM). Penceramah jemputan adalah Dr. Nurul Fadly bin Habidin yang merupakan Pensyarah Kanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Antara objektif bengkel ini adalah meningkatkan daya saing antara akademia, penyelidik dan pelajar  untuk menghasilkan penerbitan jurnal yang berkualiti tinggi, memberi pendedahan kepada penyelidik kaedah/tips penulisan jurnal yang berkesan, dan meningkatkan penerbitan jurnal yang mempunyai impak faktor.

Bengkel ini telah mendapat maklum balas dan sambutan yang baik daripada peserta dan diharapkan perkongsian ini memberi semangat yang sangat positif kepada semua peserta yang telah hadir.

Ke Portal Perpustakaan

SEMBANG BUKU BERSAMA KHAIRUL ABDULLAH

Tarikh: 26 September 2019 (Khamis)

Masa: 11.00 pagi

Tempat: Ruang Santai, Aras 1, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH)

Penceramah: En. Khairul Abdullah 

Tajuk: Mentaliti Masih Jamban

Program “Read@Uni” merupakan program di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan menghidupkan kembali Kempen Membaca Kebangsaan bermula tahun 2018 sehingga tahun 2020 bagi mewujudkan negara membaca pada tahun 2030. Objektif penganjuran program ini adalah untuk mempergiat aktiviti galakan membaca di kalangan warga universiti dengan slogan “With Knowledge We Lead”. Sehubungan itu, pada 26 September 2019 jam 11.00 pagi telah diadakan program “Sembang Buku Bersama Khairul Abdullah: Mentaliti Masih Jamban” di Ruang Santai, Perpustakaan Laman Hikmah. Encik Zaidi Saad selaku moderator telah berjaya menarik perhatian peserta dengan menunjukkan sekeping gambar tandas tahun 1980-an.

“Kenapa masyarakat di dunia sebelah sana lebih baik daripada kita? Kenapa nilai-nilai yang dituntut oleh agama dipraktikkan oleh mereka dan bukannya kita? Soalan-soalan daripada penulis ini dicoretkan di dalam buku laku keras yang berjudul “Mentaliti Masih Jamban” telah membuka minda dan sindiran sinis kepada peserta. Buku beliau berjudul Mentaliti Masih Jamban mendapat sambutan dan buku laku keras di kedai buku seperti MPH, Popular dan Kinokuniya.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, En. Azman Hj Ayup dan seterusnya diserahkan kepada En Zaidi Saad selaku moderator pada program tersebut. Sesi perkongsian ilmu ini berjalan selama satu jam setengah dan berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan sesi bergambar.

Program ini mendapat sambutan yang baik daripada peserta yang merangkumi staf, pelajar UTeM dan individu daripada luar UTeM. Banyak pengalaman, pandangan dan sindiran sosial penulis mengenai mentaliti rakyat Malaysia dikongsikan bersama peserta yang hadir sewaktu berada di luar negara seperti, Jerman, Jepun, dan lain-lain. Program ini juga berhasrat untuk melahirkan belia, komuniti dan masyarakat Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama dengan mengamalkan nilai-nilai murni serta meningkatkan budaya membaca di kalangan warga UTeM khasnya dan masyarakat setempat umumnya.

Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus memastikan program berjalan lancar dan juga terima kasih diucapkan kepada semua warga PLH yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.

  

 

Ke Portal Perpustakaan