MAJLIS PELANCARAN READ@UNI UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA

Pada 24 Oktober 2019, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah mengadakan Majlis Pelancaran Read@Uni sebagai inisiatif bagi menyokong Program Read@Uni Peringkat IPT yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB. Dr. Maszlee Malik pada 29 November 2018 bersempena Kempen Dekad Membaca Kebangsaan. Program ini merupakan inisiatif bagi mewujudkan negara membaca pada tahun 2030 dan akan dilaksanakan melalui perpustakaan di semua universiti awam dan swasta.

Dengan slogan ‘With Knowledge We Lead’ dan bertemakan #Malaysiamembaca, kempen ini bertujuan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara berbudaya membaca dan dapat menyemarakkan lagi pembacaan di kalangan kumpulan sasaran iaitu mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran. Ia selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan bangsa berilmu bertaraf dunia serta mendukung pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi menyokong aspirasi ini, pelbagai aktiviti telah diadakan oleh PLH bermula dari Oktober 2018 untuk mewujudkan kesedaran dan kepentingan dalam pembacaan serta lebih penting bertujuan untuk memastikan program penggiatan budaya membaca yang terancang dan berterusan dapat dilaksanakan di UTeM.

Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi Universiti, Pegawai-pegawai Kanan, kakitangan universiti, mahasiswa serta wakil Universiti Awam dan Swasta. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc., Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM (LPU) diiringi oleh YBhg. Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, Naib Canselor UTeM dan Encik Isa bin Mohd Dom, Ketua Pegawai Maklumat.

“Amalan membaca dijangka akan memberi impak yang tinggi kerana mampu melahirkan knowledge society yang mempunyai minda kelas pertama serta berfikiran kritis dan terkehadapan. Ini ciri-ciri modal insan yang kita perlukan dalam persaingan di era globalisasi yang serba mencabar. Membaca dapat menerapkan budaya literasi sebagai nilai tambah kepada setiap diri individu untuk menjadi insan berjaya dan berilmu.”

Demikian saranan YBhg. Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim dalam ucapan beliau untuk membangkitkan semangat warga UTeM bagi membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian.

Kemuncak kepada majlis tersebut adalah sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuan Pengerusi LPU dalam slot My Golden Experience” ketika zaman pembelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di King College London. Beliau menekankan betapa pentingnya pembacaan dan ilmu pengetahuan untuk terus berjaya. Kebanyakkan genre bahan ilmiah beliau adalah dalam bidang kejuruteraan yang beliau ceburi yang dapat mengukuhkan lagi ketokohan beliau dalam bidang tersebut.

Dalam majlis yang sama, pengurusan tertinggi universiti turut menyumbangkan buku koleksi peribadi kepada PLH untuk pembangunan koleksi perpustakaan bagi dimanfaatkan kepada seluruh warga universiti. Antara aktiviti Read@Uni yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti bedah buku, agency talk, bengkel speed reading, bengkel penulisan penyelidikan, pertandingan debat mahasiswa dan lain-lain. Penyampaian hadiah juga turut diberikan kepada pemenang bagi peminjam buku terbanyak kategori pelajar dan staf, pengunjung paling kerap hadir dan penyumbang buku terbanyak di PLH. Para tetamu yang hadir juga turut dibawa melawat reruai pameran dan sekitar PLH sepert Galeri Tun Canselor, laman sasterawan, game corner dan ruang santai.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *