Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner dan Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) oleh Yayasan Bank Rakyat

27 Januari 2023 (Jumaat) – Ruang Santai, Aras 2, Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk, Majlis Perasmian Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner dan Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) oleh Yayasan Bank Rakyat.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Masila Binti Kamalrudin, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Bersama hadir di dalam majlis ini adalah Encik Syaiful Rizal Bin Abdul Ghani, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat.

Yayasan Bank Rakyat telah menyumbangkan set perabot Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner kepada Perpustakaan Laman Hikmah yang dilengkapi dengan akses kepada tujuh (7) pangkalan data bernilai RM 15,000.00.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat turut juga menyerahkan Bantuan Awal Pengajian (BAP) berjumlah RM 100,000.00 kepada Naib Canselor UTeM yang melibatkan seramai 100 orang pelajar UTeM dari golongan B40 dengan jumlah RM 1,000.00 setiap seorang.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Haji Burhanuddin Bin Mohd Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque yang sudi menyumbang buku kepada Naib Canselor dan Perpustakaan Laman Hikmah.

Terima kasih Yayasan Bank Rakyat, Les’ Copaque dan semua yang telah menjayakan majlis ini.

Program PLH TALK: ‘Sayangi Diri Bebas Dari Dadah’

28 Disember 2022 – Program PLH TALK: ‘Sayangi Diri Bebas Dari Dadah’ Anjuran Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah diadakan bertempat di Ruang Santai PLH, Aras 2, Kampus Induk. Program ini telah disampaikan oleh penceramah Puan Siti Aishah Binti Aman, Ketua Daerah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Alor Gajah dan perkongsian pengalaman sebagai seorang bekas penagih dadah oleh Dr. Syakir Bin Shukor daripada Persatuan Pengasih Malaysia Melaka. Alhamdulillah program ini dapat sambutan yang baik dan seramai 99 orang peserta telah menyertai program ini. Berikut merupakan gambar-gambar sekitar program berlangsung dan program ini tamat pada jam 12.30 tengahari.

Program Sembang AUTeM @ Memori Korporat Menelusuri Kecemerlangan & Kegemilangan UTeM: Tiada dulu, tiadalah sekarang… 

21 Disember 2022 – Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Pusat Alumni Dan Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), HEPA akan menganjurkan Program Sembang AUTeM @ Memori Korporat Menelusuri Kecemerlangan & Kegemilangan UTeM: Tiada dulu, tiadalah sekarang… Program ini bertujuan untuk mengumpul alumni-alumni UTeM bagi berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan sejarah awal penubuhan universiti melalui sejarah lisan. Program ini diadakan di Aras 2, Ruang Legar Perpustakaan Laman Hikmah. Program ini dirasmikan oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Massila Binti Kamalrudin, Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Program ini juga bertujuan untuk menelusuri sejarah UTeM dari pandangan dan sudut yang dilalui oleh kesemua alumni yang akan dijemput sebagai ahli panel. Program ini merupakan satu inisiatif bagi menyokong Goal 6 dalam UTeM’s Seven Strategic Goals (SSG) 2021-2025 iaitu Smart & Dynamic Campus bagi pemantapan fungsi Perpustakaan Laman Hikmah dalam mengumpul, memelihara dan menyebar semua maklumat dan informasi yang bernilai sejarah dan simbolisme kepada UTeM sekaligus menghargai sumbangan bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pelbagai pihak dan individu sejak penubuhan UTeM.

Kesemua ahli panel yang dijemput mempunyai kerjaya yang cemerlang dan di dalam program ini juga mereka menceritakan pengalaman bermula dari menjadi pelajar UTeM sehingga mempunyai kerjaya yang hebat dan kini bergelar Pensyarah Kanan, Usahawan, Pengarah dan Penerbit Eksekutif. Kesungguhan dalam melakukan sesuatu pekerjaan antara faktor yang mendorong kejayaan mereka, serta suntikan sokongan moral dan kata-kata pembakar semangat juga menjadi inspirasi dalam menggalakkan langkahnya. Kehidupan yang penuh liku dan cabaran dalam menceburi sesuatu bidang, amat memerlukan suntikan motivasi untuk memberikan semangat dan memupuk keyakinan dalam diri seseorang. Berikut merupakan gambar-gambar disekitar program berlangsung.

PLH menduduki tempat pertama dalam Pertandingan PTj Terindah (Sudut 5ST)

Pertandingan PTj Terindah (Sudut 5ST) telah diadakan sempena Sambutan ke 22 Tahun Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Pertandingan ini berkonsepkan dekorasi ruang/sudut/papan kenyataan berdasarkan 5ST. Setiap PTj diberi masa dalam 3hari untuk menghias Sudut 5ST dan penilaian akan dibuat pada 2 Disember 2022 oleh kumpulan juri yang dilantik.

Pada 9 Disember 2022 penyampaian Hadiah bagi Pertandingan PTj Terindah Sudut 5 Strategik Trust (5ST) sempena Sambutan Ke 22 Tahun UTeM telah diumumkan.

Tempat Pertama (RM500) di menangi oleh Perpustakaan Laman Hikmah (PLH)

Tempat Kedua (RM400) di menangi oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP)

Tempat Ketiga (RM300) di menangi oleh Pejabat Bendahari

Tempat Keempat (RM200) di menangi oleh Pejabat Pengurusan Fasiliti (PPF)

Tempat Kelima(RM100) di menangi oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa)

Tahniah diucapkan kepada PLH kerana telah menjuarai pertandingan ini dan tahniah diucapkan kepada para pemenang PTj yang lain. Terima kasih juga diucapkan kepada semua jawatankuasa PLH yang telah mencurahkan kreativiti dan usaha dalam menjayakan sudut 5 Strategik Trust (5ST) ini. Syabas untuk warga PLH!

Bengkel Pelan Strategik Perpustakaan Laman Hikmah

AYER KEROH, 14 NOVEMBER 2022 – Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah mengadakan sambungan Bengkel Perancangan Strategik pada 14 November 2022 bertempat di Ayer Keroh Country Resort. Hari kedua bengkel ini tertangguh pada 11 Oktober 2022 yang lalu kerana menghormati pemergian Encik Azman Hj. Ayup, Ketua Pustakawan UTeM yang telah kembali kerahmatullah.  Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Faizal Hamzah, Pustakawan Kanan daripada Perpustakaan Universiti Malaya dan dihadiri oleh pegawai kanan dan kakitangan PLH daripada setiap bahagian dan unit.

Objektif utama bengkel adalah memberikan kefahaman kepada pegawai dan kakitangan mengenai kepentingan perancangan strategik  sekaligus untuk membantu pihak PLH dalam merangka perancangan  strategik yang baru.

Penglibatan setiap peringkat kakitangan dalam bengkel ini adalah penting bagi memberikan peluang kepada kakitangan dalam membentangkan idea. Di samping itu juga, penglibatan mereka akan dapat memastikan keberkesanan dalam pelaksanaan pelan strategik ini nanti. Bengkel ini berakhir pada jam 5.00 petang pada hari yang sama.

Kursus Penyelidikan “Writing A Systematic Literature Review (SLR) To Increase The Article Journal Impact”

Pada 26 Oktober 2022, Seksyen Penyelidikan & Maklumat, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), UTeM telah mengadakan kursus penyelidikan yang bertajuk “Writing A Systematic Literature Review (SLR) To Increase The Article Journal Impact”secara dalam talian. Kursus yang bermula pada jam 10.00 pagi ini telah disampaikan oleh Dr. Hayrol Azril Mohamed Shaffril, Pegawai Penyelidik Sosial Kanan, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Proses menghasilkan artikel jurnal dan kertas persidangan memerlukan kemahiran penyelidik dan pelajar pascasiswazah menguasai kaedah menganalisis data statistik dengan baik. Penulisan artikel konseptual juga sangat penting dikuasai kerana ia akan menentukan kejayaan dan peluang penerimaan artikel dalam pangkalan data Scopus dan Web of Science (WoS).  Antara objektif utama kursus ini diadakan ialah membantu penyelidik merancang strategi penerbitan yang sistematik, meningkatkan bilangan penghasilan penerbitan jurnal yang berindeks Scopus dan WoS serta mendedahkan penyelidik dan pelajar pascasiswazah teknik menulis artikel jurnal yang menjadi pilihan editor jurnal. Sehubungan dengan itu, Seksyen Penyelidikan dan Maklumat telah memilih tajuk di atas supaya penyelidik dan pelajar pascasiswazah UTeM mempunyai kemahiran menulis artikel konseptual yang berkesan.

Peserta telah didedahkan dengan definisi dan konsep SLR serta perbezaan utama SLR dengan Literature Review (LR). Selain itu, penceramah turut berkongsi pengetahuan berkaitan penulisan artikel jurnal berdasarkan dua kategori utama iaitu artikel jurnal berdasarkan data penyelidikan dan artikel jurnal berdasarkan literature review. Merujuk kepada artikel jurnal berdasarkan literature review, boleh dibahagikan kepada tiga kaedah iaitu concept paper/narrative review, scoping review dan systematic literature review. Seramai 39 orang peserta yang merangkumi pelajar, staf UTeM dan peserta luar UTeM telah menjayakan kursus ini yang tamat pada jam 12.45 tengah hari.

Berikut adalah syot layar sekitar kursus penyelidikan berlangsung menerusi Cisco Webex.

Latihan Kebakaran dan Demonstrasi Pemadaman Kebakaran di Bangunan PLH, Kampus Induk UTeM 2022

Pada 28 Oktober 2022 satu latihan kebakaran diadakan di bangunan PLH, Kampus Induk bagi melatih serta menguji kecekapan kakitangan dan pelajar dalam menghadapi situasi bencana serta mempraktikkan diri bagaimana dalam suasana kecemasan kebakaran dan penyelamatan diri. Latihan ini dilakukan dengan kerjasama Pihak Bomba Ayer Keroh dengan cara membuat permohonan latihan kepada Ketua Balai Bomba Ayer Keroh. Terima kasih diucapkan kepada kakitangan Bomba yang terlibat dan juga kepada kakitangan serta pelajar UTeM kerana telah berjaya dalam latihan yang dilakukan dengan baik serta latihan ini berakhir pada jam 11.00pagi.

PROGRAM EKSPLORASI KRAF : PENGEMBANGAN ILMU SECARA OUT-REACH BERSAMA PELAJAR/WAKIL AGENSI/ KOMUNITI /ORANG AWAM

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Kraftangan Malaysia Cawangan  Melaka yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya mempergiatkan usaha untuk memperkenalkan produk kraf tempatan bawah Program Eksplorasi Kraf: Pengembangan Ilmu Secara Out-Reach. Tujuan program ini adalah untuk memberikan pendedahan/pengetahuan secara asas dalam proses pembuatan produk kraf kepada pelajar/wakil agensi/komuniti/orang awam agar produk kraf terus kekal terpelihara dan dihargai oleh seluruh masyarat terutamanya generasi muda.

Program ini diadakan pada 18 Oktober 2022 bertempat di Ruang Santai Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk. Antara aktiviti yang diadakan adalah Pameran Produk Kraf – Ini Batik Malaysia, Demonstrasi Batik Canting, Interaktif Anyaman Rotan dan Interaktif Batik Ikat Celup.

Alhamdulillah program ini dapat dijayakan dengan baik dan ramai pengunjung dikalangan kakitangan UTeM daripada pelbagai jabatan dan pelajar-pelajar UTeM juga dari pelbagai fakulti. Program ini berakhir pada jam 4.00 petang dan diucapkan jutaan terima kasih kepada Kraftangan Malaysia Cawangan  Melaka kerana sudi bekerjasama dalam program yang sangat menarik ini.

PLH Team Building 2022

Port Dickson, 1 Oktober 2022 – Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah menganjurkan PLH Team Building 2022 selama 2 hari 1 malam bermula 1 hingga 2 Oktober 2022 di D’Wharf Hotel & Serviced Residence. Para peserta mengalami pengalaman yang menyeronokkan dan program ini menyentuh aspek menguji minda yang akan membantu para peserta memiliki minda yang hebat, berfikir di luar kotak pemikiran, berani berubah serta dapat melawan ujian dan cabaran khususnya dapat dipraktikkan di tempat kerja untuk menjadi individu yang lebih cemerlang.

Pelbagai aktiviti outdoor telah diadakan sepanjang program kerana ia adalah elemen keseronokan dalam program yang dijalankan.

Acara hari keluarga diakhiri dengan majlis makan malam dan penyampaian hadiah kepada pemenang dan juga cabutan bertuah.