PLH ENDAH@KOMUNITI

Seramai 30 orang staf Perpustakaan Laman Hikmah (PLH)  telah terlibat dalam program khidmat bakti PLH Endah@Komuniti bersama anak-anak yatim di Pusat Sumber Mini, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin, Melaka (PKAYIDJ) pada 19 November 2019 yang lalu.

Objektif utama program adalah untuk memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga, pengetahuan dan kemahiran kepada golongan anak yatim. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap komuniti di persekitaran UTeM.

Idea pelaksanaan program ini dicetuskan oleh pihak pengurusan PLH bagi memberikan sokongan kepada pengurusan sekolah anak-anak yatim dalam membantu mendidik dan membesarkan  golongan ini. Program ini merupakan salah satu aktiviti bagi mendekatkan warga PLH bersama komuniti sekitar, di samping kesedaran keperluan tanggungjawab sosial ke atas komuniti setempat.

Fokus utama program ini adalah untuk menambahbaik persekitaran ruang perpustakaan dan memberikan sumbangan dalam bentuk bahan bacaan serta interaksi bersama penghuni pertubuhan kebajikan tersebut. Secara keseluruhan program ini telah berjaya dilaksanakan dengan sumbangan idea dan tenaga dari kedua belah pihak di samping sokongan padu daripada Encik Mohd Isa Mohd Dom, Ketua Pegawai Maklumat, UTeM.

Di akhir program tersebut, sebagai simbolik kepada kerjasama di antara dua pihak, Encik Azman Hj Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan telah menyerahkan cenderamata berbentuk plug dan buku-buku sumbangan kepada Tuan Haji Ghafar Mohd Yusuf, Pengurus PKAYIDJ untuk kegunaan warga PKAYIDJ.

Diharapkan dengan penganjuran program ini, ia akan meningkatkan kerjasama PLH dan UTeM dengan masyarakat setempat di samping menjadi contoh kepada pihak-pihak lain yang ingin turut sama menghulur khidmat bakti kepada masyarakat.

 

Ke Portal Perpustakaan